Semalam cerita mudahnya sungguh kami melahirkan. Rupanya memang anak yang paling terbaik kami dapat. Anak syurga Allah pinjam sekejap.
Pukul 3 pagi semalam dapat panggilan daripada hospital. Minta datang tengok anak sebab dia tak stabil. Sampai saja, doktor beritahu anak punya paru-paru sudah tak dapat hendak survive.
Ada jangkitan kuman pada paru-paru. Support guna machine pun tak capai oksigen yang stabil. Ubat pun memang sudah guna empat jenis yang kuat..
Allah Bagi Pinjam Sekejap
Memang kena bersedia sebarang kemungkinan. Jadinya lepas tengok baby, kami keluar duduk tepi koridor sambil bercakap dari hati ke hati berdua. Kami memang ikhlaskan dia pergi..
Allah bagi sangat banyak dah nikmat. Allah bagi mudahnya melahirkan dia. Malah Allah bagi terlalu banyak sangat nikmat, sampai kami malu hendak minta lebih-lebih.
Cuma berpegang pada kata-kata. Setiap apa yang Allah bagi dekat hamba dia, mesti itu yang paling terbaik. Tiada yang lebih terbaik dari Pencipta yang kenal akan hamba dia.
Kami Ikhlaskan Kamu Pergi
Hari ini kalau paksa dia survive, belum tentu itu yang terbaik untuk masa depan dia. Jadi kami serahkan apa yang terbaik untuk dia. Wallahi reda, seredanya…
Ads
Pangku baby tadi buat terakhir kali, sempat tengok dia tarik nafas tiga kali. Lepas itu, ibu rasa dia pergi. Sesungguhnya ibu halalkan segalanya dekat dunia ini..
Tarik ibu dan abi nanti dekat syurga. Doakan ibu dengan abinya kuat.
Walaupun Hanya Dua Hari, Ibu Reda
Manakala kongsi sang bapa
إنا لله وإنا إليه راجعون
Sebuah perjalan singkat yang memberi seribu erti keredhaan dan kesabaran kepada kami, punyai seribu hikmah tersurat dan tersirat. Terima kasih Allah atas pinjaman zuriat ini kepada kami, walau hanya seketika namun mengajar kami erti sebuah kehidupan..
Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu:
Ads
Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang akan melegakan diri kami di atas kematian dua anak kami?
Abu Hurairah menjawab:
Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga. [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2635].
Dengan penuh redha dan sabar, saya maklumkan pemergian puteri kami pada jam 10.45 pagi.
Ainul Syahidah binti Syahmiezan
(8/10/2022 – 10/10/2022)
Kashoorga: Semoga pasangan ini tabah menhadapi takdir yang pahit ini.
Assalamu’alaikum S.S Mufti, bagaimanakah usul fiqh berperanan dalam mendepani wabak dan juga penyakit ? Mohon penjelasan.
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Seperti yang kita tahu ilmu usul fiqh merupakan suatu ilmu yang melibatkan dalil-dalil serta kaedah-kaedah fiqh. Justeru, ilmu usul fiqh membantu seorang mufti atau faqih dalam proses pengeluaran hukum terhadap isu-isu yang melibatkan mukallaf.
Secara umumnya, dalam berhadapan dengan penyakit-penyakit berjangkit seperti taun atau penyakit-penyakit yang lain, Islam amat menitik beratkan soal pencegahan dan mengambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu. Antara dalil yang menjelaskan akan hal ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.
Riwayat Al-Bukhari (5728)
Hadis di atas ini jelas menunjukkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh Rasulullah S.A.W sebelum dan juga selepas seseorang itu terlibat dengan penyakit berjangkit. Dari sudut sekiranya seseorang itu mengetahui akan penularan sesuatu wabak di tempat tertentu, janganlah dia pergi ke tempat tersebut bagi mengelakkan dirinya dari dijangkiti penyakit tersebut. Manakala jika seseorang itu telah berada dalam kawasan yang merebak padanya wabak, tindakan pencegahan yang diambil bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut adalah dengan cara tidak keluar dari kawasan tersebut. Ini dilakukan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar seperti yang disebutkan dalam sebuah kaedah fekah yang masyhur :
Maksudnya : Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.
Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76)
Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: (Yang dimaksudkan dengan) meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya). Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan mengisbatkan (melakukannya). Rujuk Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, Syeikh Mustafa Al-Zarqa (Hlm. 201).
Secara asasnya, kaedah ini ada sandarannya daripada nas syarak iaitu berdasarkan firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Adapun perahu itu merupakan milik orang-orang miskin yang berkerja di laut. Maka aku bertujuan merosakkannya kerana terdapat seorang raja yang ingin merampas kesemua perahu.
Surah Al-Kahf (79)
Berdasarkan ayat di atas, kita dapat melihat beberapa perkara penting yang kami ringkaskan dalam bentuk poin seperti berikut:
Perahu atau sampan tersebut dimiliki oleh orang miskin dan bukannya orang kaya.
Orang miskin tersebut pula berkerja di lautan dan bukannya di daratan. Justeru, keadaan ini menggambarkan betapa penting peranan sampan untuk digunakan dalam pekerjaan menampung kehidupan seharian.
Ia dirosakkan kerana terdapatnya seorang raja yang mahu merampas perahu-perahu yang berada dalam keadaan baik dan elok. Justeru, apabila dilihat perahu-perahu yang rosak, maka ia ditinggalkan dan tidak dirampas.
Merosakkan perahu adalah satu keburukan. Namun dirampasnya perahu mendatangkan keburukan yang lebih berat. Rosaknya perahu boleh dibaiki, manakala dirampasnya perahu mendatangkan masalah besar kepada golongan miskin untuk membeli perahu yang baharu.
Justeru ini adalah contoh pertembungan antara dua keburukan, lalu dipilih keburukan yang lebih ringan.
Oleh yang demikian, apabila kita berbalik kepada isu mencegah penularan wabak atau penyakit yang berjangkit ini, kaedah menghalang mereka yang berada di tempat-tempat tersebarnya penyakit berjangkit atau disebut sebagai kuarantin merupakan antara langkah terbaik bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar.
Maka para pemerintah atau badan-badan berautoriti hendaklah bertindak dalam menangani isu-isu penularan wabak dengan melihat kepada maslahah-maslahah kepada masyarakat setempat disampil mengambil kira faktor suasana setempat dan juga keadaan masyarakat. Hal ini adalah bertepatan dengan sebuah kaedah fekah yang menyebutkan :
Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.
Bahkan kaedah fekah di atas inilah yang menjadi asas pedoman kepada Amirul Mu’minin Umar Ibn al-Khattab R.A dalam melakukan keputusan sebaik sahaja beliau mendengar khabar berlakunya wabak penyakit di tanah Syam. Ada sebuah riwayat yang menyebutkan bahawa Saidina Umar keluar menuju ke Syam sehingga beliau sampai ke kawasan Sargh (satu kawasan yang berdekatan dengan Syam yang terletak di antara Al-Mughitsah dengan Tabuk). Sesampai di sana beliau bertemu dengan panglima angkatan tentera iaitu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A dan juga para sahabat beliau. Mereka memberitahu kepada Umar bahawa wabak telah berlaku di tanah Syam. Lalu Saidina Umar berkata : ‘’Panggilkan golongan muhajirin al-awwalin untuk bertemu dengan aku’’. Kemudian sebaik mereka sampai, Saidina Umar berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berlaku di tanah Syam. Golongan muhajirin berbeza pendapat dalam isu ini. Sebahagian mereka berpendapat, kamu telah keluar disebabkan ada urusan, maka kami tidak merasakan yang kamu perlu pulang meninggalkan urusan tersebut. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan : ‘’Kamu membawa bersama kamu orang ramai dan para sahabat Rasulullah S.A.W, maka kami tidak berpendapat yang kamu patut membawa mereka ke arah wabak ini’’. Kemudian Saidina Umar memanggil golongan Ansar bagi berbincang isu ini, maka golongan Ansar pun berpendirian yang sama seperti yang disebutkan oleh golongan Al-Muhajirin.
Kemudian tidak lama selepas itu Saidina Umar pun memberi arahan kepada orang ramai untuk berpatah semula. Lalu Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah R.A berkata :
أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ
Maksudnya : Adakah perbuatan ini termasuk melarikan diri dari takdir Allah ?
Maksudnya : Alangkah baik jika selain kamu yang mengungkapkan kenyataan ini wahai Abu ‘Ubaidah. Ya betul, kami lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain. Tidakkah kamu melihat sekiranya kamu memiliki seekor unta, kemudian kamu turun kepada satu lembah yang mempunyai dua sudut. Salah satunya merupakan kawasan yang subur dan satu yang lagi merupakan kawasan yang tandus. Bukankah jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang subur maka kamu menjaganya dengan taqdir Allah. Dan jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang tandus maka kamu juga menjaganya dengan taqdir Allah ?
Kemudian datang Abdul Rahman bin ‘Auf R.A yang sebelum ini tidak berada bersama kerana menyelesaikan beberapa urusan lalu beliau berkata :
إِنَّ عِنْدِي مِنْ هَذَا عِلْمًا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Maksudnya : Sesungguhnya aku mempunyai ilmu berkenaan perkara ini. Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila kamu mendengar ia (wabak) berlaku di sesuatu tempat maka janganlah kamu pergi kepadanya. Dan apabila ia berlaku di tempat yang kamu berada di dalamnya maka janganlah kamu keluar daripadanya.
Riwayat Muslim (2219)
Maka berdasarkan hadis di atas kita dapat melihat bahawa Saidina Umar yang berada atas kapasiti sebagai seorang pemerintah membuat satu keputusan yang meraikan maslahah setiap individu yang berada di bawah jagaan beliau dengan cara menjauhkan diri dari tempat yang diketahui terkena padanya wabak. Inilah juga pedoman yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda diberitahu oleh Farwah bin Musaik bahawa terdapat suatu kawasan yang bernama Abyan yang telah berlaku wabak yang buruk padanya. Maka Rasulullah S.A.W bersabda :
دَعْهَا عَنْكَ فَإِنَّ مِنَ الْقَرَفِ التَّلَفَ
Maksudnya : Tinggalkan ia (kawasan tersebut). Sesungguhnya perbuatan mendekatkan diri dengan keburukan (wabak dan penyakit) akan membawa kepada kebinasaan.
Riwayat Abu Daud (3923)
Maka ilmu usul fiqh membawa para ulama untuk mengeluarkan larangan dari umat Islam mendekatkan diri dari tempat-tempat yang merebak padanya penyakit-penyakit yang berjangkit. Ini turut bertepatan dengan larangan yang disebutkan oleh Al-Quran menerusi firman Allah S.W.T :
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya : Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.
Surah Al-Baqarah (195)
Selain daripada itu, kita dapat melihat bahawa Islam turut mengambil langkah berikutnya iaitu sesudah berlakunya sesuatu wabak atau penyakit dengan anjuran supaya ianya dirawat. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa dalil dan juga kaedah-kaedah fekah yang berkaitan dengan hal ini. Antaranya adalah seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Berubatlah kamu, sesungguhnya Allah S.W.T tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya melainkan satu penyakit sahaja, iaitu ketuaan.
Riwayat Abu Daud (3855)
Maka jelas dari hadis di atas arahan dari Nabi S.A.W untuk seseorang yang ditimpa penyakit supaya berubat. Secara umumnya, perintah yang terdapat di dalam hadis ini menujukkan bahawa berubat ini suatu yang disyariatkan dan hukumnya adalah mustahab (dituntut). Meskipun begitu, dalam beberapa keadaan tertentu hukum berubat boleh menjadi wajib sekiranya diketahui yang ia akan memberikan kebaikan dan jika diabaikan akan mendatangkan kemudharatan kepada pesakit.
Demikian juga penyakit termasuk dalam perkara mudharat yang perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah menyebut :
الضَّرَرُ يُزَال
Maksudnya : Kemudharatan itu dihilangkan.
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa ilmu usul fiqh memainkan peranan penting khususnya kepada para fuqaha’ dalam menyediakan penyelesaian yang bersifat syar’ie melalui pengeluaran hukum-hakam yang melibatkan isu wabak dan juga penyakit sama ada menerusi langkah-langkah pencegahan demikian juga langkah-langkah rawatan terhadap perkara tersebut.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
“5 waktu solat di masjid, setiap hari baca 40 kali Surah Al-Ikhlas.’ Bekas Ketua Cawangan Pas meninggal dunia ketika solat jemaah.
Bekas Ketua Cawangan Pas Kampung Kenor meninggal dunia ketika menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Mukim Kenor, di sini, pada Khamis lalu.
5 Waktu Solat Di Masjid
Mohd Radzi Ibrahim, 63, secara tiba-tiba rebah ketika rakaat pertama solat di masjid itu pada jam 7.20 malam.
Menurut Imam Tua Masjid Mukim Kenor Ahmad Fadhil Zamani, ketika hendak rukuk, beliau yang sedang mengimamkan solat Maghrib itu tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh.
Katanya, berdasarkan pemerhatian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Mohd Radzi tidak sempat rukuk tetapi terlebih dahulu rebah dalam keadaan bersujud sebaris dengan jemaah lain yang sedang solat.
Setiap Hari Baca
“Seorang jemaah berhenti daripada solat dan segera membantu membaringkan Mohd Radzi yang sudah tidak sedarkan diri.
“Saya menghubungi talian kecemasan 999 dan pegawai perubatan yang tiba memeriksa Mohd Radzi mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurut Ahmad Fadhil, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung.
40 Kali Surah Al-Ikhlas
Dalam pada itu, katanya, arwah seorang yang sangat pemurah dan sentiasa berebut membayar harga makanan dan minuman sahabat-sahabatnya semasa di kedai makan.
“Arwah memang solat berjemaah lima waktu di masjid dan setiap hari mengamalkan membaca 40 kali surah al-Ikhlas selain seorang yang sangat berpegang teguh pada janji.
Bekas Ketua Cawangan Pas Meninggal Ketika Solat Jemaah
“Kita tidak tahu amalan rahsia arwah hingga membawa kepada kematiannya secara husnul khatimah (mati dalam keadaan beribadat dan pada malam Jumaat),” katanya.
Menurutnya, jenazah lelaki itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Kuala Krai selepas solat Jumaat.
Kashoorga: Pemergian yang dicemburui. Meninggal dunia ketika solat di malam jumaat. Al-Fatihah.
Hari ini anak menjadi raja dan ibu bapa hamba. Ini kerana ramai ibu bapa yang mengambil mudah soal mendidik anak, kurang menerapkan ilmu agama dan menyerahkan segala keputusan kepada anak kerana mungkin sudah bosan menasihati. Ditambah faktor ekonomi, rata-rata ibu bapa sibuk mencari duit hingga mengabaikan memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak khususnya anak perempuan.
Pendedahan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ini sebenarnya amat menakutkan dan pastinya menggerunkan golongan ibu bapa yang memiliki anak perempuan.
Satu hasil kajian yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sembilan daripada 10 remaja perempuan bermasalah yang ditemu bual mengaku ketagih seks walaupun menyedari perkara itu melanggar moral dan berdosa di sisi agama.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, Pegawai Psikologi D11 sedang menyiapkan kajian berkaitan isu itu membabitkan ribuan golongan remaja wanita yang terbabit dalam kes rogol atau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihaknya mendapati golongan remaja yang pertama kali terjerumus melakukan hubungan seks bebas sudah mula ketagih untuk mengulanginya lagi.
“Lebih membimbangkan apabila mereka ini membabitkan remaja berusia belasan tahun. Ramai antaranya berusia 16 tahun ke bawah.
“Kajian mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai tahap keinginan seks yang tinggi.
“Pada awal tahun ini sahaja, pasukan D11 sudah menerima dua kes membabitkan remaja perempuan yang menawar khidmat seks. Mereka ini melakukan hubungan seks bagi tujuan kepuasan dan keseronokan sendiri.
“Ada satu kes itu, remaja terbabit sudah menawarkan khidmat itu kepada enam pelanggannya, malah ketika ditemu bual mereka memberitahu sudah mula ketagih untuk melakukannya.
“Lebih memburukkan keadaan apabila ahli keluarga tidak mengetahui kegiatan luar dilakukan anak mereka ini. Mereka mempercayai bulat-bulat anak mereka,” katanya.
Tahu perbuatan salah di sisi agama
Siti Kamsiah berkata, ketika ditemu bual, remaja perempuan terbabit mengakui dan menyedari perbuatan itu salah di sisi agama serta merosakkan masa depan.
“Bagaimanapun perbuatan ini sukar dibendung berikutan ibu bapa tidak memantau pergerakan anak perempuan masing-masing menyebabkan mereka berani melakukannya.
“Mereka tidak diajar panduan menjalani kehidupan sebagai anak dan remaja hingga akhirnya terjebak dengan kegiatan itu. Mereka ini tiada ejen sebaliknya menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan. Mereka sanggup menawarkan diri serendah RM50 untuk melakukan hubungan terlarang itu.
“Namun hasil temu bual dilakukan, wang bukanlah perkara utama namun kepuasan dapat melakukan hubungan seks lebih menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan ini harus dibendung supaya tidak menular dalam komuniti masyarakat.
“Lebih menggusarkan jika ada individu mengambil kesempatan ke atas mereka. Golongan remaja ini tidak dididik secara sempurna manakala ibu bapa pula tidak mempunyai ilmu dan memberikan kefahaman agama mencukupi.
“Biasanya ibu bapa remaja ‘terbabas’ ini tidak dapat menjangkakan risiko dan ancaman di sekeliling anak-anak selain terlalu memberi kepercayaan. Ini akhirnya menyebabkan berlakunya kes rogol di mana ada dalam kalangan remaja melakukan perbuatan itu dengan kenalan media sosial baru dikenali. Di sini bermulanya masalah apabila mereka akhirnya menjadi ketagih terhadap perbuatan maksiat itu,” katanya. Sumber :- Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kebanyakan kediaman kita mempunyai hiasan dinding berupa kaligrafi daripada ayat-ayat al-Quran. Bukan sekadar untuk menghiasi kediaman tapi juga sebagai peringatan dan untuk bacaan penghuni...