Sedekah itu pembuka rezeki. Semakin banyak kita memberi, ganjarannya sangat besar. Jangan pernah takut bersedekah, bimbang kalau harta kita semakin kurang kerana sebenarnya dengan bersedekahlah rezeki bertambah-tambah.
Ini diakui oleh Man Raja Lawak yang mengakui selepas bersedekah RM50,000 hasil kemenangannya dalam Program Maharaja Lawak Mega pada 2019, rezeki dirinya sentiasa ada.
Menurut Man, adakala dirinya tidak tahu rezeki itu datang dari mana tapi ia sentiasa mencukupi buat dirinya menampung isteri dan dua anak-anaknya yang meningkat remaja.
Menceritakan kelebihan rezeki diberi Allah, pemilik nama sebenar Abdul Rahman bin Kassim ini mengakui, jika diukur pada kedudukan kewangannya, dirinya tidaklah mempunyai wang yang banyak.
“Tapi lepas menang program itu bersama Kumpulan Puteh, saya nekad untuk sedekah sebahagian wang kemenangan iaitu RM50,000 tambahan ketika itu kita semua dalam kesusahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alhamdulillah, bila kita tulus lakukan, Allah beri ganjaran yang luar biasa hebatnya.Saya kongsi sedikit kisah bulan puasa yang dah berlalu baru ini. Mestilah kita nak rebut buat pahala banyak-banyak. Jamu orang makan dan buat kebaikan lain. Ikhlas saya cakap, boleh dikatakan saya sering keluarkan belanja orang makan. Banyak juga tapi Allah ganti dengan lebih banyak. Tak tahu duit tu datang dari mana, ada saja marinya.
“Bahkan boleh saya katakan, banyak juga job saya dapat. Kadang sampai satu masa serentak datangnya. Sampai terpaksa tolak sebab bertembung. Kalau time tak ada job, tak ada langsung tapi saya masih rasa rilek. Tapi bila Allah gantikan rezeki, datang sekali banyak dengan jumlah yang kita boleh buat simpanan untuk keluarga dan masa depan,” katanya berkongsi asbab suka bersedekahnya saat ditemui di rakaman program Tahu Ke Tidok : Edisi PAFA di hoskan oleh PU Azman@ Cik Man yang akan bersiaran di Astro Oasis pada 11 Julai, Isnin jam 10-11 pagi.
Dalam pada itu, dirinya mengakui sebagai hamba Allah, dia masih memperbaiki semua kekurangan dirinya dan berharap hatinya terus istiqomah dengan melakukan kebaikan dan taat pada suruhanNya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI