Jika banyak hutang dan kita tak selesaikan semasa masih hidup memang akan menyusahkan waris apatah lagi kita juga akan hadapi masalah di sana nanti.
Antara perkara awal yang akan dihitungkan oleh malaikat adalah hutang-hutang kita yang belum lunas. Andai kita mati tapi tak sempat selesaikannya siapakah yang wajib uruskannya hingga selesai? Takut-takut tak ada istilah “…damailah di kau di sana”.
Ikuti nasihat daripada Ustaz Azhar Idrus ini.
SOALAN:
Jika seseorang itu meninggal dunia dan dia ada hutang dengan seseorang siapakah yang wajib bayar hutangnya?
JAWAPAN:
Apabila ada bagi mayat itu hutang maka hendaklah dibayar hutang tersebut dari harta yang ditinggalkannya sekali pun waris tidak bersetuju kerana waris tidak ada hak ke atas harta melainkan setelah dijelaskan segala hutang mayat.
Ertinya: “Masalah. Telah mati seseorang dan atasnya ada berhutang dan meningggalkan akan harta kadar membayar hutang atau lebih banyak tiadalah terlepas dari tanggungannya sampailah dibayar daripadanya.” (Kitab Ghayatul Talkhis)
Yakni apabila digunakan harta peninggalannya itu buat membayarkan hutang tersebut maka terlepas mayat itu dari hutangnya.
Dan berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili : إنقسمةالمواريثكلهابينالورثةمقدمعليهأولاإيفاءالديونالمتعلقةبالتركة،وتنفيذالوصايا التفسيرالمنيرللزحيلي (4/ 276)
Ads
“Sesungguhnya pembahagian segala harta pusaka sekaliannya antara segala waris didahulukan atasnya pada permulaan dengan menunaikan segala hutang yang bergantung dengan harta peninggalan dan diluluskan segala wasiatnya.” (Kitab Tafsir Al-Munir)
Maksudnya hendaklah diselesaikan dulu hutang mayat dan segala wasiat jika ada sebelum dibahagikan antara segala warisnya.
Walhasil bila mayat ada meninggalkan hutang dan harta maka wajib dibayar hutang tersebut menggunakan harta mayat bukan harta waris atau orang lain.
Waris disunatkan membayar hutang mayat andainya mayat tidak meninggalkan harta yang cukup buat membayar hutang supaya lepaslah mayat itu dari berhutang.
Siapa sangka disaat dirinya baru mahu mengenali Islam, beliau diuji apabila suami tersayang dijemput Ilahi.
Namun itu bukanlah menjadi asbab untuk kembali ke agama asal. Bagi Mualaf, Nur Amira Ann Lee Abdullah, momen bersama arwah suami akan kekal terpahat diingatan.
Berkongsi di laman sosial youtube, pekas pramugari, Amira sangat bersyukur dipilih Allah mengenali islam walaupun Tuhan menduganya mengambil nyawa insan yang disayangi.
Menurutnya dia mengenali arwah suaminya pada tahun 2009 dan hubungan mereka jadi rapat sehinggalah beberapa bulan menyatakan hasrat untuk berkahwin.
“Ketika itu saya bagi tahu dia, kalau U bukan Islam, memang saya akan terus kata yesss. Namun saya beritahu perlukan masa dan belajar untuk mendalami Islam supaya boleh ikut untuk jadi seorang Muslim yang bagus atau tidak.
“Jadi kemudian saya mula belajar kursus untuk mualaf. Setelah lima hari hati saya benar-benar terbuka setelah mendengar ceramah yang disampai oleh seorang ustazah. Malam itu saya tak boleh tidur sebab takut bila saya tertidur tadi tak bangun dan tidak sempat ucap syahadah.
“Saya memang sangat takut ketika itu walaupun tak pasti ketika itu arwah suami betul-betul ajak kahwin atau tidak,” ungkap Amira yang kemudiannya selepas tiga hari terus mengambil keputusan mengucap khalimah syahadah.
“Pada tahun 2009 jugalah saya bergelar seorang mualaf.Dan sejak dari itu saya terus belajar dan pergi kursus untuk mendalami agama Islam. Namun tidak dinafikan saya juga turut berdepan dengan cabaran dan dugaan ketika awal-awal bergelar mualaf.
“Ketika itu saya masih tinggal dengan keluarga dan kita lihat penerimaan keluarga jadi lain sedikit. Maklumlah ketika itu kita tidak boleh makan sama dengan mereka. Malah kakak saya juga rasa sedih bila lihat perubahan diri saya.
“Katanya kenapa kena pakai hijab sedangkan orang lain tak pakai pun hijab. Namun saya terangkan padanya walaupun saya berhijab, hubungan kita sekeluarga tetap tidak akan berubah,” ceritanya lagi yang turut melihat ibunya juga seperti tidak gembira dengan penghijrahannya itu.
“Mak memang nampak tak happy pada mulanya. Setiap kali dia masak dan ajak makan saya akan cakap kenyang. Tetapi sebenarnya kerana saya memang tak boleh makan menggunakan kuali yang keluarga saya gunakan.
“Tapi saya tidak sampai hati nak beritahu pada mak. Emak cakap kenapa tak makan sebab ayam bukan haram. Lepas tiga bulan barulah saya beritahu emak sebab kenapa sering elak makan bersama.
“Saya bagi tahu saya tidak boleh makan menggunakan kuali yang sama dan ayam perlu dibeli yang disembelih terlebih dahulu. Emak kemudiannya membeli kuali baru untuk saya dan keadaan ini membuatkan saya terharu,” tambah Amira yang berkata keluarganya mengambil masa untuk menerima penghijrahan yang dilakukan.
Menurutnya dia juga turut berdepan pengalaman dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga pekerja ketika bekerja dengan MAS.
“Saya akui pada mulanya memang tak pandai nak jaga solat. Saya tahu solat lima waktu dan saya kumpulkan semua solat itu dan melakukannya apabila balik rumah. Bayangkan saya solat sampai tertidur dalam rakaat. Masa itu saya masih lagi dalam proses belajar mengenal Islam.
“Kemudian baru saya sedar cara itu adalah salah dan kita perlu solat ketika masuk waktunya. Tahunkedua masuk Islam barulah saya tahu kita boleh solat jamak. Saya masih ingat lagi satu peristiwa di mana ketika itu flight delay dan saya nak solat jamak untuk Zuhur dan Asar.
“Saya pergi ke tandas untuk buang mekap dan segera ambil wuduk untuk sempurnakannya. Tetapi bila saya nak angkat takbir dengar suara azan Maghrib. Waktu itu saya rasa cukup bersalah pada Tuhan. Saya menangis tersedu-sedan.
“Saya fikir Allah beri saya segalanya tapi kenapa saya tak boleh nak sempurnakan arahannya yang satu itu, iaitu solat. Memang saya tak boleh tahan diri untuk menangis hinggakan orang dalam surau pun berpandangan melihat kelakuan saya itu. Waktu itu saya berdoa agar Allah bukakan jalan untuk saya,” ceritanya yang kemudian bertemu jodoh dengan arwah suaminya.
“Sebelum itu saya asyik bertanya pada diri saya. Kalau tak jadi kahwin pun saya still lagi jadi Muslim. Saya tanya diri masuk Islam sebab nak kahwin tapi tahu ke nanti berapa panjang jodoh kita. Saya tanya banyak kali persoalan itu kalau jodoh tak panjang, betul ke saya masih Islam, masih lagi berpegang pada Islam, betul ke tetap nak jadi Islam dan jawapannya memang Ya. Walaupun pelbagai cabaran saya tetap mahu jadi seorang Islam.
“Saya masih lagi bekerja walaupun ketika itu sudah berkahwin. Dan ditakdirkan pula mengandung dan saya melahirkan anak pertama kami pada hujung Disember 2012. Tapi siapa sangka tahun depannya itu arwah suami saya, Mohamad Norasyrul Nordin telah disahkan menghidap leukimia pada hari jadi saya.
“Setelah tahu dia sakit dan perlu jalani rawatan, saya ambil keputusan berhenti kerja sebagai pramugari. Saya jaga dia di hospital dan kami sama-sama melawan penyakit yang dideritainya. Saya sentiasa yakin Allah berikan seseorang itu penyakit kerana Allah sayang padanya.
“Walaupun saya sedih tetapi ada kalanya turut rasa down. Bukan senang untuk berhadapan dengan ujian maha hebat ini. Malah kalau diberi peluang biarlah saya yang tanggung segala kesakitannya tapi ia mustahil.
“Dan akhirnya memangf Allah lebih menyayanginya. Suami saya meninggal dua minggu sebelum ulang tahun kelahiran pertama anak perempuan kami,” ujarnya yang mengakui tidak mudah berhadapan dengan situasi berkenaan.
“Bagi saya itulah cabaran paling besar sepanjang bergelar mualaf. Saya tahu Allah tak akan uji jika kita tak mampu. Memang saya sangat down ketika itu. Malah hubungan dengan anak juga tidak begitu rapat kerana saya terpaksa meletakkan dia dalam jagaan keluarga mentua sepanjang saya menjaga suami yang sakit di hospital.
Tetapi kemudianya saya tahu saya perlu bangkit dari kesedihan ini. Saya bertemu saudara baru yang lain dan ketika itu barulah saya tahu ada lagi mualaf lain yang lagi susah situasinya berbanding saya. Misalnya tidak diterima keluarga atau perkara lain.
“Saya reda setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tahu Allah bukakan pintu hati saya untuk memeluk agamanya yan suci. Saya sedar Allah telah pilih saya dan saya juga memilih Islam sebagai pegangan hidup. Inilah yang memberikan saya semangat,” tambah Amira yang turut dipuji ibunya kerana telah menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.
“Hubungan saya dengan keluarga cukup baik. Saya akan bersama-sama mereka meraikan semua perayaan ataupun jika ada majlis babitkan sanak saudara lain. Saya tiada masalah ke arah itu dan mereka juga faham situasi saya sebagai seorang Muslim.
“”Saya tidak boleh pilih untuk dilahirkan sebagai bukan Islam tapi saya memilih untuk mati dalam Islam. Bila ada orang tanya kenapa kena pakai tudung panjang-panjang (labuh)? Saya akan jawab Kalau saya mau pakai tudung saya akan pakai tudung betul-betul.
“Arwah suami pesan, kalau awak nak pakai tudung kerana saya, bila saya sudah tiada awak akan pakai tudung, buka tudung..pakai tudung buka tudung! Tapi kalau awak pakai tudung kerana Allah SWT, awak akan pakai tudung sampai bila-bila,” tambahnya yang tidak pernah lupa akan pesanan arwah suaminya itu sampai bila-bila.
Menurut Amiraa juga salah satu anugerah terbesar dalam hidunya adalah menjadi seorang Muslim dan dapat merasai kemanian iman itu.
Justeru dia berharap sekiranya dia meninggal nanti berharap agar ada orang yang akan uruskan jenazahnya kerana seluruh ahli keluarganya bukanlah beragama Islam.
Memang benar berbakti kepada orang kedua ibu bapa adalah kewajiban bagi anak dan derhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar dalam Islam. Tetapi jangan lupa bahawa Islam tidak melihat satu sisi saja lalu melupakan sisi lain.
Islam juga mewajibkan bagi orang tua untuk berbuat baik kepada anak-anaknya.
Jika ibu bapa mendidik anak-anak dengan betul mengikut gaya hidup Islam masalah anak derhaka dapat dikurangkan. Apabila anak derhaka kepada ibu bapa kita bising tetapi adakah kita telah mendidik anak-anak kita dengan betul? Didikan agama yang cukup? Apa kata kita lihat dahulu kisah di bawah ini.
DIPETIK SEBUAH KISAH DARI KITAB TANBIHUL GHAFILIN OLEH ABUL-LAITS AS-SAMARQANDI
Pada suatu ketika di zaman Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab r.a, seseorang telah datang menemui Khalifah Islam kedua itu untuk mengadukan hal anaknya;
“Anakku ini benar-benar telah derhaka kepadaku.” kata si bapa.
Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya.
“Apakah engkau tidak takut kepada Allah dengan derhaka kepada bapamu? Kerana itu adalah hak orang tua,” kata Umar kepada si anak.
Anak itu menjawab;
“Wahai Amirul Mukminin, bukankah anak juga punya hak atas orang tuanya?”
Umar menjawab;
“Benar, haknya adalah memilihkan ibu yang baik, memberi nama yang bagus dan mengajarkan al-Kitab (al-Quran).”
Anak itu berkata;
“Demi Allah, bapaku tidak memilihkan ibu yang baik. Ibuku adalah hamba sahaya berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Ia tidak memberi nama yang baik untukku. Ia menamaiku Ju’al. Dan dia juga tidak mengajarkan Al-Quran kepadaku walau satu huruf pun dari al-Quran.”
(Nota : Ju’al adalah sejenis kumbang berwarna hitam yang selalu bergumul pada najis haiwan. Boleh juga diertikan seorang yang berkulit hitam dan berparas hodoh atau orang yang emosional).
DERHAKA SEORANG AYAH KEPADA ANAKNYA
Umar Al-Khattab r.a lantas menoleh kepada si bapa dan berkata;
“Engkau telah datang mengadukan anakmu telah derhaka kepadamu tetapi engkau yang telah derhaka kepadanya sebelum ia menderhakaimu!”
Iktibar dari kisah di atas, sebagai ibu bapa kita janganlah tergesa-gesa mencela anak sebagai derhaka. Ada banyak hak-hak anak atas ibu bapanya. Bila salah satu sisinya diabaikan, lalu anak menjadi derhaka dan keras kepala, ada kemungkinan ibu bapa tidak memperhatikan sisi tersebut.
Sekarang lebih ramai ibu bapa yang menderhaka kepada anak-anak kerana didikan agama tidak diberi secukupnya kepada anak-anak. Akibatnya lahirlah generasi lemah iman dan rosak akhlak di zaman moden pada hari ini.
Oleh itu, didiklah anak-anak sejak dari dalam kandungan lagi. Semoga generasi pewaris kita hidup dalam jalan yang diredhai oleh yang Maha Esa.
Ibnul Qayyim berkata; “Siapa yang mengabaikan pendidikan yang bermanfaat untuk anaknya dan membiarkannya begitu saja, maka ia telah melakukan tindakan terburuk terhadap anaknya itu. Kerosakan anak-anak itu kebanyakan bersumber dari ibu bapa yang membiarkan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan agama kepada mereka. Mereka (anak-anak) tidak memperhatikan perkara-perkara agama di saat masih kecil, sehingga ketika sudah besar mereka sukar meraih manfaat dari pelajaran agama dan tidak dapat memberikan manfaat bagi ibu bapa mereka.”
KESIMPULAN:
Jika anak kita buat silap, dosa atau kesalahan pada kita maka perkara pertama yang perlu kita lihat dan fikir adalah kesilapan kita dalam mendidik.
Contoh: Seorang anak bersosial hingga terlanjur, adakah anak yang perlu dipersalahkan? Tidak. Tapi kita sebagai ibu bapalah yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan dalam mendidik.
Kebebasan yang diberi kepada anak dalam menggunakan teknologi sekarang dan pergaulan. Perangai-perangai kita yang membuatkan si anak terikut-ikut. Anak fikiran mereka masih mentah sedang kita ibu bapa sudah banyak pengalaman dalam kehidupan.
Kesilapan bukan untuk dipersalahkan, tapi untuk diperbaiki, ambil ikhtibar dan nasihat pada masa akan datang.
Sumber kredit: FB: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Rezeki baik harta benda dan wang adalah dambaan manusia pada masa kini. Namun adakah rezeki yang banyak ini adalah yang terbaik buat kita? Ini kerana ada satu hadis yang menyatakan rezeki yang terbaik sebenar adalah rezeki yang cukup.
Persoalan ini diajukan oleh netizen dalam soal jawab yang dirungkai jawapannya dalam Maktabah Al Bakri.
Benarkah rezeki yang cukup adalah rezeki yang terbaik?
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah al-Zariyat: 56-58)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, berdasarkan sebuah hadith di mana:
Diriwayatkan daripada Abu Wa’il bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) bertemu dengan Ali R.A. Hamba ini berkata kepada Ali: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.”
Saidina Ali R.A lalu berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit Sobir maka Allah SWT akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.” Riwayat al-Tirmizi (3563), Ahmad (1319)
Imam al-Munawi menyebut: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)
Sifat tamak dalam rezeki yang banyak
Kadang-kadang rezeki yang banyak tetapi masih tidak mencukupi. Tambahan pula, adanya sifat tamak yang menguasai diri manusia apatah lagi wujudnya sifat boros dalam berbelanja yang mengakibatkan kepincangan kehidupan dek kerana tidak pandai mengurus kewangan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura: 27)
Seperkara lagi, dalam doa di atas, disebut cukupkan kepadaku dengan yang halal sahaja kerana kita tidak mahu yang haram berdarah daging dalam tubuh kita.
Keduanya, kita memohon kurniaan Tuhan untuk mengkayakan kita bukan orang lain sebagaimana di hujung doa tersebut:
وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Yang membawa maksud, “Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”
Mengiktiraf rezeki dan kurniaan itu daripada Allah SWT merupakan sifat para nabi. Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dia berkata, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.” (Surah al-Naml: 47)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Bila melihat seseorang dengan tanda hitam pada dahi ada kalangan kita menganggap individu tersebut rajin beribadah, selalu bersujud. Anggapan itu boleh jadi betul atau...