
Isi Kandungan
ToggleBeberapa hari lagi kita bakal menyambut bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (HR At-Thabrani)
Menjelangnya tibanya Ramadhan, perkara paling penting diselesaikan ialah menggantikan puasa selain membayar fidyah bagi yang tidak boleh menggantikan puasa ditinggalkan (menurut syarat dibenarkan).
Namun selain itu, ada beberapa persoalan-persoalan yang mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat berikutan penggunaan pelbagai alatan perubatan moden. Justeru itu Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkenaan penggunaan alatan yang boleh dan tidak membatalkan puasa, seperti berikut:
Penggunaan Alatan Yang Boleh Membatalkan Puasa :-
- Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau untuk penyakit paru-paru kronik.
- Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita;
- Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (urethroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan ‘urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing).
- Penggunaan alat seperti enema, tiup suppository, teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan system penghadaman; dan
- Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.
Penggunaan Alatan Yang Tidak Membatalkan Puasa :-
- Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);
- Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;
- Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pemeriksaan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut;
- Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;
- Pendermaan atau pemindahan darah;
- Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;
- Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;
- Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah tujuan pemeriksaan untuk prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;
- Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;
- Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air sampai ke tekak) dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan;
- Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yan diambil daripada hati atau organ-oran lain untuk tujuan analisa makmal;
- Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;
- Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;
- Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat;
- Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Boleh Kah Buat Lesung Pipit Nak Nampak Sweet?

Isi Kandungan
ToggleKebanyakan orang yang memiliki lesung pipit akan kelihatan manis apabila tersenyum. Lesung pipit merupakan lekukan yang ada pada bahagian pipi dan hanya 20 peratus sahaja manusia di dunia ini memilikinya.
Sungguh bertuah orang yang dianugerahkan lesung pipit kerana ternyata orang berlesung pipit ini selalu mendapat perhatian kerana kelihatan manis dan tampan saat tersenyum.
Antara artis terkenal yang memiliki lesung pipit ini ialah Hisyam Hamid, Anuar Zain, Shukri Yahaya, Wawa Zainal, Preity Zinta dan ramai lagi.
Namun, ada sebahagian daripada 80 peratus manusia tanpa lesung pipit berhasrat memilikinya dan berusaha untuk memiliki lesung pipit buatan!
Bagaimana agaknya dan apakah hukumnya? Ayuh kita baca ulasan Mufti.

SOALAN:
Apakah hukum lesung pipit buatan? Mohon pencerahan S.S Mufti, Terima kasih
Ringkasan Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan Allah yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).
Huraian Jawapan:
Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum.
Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua.
Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu.
Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku. Walaubagaimanapun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.
Artikel berkaitan:Berkat Beri Duit Pada Emak, Esoknya Allah Gandakan Rezeki. Usahawan Berjaya Datuk Alha Alfa Kongsi Tip Murah Rezeki!
Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”. Riwayat Muslim 2125
Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya ( Lihat Fath al-Bari 10/377). Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah
وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم
Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata.
Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim,14/107)

Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.
Artikel berkaitan:Lelaki Yang Berniat Nak Kahwin, Jangan Bawak Perangai Bujang. Ubah 5 Tabiat Ini Terutamanya Bab Solat!
Kesimpulannya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami menyatakan bahawa mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram.
Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli.
Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi.
Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya
Sumber artikel: www.muftiwp
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ahli Keluarga Bergaduh Ketika Pengebumian. Bacaan Talkin Sunnah Atau Bidaah?

Kita sering mendengar bacaan talkin dibacakan ketika upacara pengkebumian. Ia satu ingatan untuk mereka yang masih hidup.
Ikuti perkongsian dari Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari mengenai isu bacaan talkin ini menurut mazhab-mazhab dan pandangan ulama terdahulu. Bidaah atau sunnah?
Pernah saya menghadiri sebuah pengurusan jenazah dan ketika pengebumian, para ahli keluarga inginkan agar talqin dibacakan, namun anak kepada jenazah berkeras tidak mahu talqin dibacakan kerana menurutnya ia adalah perbuatan bid’ah dan tidak ada hadith sahih yang mensabitkannya. Maka berlaku sedikit ketegangan antara sesama ahli keluarga sehinggalah akhirnya talqin tidak dibacakan.
Saya sedih melihat keadaan tersebut, bukan kerana talqin tidak dibacakan, sebab hukumnya sunat, tidak wajib dan pengebumian tetap sah tanpa talqin. Tapi apa yang menyedihkan ialah kesalahfahaman segelintir pihak terhadap status hadith da’if sehingga ia menjadi penghalang baginya untuk melakukan sunnah yang telah disepakati oleh jumhur Ulama.
Tambahan pula, dia menganggap bahawa talqin adalah bid’ah yang patut dijauhi hanya kerana ia berdasarkan hadith da’if.
Ya benar hadith mengenai talqin adalah hadith da’if yang berat. Namun ia tidak menghalang para Ulama untuk menghukumnya sebagai sunnah. Demikian adalah kerana sunnah bukan sabit hanya bersandar kepada hadith sahih semata-mata, akan tetapi juga sabit menerusi hadith da’if berat sekalipun.
Amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya adalah diriwayatkan hadithnya dari Sayyidina Abu Umamah al-Bahili. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, terdapat dua jalur riwayat Sayyidina Abu Umamah al-Bahili pada hadith talqin yang kedua-duanya adalah bertaraf da’if jiddan. (Ruj: al-Futuhat al-Rabbaniyyah Sharh al-Adhkar al-Nawawiyah li Ibni ‘Allan, 4/196).
Sungguhpun hadith talqin bertaraf da’if jiddan (da’if berat), penerimaan Ulama secara meluas (Talaqqi bi al-Qabul) terhadapnya menyebabkan statusnya naik kepada sahih dan mutawatir. Hal tersebut dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat al-Naẓar (Fasl al-Khabar al-Muhtaffu bi al-Qarā’in wa Bayānuha), beliau menyatakan bahawa dalam penilaian sesebuah hadith, selain daripada melihat kewujudan riwayatnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, serta penilaian terhadap jalur sanadnya, qarinah yang terkuat lebih dari itu semua adalah al-Talaqqi bi al-Qabul iaitu kesepakatan para Ulama untuk menerima sesuatu fakta yang terdapat dalam sesebuah hadith itu sehingga hanya dengan wujudnya al-Talaqqi bi al-Qabul itu satu sahaja sudah mencukupi untuk beramal dan mengakuinya kerana kekuatannya bahkan melebihi daripada hadith yang mempunyai jalur sanad yang banyak.
Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith berkata, “Dan demikianlah, apabila para Ulama secara Talaqqi bi al-Qabul telah menerima sesebuah hadith da’if sebagai maqbul, maka ianya diamalkan serta dianggap sahih. Sehinggakan ia boleh menjadi pada darjat mutawatir yang boleh memansukhkan hukum-hakam yang lain.
Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam al-Ajwibah al-Fadilah (ms.228) menegaskan bahawa mana-mana hadith da’if yang telah mencapai Talaqqi bi al-Qabul adalah WAJIB untuk mengakui dan mengamalkannya sebagaimana hal tersebut ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Ifṣah ‘ala Nukat Ibni al-Ṣalah dan demikian itulah apa yang dipegang oleh para imam-imam Usul.
Seluruh mazhab yang empat menyatakan bahawa talqin adalah sunnah dibacakan. Di bawah ini adalah keterangan Ulama dari empat mazhab:-
1. Mazhab Shafi’i
Imam al-Nawawi al-Shafi’i dalam kitabnya al-Majmu’ (j.5, ms. 303) berkata:-
يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ عَقِبَ دَفْنِهِ فَيَجْلِسُ عِنْدَ رَأْسِهِ إنْسَانٌ
“Disunnahkan mentalqin mayat segera setelah menguburnya, di mana seseorang duduk di depan kepala mayat, dan berkata: Wahai fulan anak fulan….sehingga akhir”.
2. Mazhab Maliki
Imam Al-Mawwaq Al-Maliki, al-Taj Wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil (j.2, ms. 375) berkata:
إذَا أُدْخِلَ الْمَيِّتُ قَبْرَهُ فَإِنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُهُ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ، وَهُوَ فِعْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ الصَّالِحِينَ مِنَ الْأَخْيَار
“Jika mayat telah dimasukkan ke dalam kuburnya, maka sesungguhnya disunnahkan mentalqinnya pada saat itu. Hal ini merupakan perbuatan penduduk Madinah yang saleh lagi baik”.
3. Mazhab Hanafi
Imam al-Zayla’i al-Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq (j.3, ms. 153) menyebutkan:-
أَنَّ تَلْقِينَ الْمَيِّتِ مَشْرُوعٌ، لِأَنَّهُ تُعَادُ إلَيْهِ رُوحُهُ وَعَقْلُهُ، وَيَفْهَمُ مَا يُلَقَّنُ
“Sesungguhnya mentalqin mayat itu disyariatkan, sebab ruhnya dikembalikan kepadanya, begitu pula akalnya. Dia memahami apa yang ditalqinkan (diajarkan)”.
4. Mazhab Hanbali
Imam al-Buhuti al-Hanbali dalam kitabnya Sharh Muntaha al-Iradat (j.1, ms. 374) menulis:
وَسُنَّ تَلْقِيْنُهُ أَيْ: الْمَيِّتِ بَعْدَ الدَّفْنِ عِنْدَ الْقَبْرِ؛ لِحَدِيْثِ أَبِي أُمَامَةَ البَاهِلِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ
“Dan disunnahkan mentalqin mayat setelah dikebumikan dalam kuburan, bersandar kepada hadith riwayat Abi Umamah Al-Bahili radhiyallahu anhu”.
Imam Ibnu Qayyim yang bermazhab Hanbali dalam kitabnya al-Ruh (ms.29) mengatakan bahawa amalan talqin adalah sunnah meskipun ia bersandar kepada hadith yang tidak sabit.
Ketika beliau membicarakan mengenai riwayat berkenaan kelakuan orang hidup diketahui orang-orang mati, beliau berkata, “Hal tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang telah mati mengetahui keadaan orang-orang hidup, mengetahui kunjungan ziarah mereka, dan mendengar salam mereka ke atasnya, sebagaimana amalan yang telah berlangsung sejak awal sehingga saat ini dari pembacaan talqin ke atas mayat di kuburnya. Dan telah ditanya Imam Ahmad bin Hanbal akan hal tersebut maka beliau telah memandangnya sebagai amalan yang baik dan beliau berhujah dengan pengamalan ahli ilmu terhadapnya”.
Selanjutnya Imam Ibnu Qayyim menyebutkan sebuah hadith da’if secara penuh dari al-Mu’jam li al-Tabrani mengenai amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya, lalu beliau berkomentar:-
“Sungguhpun hadith ini tidak sabit, namun pengamalannya yang berterusan secara turun temurun oleh orang ramai (ahli ilmu) di segenap tempat dan setiap era tanpa sebarang penafian, adalah cukup untuk menjadi bukti untuk diamalkan.
Demikian itu adalah kerana Allah Ta’ala tidak sekali-kali mentakdirkan sebuah kebiasaan ke atas umat yang merata di Timur dan Barat, yang mana umat ini adalah umat yang paling sempurna akalnya dan paling banyak pula pengetahuannya, untuk mengungkapkan perbicaraan kepada sesuatu yang tidak dapat mendengar atau mengerti?
Padahal seluruh umat telah menganggapnya sesuatu yang baik dan tidak ada sesiapa yang menafikannya. Bahkan ia merupakan SUNNAH yang bermula dari golongan terdahulu lalu diikuti oleh yang terkemudian. Kalaulah orang yang ditujukan perbicaraan itu tidak dapat mendengar, nescayalah ia sama seperti berbicara kepada tanah, kayu dan batu nisan atau kepada seseorang yang tiada (al-ma’dum)”.
Kesimpulan:-
Amat penting untuk membezakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan “sunnah” dan “bukan sunnah”, adakah ianya sunnah dalam definisi Fuqaha’ atau Muhaddithin. Definisi yang sepatutnya digunakan oleh masyarakat awam ialah apa yang disebut oleh para Fuqaha’ iaitu “sunnah ialah apabila melakukannya mendapat pahala, meninggalkannya tak dapat apa-apa”, bukan definisi sunnah yang dipegang oleh Muhaddithin iaitu “Segala peninggalan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan, keputusan, mahupun sifat”.
Mengheret masyarakat awam kepada definisi Sunnah yang diguna pakai oleh para muhaddithin dengan menggesa mereka untuk semak status hadith dan mencari dalil pada setiap gerak geri ibadah adalah sebenarnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. al-Hafiz Ibn al-‘Arabi al-Maliki (m. 543 H) sangat keras terhadap literalis yang menuntut dalil berbentuk nas bagi setiap masalah hukum. Dalam ‘Aridah al-Ahwadhi (Abwab al-Zakat, ms.104), Syarah Sunan al-Tirmidhi, beliau menyebut sikap ini menyalahi Salaf, bahkan menyebut mereka sebagai “keldai”.
Ulama mensyariatkan amalan talqin bukanlah hanya sebagai tazkirah untuk orang yang masih hidup, akan tetapi ia turut membantu orang yang sudah meninggal dunia dalam meneguhkan dan memantapkan si mati menghadapi alam barzakh dan persoalan Munkar dan Nakir kerana pendengaran orang yang sudah meninggal itu lebih tajam berbanding orang-orang hidup yang hadir pengebumian sebagaimana hal itu sabit secara sahih dalam peristiwa Nabi Muhammad SAW berbicara di Badar yang ditujukan buat orang-orang yang telah meninggal. (al-Bukhari).
Selain amalan talqin, berdoa adalah cara orang yang masih hidup dapat membantu si mati sesuai dengan sabda RasuluLlah SAW: “Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat ketetapan, sesungguhnya dia (jenazah) sekarang ini sedang disoal”. (Riwayat Abu Daud).
Amalan talqin adalah SUNNAH dan status hadithnya telah naik kepada sahih dan mutawatir disebabkan faktor penerimaan Ulama secara meluas terhadapnya (Talaqqi bi al-Qabul).
Diharapkan selepas ini, tidak ada lagi isu bid’ah membid’ah dalam amalan talqin yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam.
Kita boleh berbeza pendapat, akan tetapi jauhi sikap tergesa-gesa dan gopoh dalam melabelkan ke atas orang lain dengan sesat dan bid’ah.
Jangan hanya kerana melihat status sesebuah hadith itu da’if walau berat sekalipun, terus ia menjadi harga mati untuk amalan tersebut ditolak. Demikian adalah kerana mengetahui status hadith bukanlah produk terakhir dalam pembentukan sesebuah hukum dan amalan dalam agama kita.
Sesungguhnya kaedah pendalilan disisi Ulama Muktabar bukanlah sesimple itu. Cukuplah kita mengikut apa yang telah dihidangkan oleh Ulama Muktabar kepada kita untuk mengamalkan apa yang patut diamalkan dan meninggalkan apa yang patut ditinggalkan.
HADITH TALQIN
Dibawah ini adalah hadith yang digunakan para Ulama dalam pensyari’atan talqin ketika pengebumian.
حديث أبي أمامة في التلقين . أخرجه الطبراني في ” الكبير ” عن سعيد بن عبد الله الأودي قال : ” شهدت أبا أمامة الباهلي وهو في النزع فقال : إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمر رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) فقال : أذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب عليه فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل : يا فلان بن فلان بن فلانة فإنه يسمع ولا يجيب ثم يقول : يا فلان بن فلانة فإنه يستوي قاعدا ثم يقول : يا فلان بن فلانة فانه يقول : أرشدنا رحمك الله ولكن لا تشعرون فليقل : اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة : أن لا اله الا الله وأن محمدا عبده ورسوله وأنك رضيت بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما فان منكرا ونكيرا يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول : انطلق بنا ما نقعد عند من لقن حجته فيكون الله حجيجه دونهما قال رجل : يا رسول الله فإن لم يعرف أمه ؟ قال : فينسبه إلى حواء : يا فلان بن حواء ”
Sayyidina Abu Umamah al-Bahili berkata “Apabila aku mati nanti, maka lakukan kepadaku seperti yang disuruh oleh Rasulullah SAW, Baginda bersabda:-
“Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ratakanlah tanah pada kuburnya (kuburkanlah). Hendaklah salah seorang dalam kalian berdiri di pinggir kuburnya dan hendaklah berkata :-
“Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia boleh mendengarnya tetapi tidak boleh menjawabnya.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan duduk.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan berkata : “Berilah kami petunjuk –semoga Allah merahmatimu-“ dan kalian tidak akan merasakannya.
Kemudian hendaklah berkata : “Sebutlah sesuatu yang kamu bawa keluar dari dunia, iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah ﷻ, Muhammad hamba dan utusan-Nya, dan sesungguhnya kamu reda Allah menjadi Tuhanmu, Muhammad menjadi Nabimu, dan Al-Qur’an menjadi imammu”, sebab Munkar dan Nakir saling berpegangan tangan dan berkata : “Mari kita pergi. Kita tidak akan duduk (menanyakan) di sisi orang yang telah ditalqini (dipimpin) hujjahnya (jawapannya), maka Allah menjadi hajiij (yang mengalahkan dengan menampakkan hujah) baginya bukan Munkar dan Nakir”.
Kemudian seorang sahabat lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah! Jika dia tidak tahu ibu si mati?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Nisbahkan kepada Hawa, wahai fulan bin Hawa”
(Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir).
Semoga bermanfaat
Disediakan oleh : iqbal Zain al-jauhari
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sengaja Lewatkan Solat Isyak Untuk Lakukan Tahajud & Qiamullail, Ini Hukumnya

Isi Kandungan
ToggleSengaja lewatkan solat isyak untuk lakukan solat tahajud & qiamullail, ini hukumnya. Setengah orang selesa melewatkan solat Isyak kerana dalam masa yang sama ingin menunaikan solat tahajud.
Namun adakah kita dibenarkan untuk melewatkan waktu solat Isyak semata-mata untuk bangun tahajud serta berqiyam. Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini:
Soalan:
Apakah hukum melewatkan waktu isyak untuk melakukan qiamullail ?
Jawapan:
Kami sebutkan di sini berkenaan tempoh masa bermula dan berakhirnya waktu isyak sebagaimana yang telah dibincangkan oleh para fuqaha.
Waktu Bermula Solat Isyak
Menurut pendapat muktamad di dalam mazhab Imam al-Syafie, waktu bermulanya isyak adalah ketika hilangnya (tidak kelihatan) jalur merah di atas ufuk langit. Iaitu ketika tamatnya waktu solat maghrib. Lihat Al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/167).
Pendapat ini adalah berdasarkan beberapa riwayat daripada Nabi S.A.W. Berikut kami nyatakan beberapa riwayat yang berkaitan dengan isu ini.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma Rasulullah S.A.W bersabda:
وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ
Maksudnya: Dan Jibril A.S. solat isya’ bersamaku ketika mana hilangnya garisan merah di ufuk.
Riwayat Abu Daud (393)
Di dalam riwayat yang sama, Nabi S.A.W bersabda:
وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ
Maksudnya: Dan dia (Jibril) solat isya’ bersamaku sehingga satu pertiga malam.
Riwayat Abu Daud (393)
Sengaja Lewatkan Solat Isyak
Berdasarkan beberapa hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah S.A.W mengatakan bahawa waktu bermulanya solat isyak adalah ketika mana hilangnya garisan merah di atas langit.
Waktu Berakhir Solat Isyak
Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat kepada tiga pandangan. Ianya seperti berikut:
Pertama: Solat Isyak tamat pada hujung 1/3 pertama malam.
Kedua: Solat isyak berakhir pada separuh malam.
Ketiga: Solat isyak tamat sehingga terbit fajar sadiq. Rujuk Sahih Fiqh al-Sunnah (1/215).
Pendapat yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie menyatakan:
Tamatnya waktu isyak ialah apabila terbitnya fajar sadiq. Adapun waktu ikhtiyar (terbaik; terpilih) untuk menunaikan solat isyak ialah sehingga sepertiga malam, dalam pendapat lain, sehingga pertengahan malam. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ
Maksudnya: Sekiranya aku tidak risau akan memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka untuk melewatkan isyak sehingga satu pertiga malam atau separuh malam.
Riwayat Al-Tirmizi (167)
Kemudian waktu jawaz (dibolehkan solat) berlangsung sehingga sebelum waktu subuh. Ada juga sebahagian ulama yang berkata makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/167).
Pengertian Qiyamullail Atau Tahajjud
Para ulama mengatakan bahawa tahajjud adalah perbuatan berjaga malam dan meninggalkan tidur. Maka ia bererti, solat yang dilakukan pada waktu malam selepas daripada tidur.
Atau dalam erti kata lain ia adalah Qiamullail (mendirikan malam). Diletakkan juga penamaan qiyamullail itu pada solat yang dilakukan pada waktu malam sebelum tidur.
Dari segi istilah, tahajud bererti: Solat sunat pada waktu malam setelah daripada tidur. Lihat Al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/387).
Baca Di Sini:
Selalu Terbabas Solat Subuh & Isyak, Jangan Sampai Kita Jadi Orang Munafik
Ramai Rugi Tinggalkan Solat Sunat Ba’diyah Selepas Isyak, Lebih Afdal Dari Kejar Tarawih
Melewatkan Isyak Untuk Melakukan Qiamullail
Kami berpandangan, sekiranya dilewatkan solat isyak dengan sebab pembelajaran, atau sekiranya solat tersebut dilewatkan kerana menjangkakan kehadiran jemaah yang lebih ramai maka dibolehkan untuk melakukan hal tersebut.
Sebaliknya, jika tiada sebarang keperluan untuk dilewatkan solat, serta didapati jemaah telah berhimpun di masjid atau surau pada awal waktu solat, maka itu lebih utama berdasarkan keumuman sabda Nabi S.A.W kepada Abu Zar R.A:
كَيْفَ أَنْتَ إِذَا بَقِيتَ فِي قَوْمٍ يُؤَخِّرُونَ الصَّلاَةَ عَنْ وَقْتِهَا قَالَ قَالَ مَا تَأْمُرُ قَالَ صَلِّ الصَّلاَةَ لِوَقْتِهَا
Maksudnya;
Bagaimanakah akan kamu lakukan sekiranya kamu berada bersama-sama kaum yang melewatkan solat dari waktunya ? Lalu Abu Zar berkata: Apa yang kau perintahkan (wahai Rasulullah) ? Jawab Rasulullah S.A.W: Solatlah kamu pada waktunya.
Riwayat Muslim (648)
Juga berdasarkan sabda baginda S.A.W dalam menjawab persoalan Abdullah bin Mas’ud R.A:
أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ ؟ قَالَ : الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا
Maksudnya: Amalan apakah yang paling Allah sukai ? Jawab Nabi S.A.W: Solat pada awal waktunya.
Riwayat al-Bukhari (527)
Untuk Lakukan Solat Tahajud & Qiamullail, Ini Hukumnya
Akhir kalam, dalam hal ini kami berpendapat bahawa lakukanlah solat isyak secara berjemaah. Ini kerana perbuatan tersebut juga dianggap sebagai qiyamullail serta diberikan ganjaran sesiapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai maka dituliskan ganjaran untuknya pahala qiyam sepanjang malam.
Jangan juga pandang rendah jika hanya mampu laksana DUA rakaat Tahajud sahaja, asalkan konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah swt berbanding yang banyak tetapi terputus.
Tahajud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub jauh lebih mulia dari berbelas rakaat tetapi ujub, bongkak dan memandang rendah ibadah orang lain.
Kashoorga: Mulakan dengan solat tahajud dua rakaat, biar sedikit tetapi konsisten.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI