
Rajuk dan manja seakan rencah dalam sesebuah rumah tangga. Yang selalu merajuk tentulah isteri kerana sememangnya wanita sentiasa ‘laparkan’ perhatian seorang lelaki bergelar suami. Bila isteri merajuk, jangan terus-terus menghukumnya dan jangan sesekali membiarkan dia merajuk terlalu lama. Pujuklah segera kerana selalunya isteri gemar dipujuk oleh suami. Sekadar merajuk manja.
Namun hati-hati para isteri sekalian. Ini kerana merajuk juga boleh mengundang kepada haram dan derhaka.
Berikut perkongsian oleh PU Salman
BENARKAH ISTERI MERAJUK ITU HARAM DAN DERHAKA
Saya ada baca fb seorang penasyid yang saya minat suara dan lagu-lagunya mengatakan isteri merajuk itu berdosa dan derhaka. Derhaka dalam fekah disebut nusyuz. Sebenarnya merajuk ada tiga jenis.
MERAJUK YANG HARUS
Pendam rasa hati, muka sedih dan kecewa dan kata-kata lembut emotional. Ini adalah fitrah manusia. Allah SWT berfirman:
وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (97)
Dan sesungguhnya kami mengetahui sesungguhnya engkau berasa sempit dadamu (sakit hati) kerana apa yg mereka ucapkan. 97 : Al-Hijr
Nabi SAW pun ada rasa disakiti hatinya apatah lagi sang isteri manusia biasa.
Kadang-kadang dengan merajuk sebegini suami baru perasan suami telah menyakiti isteri.
MERAJUK YANG DOSA TAPI TAK NUSYUZ
Kata-kata yang menyakiti suami seperti herdik, meninggi suara, hempas pintu dan seumpanya. (Rujuk nas kitab dibawah)
MERAJUK YANG HARAM DAN NUSYUZ (DERHAKA)
Enggan bersama tanpa sebab yang dibenarkan dan keluar tanpa izin suami .
وقال الخطيب الشربيني في “مغنى المحتاج” (3/ 259 ط/ دار الفكر): [وَالنُّشُوزُ هُوَ الْخُرُوجُ مِنْ الْمَنْزِلِ بِغَيْرِ إذْنِ الزَّوْجِ لا إلَى الْقَاضِي لِطَلَبِ الْحَقِّ مِنْهُ، وَلا إلَى اكْتِسَابِهَا النَّفَقَةَ إذَا أَعْسَرَ بِهَا الزَّوْجُ، وَلا إلَى اسْتِفْتَاءٍ إذَا لَمْ يَكُنْ زَوْجُهَا فَقِيهًا وَلَمْ يَسْتَفْتِ لَهَا، وَكَمَنْعِهَا الزَّوْجَ مِنْ الاسْتِمْتَاعِ وَلَوْ غَيْرَ الْجِمَاعِ لا مَنْعِهَا لَهُ مِنْهُ تَدَلُّلا، وَلا الشَّتْمُ لَهُ، وَلا الإِيذَاءُ لَهُ بِاللِّسَانِ أَوْ غَيْرِهِ بَلْ تَأْثَمُ بِهِ،
Imam Khatib asSyarbini menyebut dlm kitab Mughnil Muhtaj:
Derhaka isteri adalah:

1. Keluar rumah tanpa izin kecuali 3 sebab a) jumpa Qadi untuk minta hak daripada suaminya b) bekerja bila suami tak mampu c) jumpa mufti untuk tanya hukum.
2. Isteri tidak mahu permintaan suami untuk bercumbu walaupun tak sampai tahap jimak. Kalau menolak kerana bermanja-manja takpa.
Tidak dikira nusyuz (derhaka) apabila isteri maki hamun, atau menyakiti dengan lidah atau sebagainya walaupun ianya berdosa.
Bila disebut derhaka ianya sudah menjadi dosa besar dan gugur nafkah daripada suami. Maka bukanlah semua merajuk itu dilarang. Malahan setengahnya baik untuk menyedari suami.
Sumber kredit: PU Salman
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Pilih Calon Tepat, Ustazah Nik Salida Kongsi Tip Wujudkan Keluarga Bahagia Till Jannah

Memandang wajahnya yang tenang sudah menggambarkan peribadi si empunya diri. Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh bukanlah calang-calang nama di pentas ceramah. Nama beliau sering meniti di bibir lantaran kepetahan bicaranya ketika menyampaikan dakwah.
Mesra disapa dengan panggilan Ustazah Nik Salida, wanita berwajah keibuan ini kini sedang bercuti sabatikal selama sembilan bulan sehingga Julai 2018 untuk menyiapkan penyelidikan dan penulisan buku. Dalam masa yang sama beliau juga sibuk dengan tugas sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM.
Dalam pada kesibukan menguruskan tugas-tugas hakiki, Ustazah Nik Salida juga turut sibuk memenuhi pelbagai jemputan untuk menyampaikan ceramah dan forum berkaitan hak asasi, integriti, isu-isu agama dan undang-undang, kekeluargaan dan hak wanita.
Selain itu Ustazah Nik Salida juga sering memenuhi jemputan sebagai tetamu di pelbagai rancangan TV dan radio bagi membincangkan isu-isu semasa dan agama.
Sebagai seorang wanita yang berkerjaya dan dalam masa yang sama turut ‘menyandang’ jawatan sebagai isteri dan juga ibu, agihan masa antara kerjaya dan juga pengurusan keluarga amat penting. Support system yang berkesan amat membantu perkembangan dan jatuh bangun dunia kerjaya seorang wanita.
“Saya bertuah kerana mempunyai suami yang menjadi tunjang utama dalam menguruskan keluarga. Walaupun beliau sendiri amat sibuk dengan kerjayanya sebagai peguam tetapi beliau jugalah yang menguruskan aktiviti saya dan anak-anak.
“Syukur juga kerana saya mempunyai pembantu rumah yang cekap dan boleh membantu saya menguruskan anak-anak dan keperluan rumahtangga dengan baik.
“Sebab itulah saya merasakan bahawa saya boleh mengagihkan masa antara kerjaya dan keluarga dengan baik setakat ini. Bahkan saya memasak dan menggosok baju setiap hari kerana saya tidak benarkan pembantu lakukan ini.
“Saya mempunyai dua orang anak yang tinggal di asrama dan saya serta suami pastikan kami menziarahi mereka setiap hujung minggu,” tutur Ustazah Nik Salida suri kepada Mohd Najib Abas.
Menjalani gaya hidup yang sibuk, ibu kepada Muhammad Naquib Izzul Wafiq, 17, Najeeha Izzatul Hana, 13, Najeeya Khyra, enam tahun dan Naiela Tihani, tiga tahun mengakui bahawa beliau tidak mempunyai masa lapang.
Sekiranya ada sedikit waktu terluang, beliau turut berkongsi aktiviti rutin harian, program-program dan bertukar maklumat di laman sosial.
“Saya lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga di rumah, memasak untuk kawan-kawan dan saudara-mara yang saya undang ke rumah. Selebihnya saya suka membawa anak-anak membeli belah.
“Saya suka memasak tetapi tidak mempunyai masa yang banyak. Jika ada sedikit waktu terluang, saya membakar kek cawan dan menghiasnya dengan anak-anak dan kami berkelah di halaman rumah. Bersama anak-anak juga saya suka melayan mereka melukis dan mewarna.
KEHIDUPAN PERIBADI
Berkongsi cara mendidik anak-anak, jelas Ustazah Nik Salida seperti orang lain juga, sejak kecil, anak-anak dibiasakan dengan adab dan akhlak. Mereka juga perlu khatam al-Quran sebelum berusia 10 tahun.

“Sebenarnya ia agak lewat khatam al-Quran dalam usia tersebut tetapi memandangkan saya sendiri yang mengajar mereka, ia terbatas kepada waktu saya berada di rumah sahaja untuk mengajar. Saya juga pastikan anak-anak belajar di sekolah aliran agama
“Anak-anak wajib mengetahui ilmu-ilmu agama atau diniah sebelum meneroka lebih jauh pelbagai cabang ilmu lain. Saya ingin pastikan mereka mendapat pendidikan agama di peringkat rendah dan menengah tetapi di peringkat ijazah, saya lebih suka sekiranya mereka mengambil jurusan profesional dan menamatkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi,” ungkap Ustazah Nik Salida.
Kehidupan yang sentiasa ‘dikejar’ dengan kesibukan memerlukan Ustazah Nik Salida sentiasa kekal bertenaga. Apa yang diamalkan oleh beliau ialah setiap pagi beliau mengambil madu, minyak zaiton, cuka epal dan segelas air masak sebagai sarapan.
“Waktu tengahari saya mengambil satu hidangan protein dan dua per tiga jenis sayuran tanpa nasi. Begitu juga untuk makan malam.
“Saya berasa sihat dan cergas sekiranya tidak mengambil nasi. Saya pastikan mempunyai tidur yang cukup walaupun tidak tidur di waktu siang,” kongsi Ustazah Nik Salida ringkas.
5 TIP BINA KELUARGA BAHAGIA:
1. Tahu misi, visi dan objektif berumahtangga dan berkeluarga dengan jelas dan berusaha merealisasikannya
2. Memilih calon pasangan yang tepat (kita perlu kenal dan tahu peribadinya) untuk saling melengkapkan kekurangan yang ada.
3. Mencari bahagia berlandaskan hukum syarak.
4. Melakukan semua aktiviti secara berjemaah dan menggalakkan kecenderungan minat yang sama di kalangan ahli keluarga.
5. Menjadikan sifat Islam sebagai agama yang membawa rahmat serta tunjang untuk mengamalkan cara hidup Islami. Mudah-mudahan menjadi sebab kehidupan berkeluarga kami sentiasa di dalam rahmat Allah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bila Dah Bergelar Suami Isteri, Urusan Rumah Tangga Buat Sama-sama

Kalau dengar orang tua apabila suruh cari isteri, antara alasan dan nasihatnya:
“Ada orang jaga makan pakai kau..”
“Nampaklah kau terurus sikit..”
“Dapat makan sedap. Balik rumah semua terhidang..”
“Taklah teruk sangat kena kerja.. Ringan banyak beban tu kalau beristeri nanti..”
Ini antara sebab yang biasa saya dengar daripada nasihat orang tua kepada lelaki yang bujang tentang KENAPA MEREKA PERLU BERKAHWIN.
Ya, yang banyak ditekankan kepada orang lelaki apabila berkahwin adalah FAEDAH dan _OPPORTUNITY_ yang lebih baik mereka akan dapat jika mereka berkahwin, sehingga perkahwinan ini akhirnya tertanam sebagai sesuatu yang MUDAH dan TEMPAT MENGAUT FAEDAH untuk lelaki.
Kahwinlah..
Ada orang gosokkan baju. Kalau dulu bersiap untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi sudah bangun, sekarang, jam 6.30 pagi bangun pun masih sempat. Sebab? Baju dah siap seterika. Yeah, kahwin maknanya boleh dapat tidur _extra_.
Kahwinlah..
Ada orang siapkan makan pagi. Kalau dulu, bangun pagi lambat, asyik tak sempat nak makan. Sampai ke 11 pagi baru sempat sarapan. Kalau kahwin, bangun-bangun lagi dah terus boleh makan. Dah siap makan, tinggalkan saja pinggan mangkuk cawan di meja makan dengan isteri. Pandailah dia uruskan. Kita? Acah-acah gelabah sebab dah terlambat. Isteri lambat? Tak apa, itu masalah dia. Pandai-pandai dia jawab dengan bos dia. Yeah, kahwin bermakna dapat lebih kebebasan masa.
Kahwinlah..
Tak perlu lagi dah makan di luar. Mahal dan tak dijamin bersih! Kalau berkahwin, balik rumah makanan sudah terhidang, boleh makan sedap-sedap. Belanja pun jimat. Jimat bukan sebab makan di rumah saja, tapi kadang-kadang boleh buat-buat lupa beli barang dapur. Ada isteri tolong _top up_ dan belikan segalanya. Yeah, kahwin untuk kita dapat _extra_ duit belanja.
Kahwinlah..
Boleh tidur nyenyak. Dulu kena set jam nak bangun Subuh. Subuh pun selalu terlajak. Sekarang. Tak apa. Ada isteri yang PERLU BANGUN lebih awal, ulang alik 3, 4 kali kejut dan kejut sampai suami bangun. Dulu, kalau tidur balik, terlajak bangun! Lambat ke tempat kerja. Dah kena marah dengan bos. Kalau dah kahwin, tak apa tidur semula, pandai-pandailah isteri datang berkali-kali kejutkan kita macam kanak-kanak tak faham bahasa. Yeah. Kahwin maknanya kita boleh kembali jadi kanak-kanak _Ribena_.
Jadi, kahwinlah wahai lelaki. Kerana urusan kita akan banyak dipermudahkan. Kahwin memang _best_!
Tak hairan, lepas berkahwin, lelaki *bertambah senang*. Perempuan? *Bertambah bengang*.
Makin lama lelaki kahwin, makin menjadi-jadi miang. Maklumlah, kahwin ini urusan senang. Bila-bila pun boleh sembang tentang nak tambah lagi seorang. Urusan senang, kan? Hari-hari dia sembang bila nak tambah lagi seorang.
Perempuan? Di rumah dah macam medan perang. Semua benda dia perlu uruskan. Jaga anak yang tak pandai jaga diri. Jaga suami yang tak pandai jaga diri juga. Beban kewangan, pendidikan anak-anak, urusan pertukangan di rumah, urusan sekolah anak-anak dan segalanya. Tapi tak apa, memang wanita diajar macam itu dari dulu lagi.
“Apanila dah berkahwin, tak macam dulu lagi.. Kita kena berkorban.. Hidup kita berubah 100% dan sangat mencabar.. ”
“Kahwin ni, tak boleh berkawan sangat dah.. Suami itu raja, jaga suami macam jaga raja.. Dunia lain dah tak ada buat kita. Ada suami saja..”
“Kalau dah kahwin, jangan susahkan suami. Layan suami dan seluruh keluarga dia. Jangan bagi dia buat apa-apa, isteri solehah dia yang buat segalanya.”
“Jaga suami elok-elok. Kau kena pandai jaga diri. Bukan jaga diri je, pandai jaga suami apatah lagi.. Suami lari, kau yang berdosa!”
Ini perbezaan antara 2 pesanan tentang 1 tanggungjawab yang sama, tetapi kepada 2 golongan yang berbeza.
Wanita dipesan perkahwinan sebagai medan berkorban.
Lelaki dipesan perkahwinan medan mengambil kesenangan.
Hasilnya kepincangan yang kita lihat dalam institusi rumah tangga kita pada hari ini.
Hal ini menjawab kenapa wanita banyak berkorban dan TERKORBAN selepas berkahwin.
Perkahwinan adalah medan lelaki menambah kesenangan, menurunkan kesusahannya kepada sang isteri. Dan perkahwinan bagi perempuan adalah medan pengorbanan, meninggalkan segala kesenangan dan KETENANGAN diri dan bersusah-susah untuk suami.
Ini adalah gambaran perkahwinan yang tempang dalam masyarakat kita.
Budaya ini perlu dihentikan. Islam tidak pernah ajar bahawa perkahwinan adalah suatu yang MUDAH BAGI SUAMI. Ya, perkahwinan adalah sesuatu yang BERAT DAN MENAMBAH BEBAN buat suami, bukan tempat membuang beban ke bahu isteri.
Anak perempuan diajar, perkahwinan sesuatu yang berat dan susah buat mereka. Anak lelaki diajar, perkahwinan adalah sesuatu yang indah dan senang buat mereka.
Maka, lahirlah KONFLIK TANGGUNGJAWAB di dalam institusi kekeluargaan.
Suami menjadi lebih wanita dari sang isteri. Isteri menjadi lebih lelaki dari sang suami.
Hakikatnya yang perlu kita ajar kepada generasi kita. PERKAHWINAN ADALAH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG PEREMPUAN, DAN PERKAHWINAN ADALAH SESUATU YANG JAUH JAUH JAUUUUH LEBIH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG LELAKI.
Mengapa jauh lebih susah bagi lelaki?
Kerana ALLAH meninggikan darjat lelaki dan menjadikan mereka KETUA keluarga, kapten kapal yang bertanggungjawab atas SEGALANYA, sedang wanita cumalah anak kapal yang menumpang kebijaksanaan, kegagahan dan kehebatan ketua kapalnya. Sebagai pembantu, bukan sebagai pengemudi segalanya.
Biar lelaki faham, hakikat dan maknanya bila dia ambil anak dara orang untuk dijaga dan dididik. DIBUAT TEMAN BAIK. BUKAN DIBUAT BIBIK.
Biar wanita juga faham, hakikat dan maknanya apabila dia disunting seorang lelaki. Untuk dikasihi, untuk disyukuri, untuk dikhidmat seikhlas hati dalam POLA _GIVE AND TAKE_, DAN BUKAN POLA _PARASITISME_ yang paling banyak berlaku pada hari ini.
Kepincangan rumah tangga dalam masyarakat kita pada hari ini, antara puncanya adalah kesilapan warisan ini yang memberi pesan dan fahaman kepada lelaki, bahawa perkahwinan bukan medan menabur bakti, tetapi perkahwinan adalah medan kau diperaja dan memperguna sehingga LUNYAI kudrat seorang isteri.
Ini adalah kesilapan warisan yang mesti kita hentikan.
Generasi ibu bapa zaman kini, harus BERIKAN GAMBARAN SEBENAR tentang perkahwinan SECARA ADIL kepada anak-anak.
Perkahwinan bukan _parasitisme_ SEORANG HIDUP DAN SEORANG LAGI AKAN MATI, tetapi perkahwinan, adalah PERKONGSIAN HIDUP, iaitukedua-dua jiwa sama-sama hidup memberi dan menerima kasih sayang, cabaran, kesusahan, tanggungjawab, amanah dan sebagainya.
Perkahwinan adalah medan yang payah.
Tolonglah, jangan ambil mudah.
Baik di pihak wanita, mahupun lelaki.

Pada masa akan datang, saya akan menulis cara kita sepatutnya mengajar kepada anak tentang perkahwinan. Biar anak lelaki kita tenang bahagia tanpa dosa di sisi anak perempuan kita, biar anak perempuan kita, terbela terjaga di sisi anak lelaki kita. Bukan nak suruh mereka kahwin atau faham apa itu kahwin di usia muda, TETAPI UNTUK MEREKA FAHAM PERANAN MEREKA DI SEBALIK JANTINA YANG ALLAH CIPTA. Ini tujuan _Mariage Education_ dalam Islam.
Saya berpendapat, ini adalah antara _syllabus parenting_ antara yang paling kritikal untuk disentuh pada zaman ini.
Saya tidak menulis ini untuk membangkitkan _gender war_ antara lelaki dengan perempuan. Tetapi TERIMA DAN HADAPLAH, ini adalah REALITI YANG MENGGAULI MASYARAKAT kita pada hari ini.
Selagi ianya TIDAK BOLEH DIBICARAKAN SECARA TERBUKA DAN BERHEMAH SEBEGINI, selagi itu kita tidak akan dapat mewujudkan kesedaran baru tentang HAKIKAT PERKAHWINAN BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN KINI.
Hakikat perkahwinan tidak dapat difahami KECUALI kita terlebih dahulu memahami HAKIKAT PERANAN sebagai seorang lelaki dan wanita.
Dan hakikat peranan ini TIDAK BOLEH difahami, melainkan dengan jalan didikan yang betul sedari anak-anak kita kecil lagi.
Kita tidak boleh mengubah generasi lelaki yang sudah berkahwin pada hari ini, tetapi kita BOLEH MENDIDIK DENGAN BAIK ANAK-ANAK LELAKI kita yang BAKAL MENJADI SUAMI dan BAPA kepada anak-anak orang lain satu hari nanti. Kerana ini, saya menulis dan berkongsi.
Selama ini, dalam masyarakat kita, DIDIKAN KITA ADALAH BERPUSAT KEPADA ANAK PEREMPUAN. Kini tak boleh lagi. Didikan kita harus dipusatkan dengan TEPAT DAN GIAT baik kepada lelaki mahupun perempuan.
Bagi perempuan yang membaca tulisan ini, kenali peranan anda untuk MULA MEMBERI NASIHAT YANG BENAR DAN ADIL tentang perkahwinan kepada anak lelaki dan perempuan kita.
Bagi lelaki yang membaca, FOKUS KEPADA MEMBETULKAN salah faham ini yang banyak berlegar di sekeliling kita, walau kita tidak terlibat sama. Kerana kita juga punyai anak perempuan yang bakal kita serahkan kepada lelaki-lelaki lain.
Menjadi adalah tanggungjawab bersama untuk kita perbetulkan kepincangan ini.
Percayalah, amat jelas bagi kami yang menghadap luahan masalah rumah tangga pada hari ini, bahawa punca kepincangan yang berlaku adalah kerana KONFLIK TANGGUNGJAWAB YANG BERLAKU DALAM KALANGAN GENERASI LELAKI DAN WANITA KITA PADA HARI INI.
Tulisan ini bukan untuk kita ego mempertahankan diri tetapi untuk kita sama-sama bermuhasabah diri.
_Follow_ dan set _See First_ untuk perkongsian seterusnya tentang perkara berkaitan pembentukan jiwa diri kita dan anak-anak.
Sumber: Sharifah Zahidah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Abah Tak Selalu Ada, Tapi Allah Sentiasa Ada…” Abah Kena Jadi BFF Anak Perempuan Sebelum Hatinya Diambil Orang Lain

Tidak dinafikan baik anak lelaki atau perempuan mereka dilihat lebih rapat dengan ibunya berbanding si ayah. Ini kerana segala permintaan mereka biasanya akan dilayan sepenuhnya oleh kaum ibu.
Tetapi sebenarnya dalam dunia yang semakin mencabar ini, anak perempuan dinasihatkan menjadikan kaum bapa sebagai rakan BFF mereka.
Mereka sebenarnya boleh berkongsi apa jua masalah atau kisah peribadi dengan ayah yang dianggap hero. Sebelum si anak mengenali lelaki lain, Lebih baik dia mengenali sifat sebenar lelaki daripada insan yang bergelar bapa.
Maklumlah ketika anak sedang meningkat remaja ini, emosi mereka boleh berubah-rubah. Jadi jangan biarkan orang lain menjadi orang tengah (kawan lelaki) sebagai tempat melepaskan segala bebanan ditanggung.

Seperti perkongsian seorang ayah ini, Ammar Kamilin yang tersedar beta tak mudahnya mendapatkan momen berdua bersama anak perempuannya. Malah untuk membolehkan anak itu berkongsi cerita dengan si ayah tanpa didengar oleh adik beradik lain.
Sibuknya Ayah, Tak Sempat Bercakap Dengan Anak Perempuan
“Dia macam ada masalah dengan ayah dia. Ayah dia terlalu sibuk, sampai tak sempat bercakap dengan dia.
Mula-mula dia tak kisah sangat. Dia faham, ayah dia bekerja untuk sara keluarga. Tapi, lama-lama dia macam kecil hati, sebab dengan abang dan kakak dia, ok je ayah dia layan. Dengan adik-adik dia pun ok.” Panjang lebar dia bercerita.
“Tapi, pelajaran dia di sekolah, elok kan. Tak silap abah, ‘Top 5’ lagi.”
“Itulah. Pelajaran dia masih ok. Tapi, itu tahun lepas. Kebelakangan ni, dia macam banyak berkhayal dan tiba-tiba menangis. Risau juga, takut dia ‘stress’ dan ‘effect’ pelajaran dia.”
Abah hanya mengangguk-angguk. Mengenangkan karakter rakan perempuan yang dia diceritakan.
Abah memang biasa dengan kebanyakan rakan-rakan dia. Hampir satu kelas pernah bersembang dan bergurau mesra dengan abah.
Kebiasaan, semasa mengambil dia di depan sekolah, sempat juga menyapa mereka dan mengambil hati dengan soalan-soalan bertanya khabar.
Ada antara mereka pernah datang ke rumah untuk buat tugasan sekolah dan belajar bersama.
Rakan yang diceritakan ini pernah bertandang ke rumah. Sudah pasti, perasaannya lebih berat apabila terkenang ujian yang sedang dilalui anak remaja ini.
Abah tidak pasti apa yang difikirkan oleh bapa-bapa sehingga ada antara mereka ‘terlepas pandang’ perasaan anak remaja perempuan.
Ini ‘Alarm’ Untuk Ayah Agar Kekal Di Sisi Anak Remaja Perempuan
Dalam kes anak ini, dia berada di ranking tengah dalam susunan adik beradik. Dia memiliki kakak dan abang yang hampir dewasa, juga memiliki adik-adik kecil di bawahnya.
Abang dan kakak sudah boleh membawa diri, walaupun tidak dipeduli si ayah. Adik-adik masih dijaga dan dikawal oleh ibu.
Lalu dia yang di tengah-tengah, seperti terabai. Masih di peringkat awal remaja, tetapi dibiar keseorangan berdikari. Saya tidak mendabik dada, konon bapa sempurna. Ada masa terlupa juga.
Apabila cerita begini diceritakan oleh anak, ia seperti ‘alarm’ yang mengingatkan diri sendiri supaya kekal berada di sisi anak remaja, terutamanya perempuan.
Walaupun, umumnya, mereka lebih rapat dengan ibu, tetapi ada sisi seorang bapa yang masih mereka perlukan (bagi yang punya bapa).
Para bapa, tanya diri, bila kali terakhir kita benar-benar memperuntukkan masa khusus untuk anak remaja perempuan? Tanpa ada abang, kakak, atau adik-adik bersama mereka.
Mereka perlukan masa ‘berkualiti’ bersama kita. Mereka tidak akan berbincang isu-isu ‘dewasa’ sekiranya wujud terlalu ramai gangguan di sekeliling mereka.
Macam anak remaja perempuan saya, dia cukup tidak selesa apabila mahu mengadu sikit, adik-adik terlopong mendengar bersama-sama di sebelah abahnya. Dia terus ‘turn off’. Di rumah, memang ruang itu hampir tiada.
Lalu, dia memilih untuk banyak diam. Yang ruginya, saya sebagai bapa. Tempoh paling kritikal perkembangan seorang remaja, tidak dapat dikongsi bersama.
Tetapi, Allah ilhamkan ruang yang saya tidak nampak sebelum ini sebagai ‘sesi berdua berkualiti’ bersama dia. Waktu pergi dan balik sekolah setiap hari di dalam kereta. Hanya itu waktu kami boleh bercakap berdua sesuka hati tanpa didengari sesiapa.
Jika sebelumnya, waktu itu dia isi dengan tidur selenanya. Sekarang, seboleh mungkin saya isi dengan aktiviti yang menghalang dia tidur.
Waktu itulah, saya mendapat pelbagai cerita dari sudut pandang seorang remaja perempuan. Saya boleh kata, bukan mudah mengumpan mereka membuka mulut. Kita perlu dapatkan ‘kepercayaan’.
Bagaimana?
Pastikan, waimma satu patah perkataan yang mereka sebut, tidak disampaikan pada orang lain. Sekali mereka terdengar kita ‘tercerita’, kepercayaan akan hilang. Membina semula kepercayaan, perlukan usaha berkali ganda.
(cerita rakan tadi, dicerita atas keizinan)
Anak Ini Semakin Dewasa
Sesekali dia tertidur semasa saya memandu, saya renung wajah anak perempuan remaja ini.
Dia makin dewasa. Budak kecil yang saya letak dalam bakul motor dan bawa meronda waktu petang, sudah ‘tiada’. Budak kecil yang meradang jika saya sorokkan bantal busuknya sudah ‘tiada’. Budak kecil yang memeluk kaki saya dan minta didukung, sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang setiap hari menyanyi riang lagu ‘Barney and friends’ dan memeluk saya sebagai Barney, sudah ‘tiada’.
Tahu-tahu, stereng kereta basah disebabkan tangan yang mengesat airmata terus hinggap padanya. Begitu saya hiba, kerana, Budak kecil yang setiap masa dulu, sebelum tidur mahu abah bacakan kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran, sudah tidak perlukan abah untuk memeluk dia sebelum tidur.
Dia sudah remaja. Menuju dewasa. Semuanya telah lepas.
Yang tinggal, kenangan. Sedang saya hiba, Kepalanya menunjal-nunjal batang gear manual kereta Myvi yang sedang bergerak.
‘Hai anak. Abah tahu nak tukar gear. Tak perlu tanduk gear abah ni.’
Saya tersenyum dalam leleh airmata. Menolak perlahan kepalanya ke tingkap.
Penat sangat agaknya. Dia bukan tak perlukan abah.
Cuma, keperluannya sudah berbeza.
Dia sudah tak perlu didukung, tetapi dia mahu seorang abah yang mendorong. Dia tak perlu pencerita, tetapi dia mahukan seseorang untuk bercerita. Dia tak perlu bantal busuk, tetapi dia perlukan seseorang yang boleh menenangkan dia dalam sukar, sama seperti fungsi bantal busuk pada dirinya dulu.
Bapa. Ini bukan cerita anak saya saja.
Cerita anak remaja kita jua.

Usahakan ‘5C’ Pada Anak Remaja Perempuan
1. Cakap
Bapa kena selalu bercakap dengan anak perempuan. Jangan biarkan sehari berlalu dalam hidup kita tanpa sepatah perkataan untuk dia. Dia perlu tahu, dia masih ada tempat dalam hidup ayahnya. Dia perlu rasa ‘visible’ di mata ayahnya.
Anak perempuan yang sunyi dari suara ayahnya, cenderung mencari suara lelaki lain untuk mengisi kekosongan itu.

Mahukah begitu, wahai ayah?
2. Cakna
Bapa perlu ambil tahu, apa keperluan anak perempuan. Terutama apabila mereka baligh. Mereka sudah mula mempunyai hormon yang dirembes mengikut kitaran. Dia akan berperangai saling tak tumpah seperti ibunya. Haruslah, mereka sedang menuju dewasa. Jadi, emosi mereka, bapa perlu cakna (ambil tahu).
3. Calm
Bapa perlu sentiasa tenang dalam menangani anak perempuan. Tunjukkan pada mereka, kemampuan kita mengawal emosi, barulah mereka dapat meniru yang baik daripada kita.
Ada masa kita betul, ada masa mereka juga mungkin betul.
Elakkan panas baran tak tentu hala. Maki sesedap rasa. Mereka akan takut dan menjauhkan diri.
Tahu kan, statistik menunjukkan ramai lelaki di rumah orang-orang tua? Elakkan daripada puncanya kerana perangai kita yang mudah ‘naik hantu’.
4. Ceria
Bapa perlu menunjukkan sisi ceria seorang ayah. Ayah perlu dilihat ‘jinak’ oleh anak perempuan supaya mudah didekati. Tiada siapa yang berani dengan ayah yang bengis 24 jam.
Kalau pun tidak pandai berhumor, tunjukkan kita mampu ketawa. Kalau mampu ‘gila-gila remaja’, itu lebih mereka suka, kerana kita ‘match’ dengan mereka.
Ya, perkara serius, kita perlu kekal serius.
Bercanda mengikut kesesuaian ya.
5. Cinta
Ini yang terpenting bagi saya, tetapi diletakkan terakhir supaya tidak dilupakan.
Bawa anak remaja perempuan mencintai Allah. Cari ruang menjadi imam untuk mereka. Ambil peluang bercerita kisah-kisah perempuan baik dalam sirah Islam.
Sentiasa ingatkan mereka, “Abah tidak selalu ada, tetapi Allah sentiasa ada dan dekat dengan kita. Mengadu dan meminta pada Dia. ”
Satu lagi abah,
Dalam masa sama, usah berhenti menunjukkan kasih sayang pada anak perempuan. Peluk dan cium mereka. Elakkan mereka kekok memeluk kita dek kerana lama tidak menyentuh mereka.
Dia, anak kita.
Budak kecil yang kita buatkan susu dan tukar pampersnya. Masih budak yang sama, cuma dia sedang mendewasa.
Jauh dalam hatinya, kita kekal abah dia.
Sampai bila-bila.
Sumber/Foto : Ammar Kamilin, Bahu untuk anak perempuan bersandar.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI