Nak kahwin dengan jodoh kita itu senang, yang susahnya memelihara usia perkahwinan yang berkualiti. Pengalaman hampir 20 tahun mengendalikan kes-kes perkahwinan bermasalah pasangan Islam, menyaksikan banyak juga kes perceraian yang berpunca dari perkara remeh.
Hal kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan sangat mudah jika ada toleransi dan rasa tanggungjawab namun berakhir dengan kemelut berpanjangan. Bukan ini yang Allah inginkan.
Kita ikuti perkongsian ringkas puan Hajah Safura Haji Ahmad Sharkawi, Ketua Penolong Pengarah, Unit Kaunseling, Jabatan Agama Islam Sarawak melalui entrinya di facebook tentang tip mencari jodoh yang boleh diamalkan pasangan muda hari ini.
Banyak saranan dalam Islam tentang mencari jodoh boleh diaplikasikan menerusi rutin harian kita. Lihat, perhati, nilai dan amalkan yang baik; itu paling utama. Bukan lihat terus on! Banyak tapisannya dalam misi mencari jodoh.
Banyak tip cari jodoh. Sebenarnya kita boleh lihat sahaja dari sikap dan amalan bakal pasangan kita. Untuk mempercepatkan tapisan, cuba cari di masjid atau surau, itu tandanya bakal jodoh mu mengutamakan tiang agama.
Carilah juga yang rajin mencuci sinki selepas cuci pinggan. Jodoh yang begini mementingkan kebersihan, lantaran menjaga kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.
Ads
Cari yang jaga solat, kerana dia sedar, hidupnya di muka bumi ini adalah untuk menjaga hubungannya dengan Maha Pencipta.
Cari yang baik pada ibubapa, kerana dia tahu syurganya juga ada di situ.
Carilah yang hormatkan anda sebagai wanita atau lelaki kerana dia tahu, akibat hilang rasa hormat akan membawanya kepada gelaran isteri yang nusyuz atau suami yang dayus.
Ads
Boleh saja cari ikut tip ini, tetapi perlu ingat tip ini juga digunakan oleh mereka yang mahu membina first impression yang hebat atau dalam bahasa yang popular di kalangan muda mudi, sekarang ini yang ‘meletops’.
Bak kata orang, lepas kahwin nanti apa yang ditonjolkan itu sampai kita terpesona dan mahu sehidup semati dengannya rupa rupanya hanyalah fatamorgana.
Jangan tergesa-gesa buat keputusan untuk berkahwin. Berbincanglah dulu dengan keluarga, dengan ibubapa. Paling penting buat istikharah selalu. Bukan sebab nak tahu wajahnya muncul ke tidak dalam mimpi atau dalam igau, tapi mahu mendapat redha Allah, jika ia baik, permudahkan, jika ia tidak baik, tutuplah laluan itu dan gantikan dengan yang lebih baik atau jika ia memang ditakdirkan namun tetap penghujungnya tidak baik, percayalah ia tetap baik untuk anda.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetaui sedangkan anda tidak mengetahui. Jangan kamu menyesali apa yang telah Allah takdirkan kepada kamu. Janganlah kamu berkata “kalaulah demikian, tentulah tidak jadi sedemikian” kerana ia adalah perangkap syaitan. Jangan tergesa-gesa mencari jodoh hanya semata tidak mahu digelar bujang terlajak atau anak dara tua.
Teruslah maju ke depan berbekal pengalaman yang Allah titipkan sebagai bekalan dan pengajaran, bina hidup baru, perbaiki diri, perbaiki amalan kerana atas segala apa yang tidak pasti di depan, ada satu yang pasti iaitu kematian.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Adanya aplikasi al Quran di dalam telefon pintar ia memberi banyak kemudahan untuk umat Islam membacanya pada bila-bila masa dan di mana saja tanpa perlu membawa mushaf.
Namun timbul pula persoalan adalah pahala membaca al Quran melalui telefon bimbit ini sama dengan membaca menggunakan mushaf?
Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, sama ada kita baca al Quran itu pada telefon bimbit, pada skrin komputer atau pada mushaf, pahalanya adalah sama.
Namun membaca al-Quran menggunakan mushaf itu adalah lebih afdal.
“Fatwa ulamak mengatakan pahalanya adalah sama cuma hukumnya berbeza.
“Ulamak sepakat dalam empat mazhab kita tidak boleh menyentuh mushaf sekiranya berhadas. Bagaimanapun jika menggunakan aplikasi al Quran dalam telefon bimbit terdapat khilaf ulamak. Sesetengah ulamak mengatakan boleh menyentuh ayat Quran di dalam aplikasi dan sesetengah ulamak menyatakan tidak boleh.
“Namun begitu jika ada mushaf dan ada handphone, dan kita membaca al-Quran dengan handhphone hukumnya harus. Jika kita memilih membaca mushaf sedangkan ada handphone hukumnya lebih afdal,” demikian penerangan beliau satu sesi kuliah.
Dalam pada itu menurut Datuk Dr Zulkifli Muhammad Al Bakri, mantan Menteri Hal Ehwal Agama dalam membaca al-Quran yang lebih utama adalah dengan melakukannya dengan kekhusyukan dan tadabbur.
“Jika seseorang itu boleh menambah kekhusukan dengan membaca al Quran melalui hafazan, maka inilah yang lebih utama. Jika seseorang itu boleh menambah kekhusukannya adalah dengan membaca al-Quran melalui mushaf atau dengan smartphone maka itulah yang lebih utama,” jelasnya
Sebagai kesimpulan katanya jika membaca al-Qur’an melalui smartphone lebih mendatangkan kekhusyukan dan tadabbur, maka ia tidak akan mengurangi pahala seseorang itu daripada membaca dengan melihat mushaf. Yang paling utama adalah dengan menghadirkan hati dan merasakan manfaatnya daripada al-Qur’an.
Terdapat pelbagai cabang untuk kita memperoleh rezeki berganda. Salah satunya adalah dengan menyempurnakan solat Dhuha.
Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya.
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya.
Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”
Waktu Solat Dhuha
Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Sekira cuacanya berhalangan adalah lebih mudah dengan merujuk kepada takwim waktu solat.
Masanya adalah 28 minit selepas Syuruk, iaitu sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah 28 minit, maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi.
Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan Solat Sunat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.
ANTARA 3 cara menjadi “magnet” rezeki:
1. Solat Sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadith Rasulullah s.a.w sebagai amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri.
Individu yang sentiasa mengamalkan Solat sunat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan mampu menjadi “magnet rezeki.” Rezeki akan lebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).
2. Banyakkan Bersedekah
Percayalah bahawa semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah menambahkan rezeki kita. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri di mana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan).
Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah.
Pegang prinsip bersedekah umpama menabung untuk saham akhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk mendapat nama. Peganglah prinsip “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”
Doa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan dan usaha yang telah dilakukan haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakal kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika di mana ia dikatakan waktu yang amat mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:
Doa orang yang teraniaya
Doa selepas solat 5 waktu
Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat
Doa waktu solat dhuha
Doa diwaktu berjemaah
Doa seorang ibu
Doa ketika sedang sujud
Gunakanlah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati. Apabila hidup kita diberkati, maka mudahlah rezeki mengalir kepada kita. Insya-Allah.
Gaduh sikit merajuk. Gaduh sikit minta pulangkan hadiah yang diberi minggu lepas.
Meminta semula hadiah yang sebelumnya diberikan penuh keikhlasan boleh diibaratkan buruk siku. Tindakan ini seperti tidak matang dan berdasarkan emosi.
Apapun juga, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Soalan Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B.
Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T: فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa’: 4)
Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya.
Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah S.W.T telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya.
Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: تهادُوْا تحابُّوا Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594). (Lihat: al-Adab al-Mufrad; muka surat 306), Hadith Shohih, (Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44)
Hadis ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad S.A.W buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan juga ijma’ ulama’.
Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.
Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.
Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.
Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:
Pemberi dan penerima
Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan
Penerimaan Hibah
Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah aqad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut.
Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu.
Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu.
Meminta Semula Hadiah/Hibah
Asal bagi aqad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan sepertimana urusan jual beli dan lain-lain.
Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas aqad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.
Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.
Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W: «العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
Riwayat al-Bukhari (2621)
Atau dalam riwayat yang lain: «لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” Riwayat al-Bukhari (2622)
Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu.
Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.
Penutup Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Semoga Allah S.W.T meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan.
Semoga Allah S.W.T memberkati segala amal kebajikan kita semua.