Ramai golongan bukan berilmu cuba “memandai” menyampaikan ilmu walau bukan dalam bidang mereka sehingga menjadi isu kontroversi di seluruh negara. Ada baiknya kita menurut apa “kepakaran” yang ada tanpa mencampurkan adukkan antara bisnes dan agama kerana tidak mahu tersalah percakapan mampu membawa kepada kesyirikan.
Dalam pada itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang baru dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024 memperjelaskan maksud Al-Khaliq di mana Allah bukan makhluk dalam perkongsianya di e-book Maktabah Al Bakri mengenai isu ini berdasarkan soalan ditanya kepada dirinya.
Soalan Tular di media sosial beberapa hari ini bahawa terdapat individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus. Mohon ulasan daripada Datuk.
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan persoalan ini dengan firman Allah SWT:
Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”[1] Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang lain kerana Allah adalah satu-satunya tempat bergantung yang tidak ada tandingan bagi-Nya”.[2]
Imam al-Syaukani berkata: “ Sesiapa yang memahami dan merenungi ayat mulia ini dengan sebenar-benarnya pasti dia akan melalui di atas jalan yang putih dan jelas di persimpangan perselisihan manusia dalam masalah sifat-sifat Allah. Lebih baik lagi apabila direnungi makna firman Allah: “Dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat”. Hal ini kerana penetapan ini setelah menafikan sesuatu yang serupa mengandungi keyakinan yang mantap dan menjadikan penawar bagi hati. Wahai pencari kebenaran, peganglah pada hujjah yang jelas dan kuat ini, pasti engkau dapat membenteras pelbagai jenis kebid’ahan.[3]
Syeikh Ahmad bin Mustafa Al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya : “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[4]
Syeikh al-Sya’rawi pula menyebutkan: Sesungguhnya semua sifat-sifat Allah datang dengan contoh untuk memberikan makna yang hampir sahaja, tetapi bukan dengan tujuan untuk memberikan hakikat makna tersebut, kerana Allah SWT tidak ada sesuatu pun yang sama sepertinya.[5]
Ads
Huruf kaf di dalam ayat “لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ” adalah mengukuhkan penghujahan, menyucikan dan menafikan persamaan-Nya dengan mana-mana makhluk dengan penafian yang sempurna. Dalam kaedah Bahasa Arab, kaf di dalam satu-satu perkataan boleh membawa maksud sebagai pengukuh (li al-tawkid) atau persamaan (li al-tashbih) Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang berbeza dengan dirinya, contohnya jika dikatakan “Engkau umpama bulan (أنت كالبدر)” maka ia adalah bentuk persamaan. Engkau (manusia) dan bulan adalah dua benda yang berbeza. Maka, kaf di sini berperanan untuk memberi makna “Engkau umpama bulan dari sudut keindahannya.”
Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang sama dengan dirinya, contohnya seperti ayat al-Qur’an di atas, maka ia adalah satu bentuk pengukuhan. Ka dan mithl pada ayat tersebut adalah perkataan sinonim dan ini berperanan memberi penguat kepada ayat tersebut. Sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad Jabir Jubran, jikalau dikatakan لَيْسَ مِثْلِهِ شَيْءٌ (tanpa kaf), ia membawa makna penafian penyerupaan yang setara (al-mithl al-mukafi’).[6]
Berdasarkan persoalan di atas, kenyataan yang dinyatakan oleh individu tersebut amatlah berat dan boleh menjejaskan akidahnya serta menjebakkan dirinya ke lembah kesyirikan, apatah lagi sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja. Sedangkan perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT.
Maksudnya:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”[7]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya.[8]
Walaupun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Ads
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka. Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat[9] membahagikan syirik kepada enam jenis:
Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah.
Allah sebagai al-Khaliq
Al-Khaliq berasal dari perkataan khalaqa (خَلَقَ), yang bermaksud mengukur, mencipta, membentuk atau memperhalus. Al-Khaliq juga merupakan kata nama fa’il (فَاعِل) kepada perkataan khalaqa (خَلَقَ) yang menjadikannya kata seimbangnya khaliq (خَالِق) yang membawa maksud “menciptakan sesuatu yang baru”, “menciptakan daripada tidak ada”, “menciptakan tanpa satu contoh terlebih dahulu” atau “menciptakan sesuatu yang baru daripada sesuatu yang telah ada.”
Menurut al-Qamus al-Muhit, “Al-Khaliq” merupakan sifat bagi Allah SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu tanpa ada contoh daripada yang sebelum ini, serta yang menjadikan sesuatu daripada tiada”[10]
Menyatakan Tuhan itu makhluk yang dicipta atau adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:
ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺧَﺎﻟِﻖُ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ۖ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰٰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻭَﻛِﻴﻞٌ Maksudnya: “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”[11]
Ads
Firman Allah SWT lagi: هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Maksudnya:“Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.[12]
Sekiranya individu yang menyebut kenyataan bahawa “tuhan itu makhluk halus” dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT merupakan الخَالِقُ (Maha Pencipta) yang menciptakan segala yang ada di alam ini. Manakala semua selain Allah adalah makhluk مَخْلُوقyang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”.
Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim. Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain. Manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya. Oleh sebab itu, jin mampu masuk ke badan manusia tanpa dapat dirasai dan mereka masuk ke dalam manusia dan menusukkan sifat was-was dalam hati manusia. Kedua-dua jisim ini sama ada kathif ataupun latif tidak akan sama dengan sesuatupun daripada sifat Allah. Bahkan Allah sebagai al-Khaliq ini lah yang menciptakan jisim kathif dan latif.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau yang melibatkan kesucian Allah SWT, hendaklah berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusan ini.
Namun sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT.
Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.[13]
Begitu juga terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ Maksudnya:Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.[14] Saya menutup dengan sama-sama kita berdoa dan beristighfar:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” Wallahua`lam. Bertarikh 16 Disember 2021 M bersamaan 12 Jamadil Awwal 1443 H [1] Surah al-Syura: 11 [2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/194 [3] LihatFath al-Qadir, 4/528. [4] Lihat Tafsir al-Maraghi, 25/15 [5] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 9/595 [6] Lihat Ta’liqat al-Sunniah ‘ala Matn al-Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 11 [7] Surah al-Nisa: 48 [8] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86 [9] Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, hlm. 50-55 [10] Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 380 [11] Surah al-Zumar: 62 [12] Surah al-Hasyr: 24 [13] Riwayat Ibn Majah (2043) [14] Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bolehkah memberi sedekah kepada isteri? Sebelum berbuat demikian, suami wajib memberi nafkah zahir dan batin kepada pasangan terlebih dahulu. Berdosa ke atasnya jika gagal memberikan nafkah.
Namun, jika dia ada kemampuan tambahan, disunatkan bersedekah kepada isteri. Sesungguhnya ini adalah amalan terpuji dan besar ganjarannya apabila menghulurkan sedekah kepada ahli keluarga terdekat.
Tahukah anda bahawa setiap sedekah yang kita berikan, Allah akan gandakan ganjaran pahala antara 10 – 700 pahala. Kepada suami yang memang mengamalkan sedekah kepada isteri setiap Jumaat, tahniah. Pasti besar ganjarannya jika dilakukan penuh keikhlasan dan kasih sayang.
Namun, untuk dapatkan kepastian hukum niatkan sedekah kepada ahli keluarga seperti isteri, kita baca ulasan pihak Mufti Wilayah Persekutuan ini.
Sedekah yang diberikan kepada isteri adalah mengikut kemampuan dan hukumnya adalah sunat.
Soalan:
Apakah benar terdapat hadis yang mengatakan bahawa sedekah kepada isteri pahalanya lebih besar berbanding bersedekah kepada orang lain?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, seorang suami yang bersedekah kepada isterinya atau ahli keluarganya merupakan satu perbuatan yang terpuji dan mendapat pahala.
Walaubagimanapun, sudah menjadi tanggungjawab seorang suami atau ayah untuk memberi nafkah kepada orang yang berada di bawah tanggungannya.
Ini difahami berdasarkan firman Allah SWT:
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ Maksudnya: “Dan kewajipan suami pula ialah memberi makan dan pakaian kepada isteri itu menurut cara yang sepatutnya”.[al-Baqarah:233]
Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini bahawa wajib ke atas ayah kepada anak untuk memberi nafkah kepada ibu-ibu dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan.
Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.
Kembali kepada soalan di atas, nafkah dan sedekah adalah dua perkara yang berbeza. Ini kerana, nafkah bersifat wajib manakala sedekah bersifat sunat. Untuk itu, jika seorang suami itu tidak memberi nafkah kepada isterinya maka suami tersebut telah melakukan dosa.
Selain itu, jika seorang suami itu tidak memberi sedekah kepada isterinya maka dia tidak berdosa kerana perbuatan memberi sedekah itu bukannya wajib. Adapun ganjaran atau pahala bagi seorang suami yang memberi sedekah kepada isteri atau keluarganya ada dinyatakan di dalam sebuah hadith yang sahih:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. [Riwayat Muslim (995)]
Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya.
Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7.
Walaupun begitu, ini tidak bermaksud memberi kita juga dituntut untuk memberi sedekah kepada selain daripada ahli keluarga melainkan jika ahli keluarga itu amat memerlukannya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ Maksudnya: “Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. [al-Baqarah:261]
Ayat ini jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya di jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain supaya kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita.
Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta di jalan Allah SWT. Amin.
Wallahua’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Salah satu pemandangan biasa di kawasan perumahan adalah kehadiran kucing-kucing jalanan berlegaran mencari makanan. Tidak dinafikan, rezeki mereka ini pasti ada kerana ramai juga yang suka memberinya makan.
Namun dalam kemurahan hati memberi makan, ada juga kalangan jiran yang tidak sukakannya. Bukan membencinya tetapi mungkin alergik dan ingin memelihara kebersihan persekitaran kerana terganggu dengan bau busuk tinja kucing yang menyengat.
Kucing jalanan ini biasanya akan membuang hajat di halaman kediaman kejiranan tanpa mengira rumah siapa pun. Najis kelihatan di merata tempat; dalam pasu tanaman, depan pagar utama, anjung meletak kereta dan banyak lagi tempat yang mengundang rasa marah dan geram ‘mangsa’.
Isu ini sering menjadi perbincangan hangat dalam grup whatsapp kawasan perumahan. Kita ikuti apa hukumnya memberi makan kucing jalanan sehingga jiran-jiran terganggu disebabkan najis-najisnya berselerakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi berdasarkan keadaan di tempatnya, sekiranya memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya gunakan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Memberi makan kepada kucing jalanan merupakan salah satu sikap yang terpuji dan Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik sesama makhluk sekalipun terhadap haiwan.
Ini adalah sifat ihsan yang diterapkan di dalam agama Islam. Nabi SAW menceritakan berkenaan dengan kebaikan yang dilakukan oleh seorang pelacur sehingga diampunkan dosanya hanya dengan memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya.
Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا Maksudnya: Sesungguhnya seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya. (Riwayat Muslim: 2245)
Selain itu, tanggungjawab untuk menjaga nafkah dan keperluan haiwan yang dipelihara adalah wajib di atas tuannya.
Sekiranya seseorang itu gagal memenuhi keperluan haiwan peliharaannya itu maka ia akan menanggung dosa di atas perbuatannya, seperti tidak menyediakan makanan, tempat tinggal dan kebersihannya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, sabda Nabi SAW:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ Maksudnya: Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi (Riwayat Muslim: 2619)
Berbalik kepada persoalan, tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh penjaganya, terutamanya dalam menjaga kebersihan sehingga tidak mengganggu jiran tetangga yang lain.
Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya (Riwayat Muslim: 46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan ditempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Banyak tanah perkuburan yang kedudukan kuburnya agak sempit khususnya bagi tanah perkuburan lama (tidak disusun dari awal mengikut lot seperti sekarang). Ada ketika kita akan duduk di atas binaan kubur ketika menziarahi ahli keluarga yang sudah meninggal dunia. Apakah hukumnya duduk di atas binaan ini? Adakah duduk diatas binaan itu dikira duduk di atas kubur? Berikut adalah penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara ini.
Jawapan :–
Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan suka kami mengingatkan berkenaan hukum membina binaan dan meninggikan kubur. Hukum membina binaan dan meninggikan kubur adalah perbuatan yang haram.Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Jabir r.a :
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ
Maksudnya :” Rasulullah saw melarang membina kubur dengan batu kapur, juga (dilarang) untuk duduk di atasnya dan dilarang juga dibina binaan.” Riwayat Muslim (2289)
Juga di dalam athar yang disebutkan oleh Saidina Ali r.a kepada Abu Hajjaj al-Asadiy bahawa tidak boleh meninggikan kubur melebihi sejengkal dari paras tanah. Kata Saidina Ali ;
Maksudnya:”Tidakkah mahu aku ingatkan engkau sepertimana Rasulullah saw ingatkan aku.Iaitu jangan meninggalkan patung melainkan engkau hancurkannya. Dan (jangan meninggalkan) kubur yang tinggi melainkan engkau ratakannya.” Riwayat Muslim (2287)
Kata Imam al-Nawawi :
“Dan ditinggikan kubur dengan kadar satu jengkal sahaja dan diratakan lebih utama dari dibina binaan.” Rujuk Minhaj al-Talibin (1/347)
Apatah lagi jika ianya dibina di perkuburan awam (المقبرة المسبّلة). Ini kerana ianya boleh menimbulkan kesusahan dan kesempitan pada yang lain.
Imam al-Romli menyebut : “Jika dibina (binaan) di perkuburan awam maka perlu diruntuhkan kerana ia boleh menimbulkan kesusahan pada yang lain.” Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (8/371)
Adapun jika ada keperluan seperti takut tanah kubur runtuh ataupun ditakuti ada yang akan mengorek kubur maka tidak haram. Akan tetapi. Perlu diingat ianya dibina sekadar yang perlu sahaja tidaklah sampai berlebihan.
Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan :
“Jika ditakuti (kubur) dibongkar atau takut akan haiwan yang mengorek ataupun takut tanah kubur runtuh maka tidak makruh dibina dan diletakkan batu kapur.” Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-minhaj (4/203)
Berkenaan soalan yang dikemukakan oleh si penyoal. Adakah dibenarkan duduk di atas binaan kubur dianggap sebagai duduk di atas kubur?.
Binaan kubur dianggap sebagai kubur itu sendiri. Oleh itu makruh untuk duduk di atas binaan kubur kerana dianggap sebagai duduk di atas kubur. Ini berrdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Nabi saw bersabda :
Maksudnya :” Jika salah seorang kalian duduk di atas bara dan membakar pakaiannya sehingga membakar kulitnya lebih baik dari dia duduk di atas kubur.” Riwayat Muslim (2208)
Kata Sheikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksud dari hadis ini. Beliau menyebut :
“Larangan ini jelas menyatakan haram duduk di atas kubur. Kata pengarang (iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani) di dalam Fath al-Bari di mana beliau menaqalkan daripada al-Nawawi : Jumhur menyatakan bahawa duduk di atas kubur adalah makruh.”
Maksudnya :” Jangan kalian duduk di atas kubur dan jangan solat menghadap ke arahnya.” Riwayat Muslim (2294)
Kata Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin :“Tidak dibenarkan duduk di atas kubur dan tidak boleh menginjaknya.” Rujuk Minhaj al-Talibin ( 1/347)
Kami nukilkan juga pandangan Sheikh al-Bujairimi. Kata beliau :
“ Dan makruh duduk di atas kubur tanpa hajat dan menginjaknya kerana ada larangan di dalam hadis riwayat Muslim dan Tirmizi. Dan yang menjadi maknanya juga adalah tidak boleh bersandar pada kubur seperti mana yang dijelaskan di dalam Raudhah. Rujuk Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Minhaj (5/55)
Kesimpulannya, duduk di atas binaan kubur adalah seperti duduk di atas kubur dan makruh hukumnya. Maka seelok-eloknya kita menjaga adab ketika berada di tanah perkuburan dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar adab-adab. Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Menjadi rutin atau satu kemestian buat kebanyakan kita pergi ke pasar mahu pun pasar raya bagi membeli keperluan rumah dan diri.Namun satu perkara yang...