‘Dulu bapa angkat, sekarang suami.’ jurang usia 21 tahun bukan penghalang. Begitulah kalau sudah jodoh, tak akan ke mana.
Sudah tertulis, dialah jodoh yang ditakdirkan maka bila tiba masanya berkahwinlah mereka. Jurang atau jarak usia 21 tahun tak menghalang gadis ini menerima suaminya.
Jurang usia 21 tahun bukan halangan untuk Nur Amira Hanim Hazreen Imran menerima Zaini Ramli yang dulu dianggap seperti bapa angkatnya sebagai suami.
Menariknya, Nur Amira Hanim, 25, yang terlebih dulu meluahkan perasaan terhadap Zaini, 46, kerana terpikat dengan keperibadian suaminya itu.
Berkongsi latar belakangnya, jelas Nur Amira Hanim, dia adalah ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun selepas berpisah dengan bekas suami pada 2020.
Sekarang Suami
Manakala, Zaini pula adalah duda anak enam dan hidup solo sejak 2012 sebelum berkahwin dengan Nur Amira Hanim pada 15 Ogos lalu.
“Kami berkenalan tahun lalu di tempat kerja iaitu dekat sebuah ladang kelapa sawit.
“Di situ (ladang), saya bekerja sebagai pengutip biji relai sawit manakala suami pemandu lori dan panggil dia (suami) abah saja kerana usianya lebih kurang sebaya dengan emak serta ayah.
“Kiranya, saya anggap suami macam ayah angkat saja namun lama kelamaan, timbul rasa suka jadi saya mulakan langkah dengan meluahkan perasaan terhadapnya,” katanya.
Menurut Nur Amira Hanim, suaminya terkejut pada awalnya namun tidak menolak ‘lamarannya’ itu.
“Dia soal saya adakah sudah buang tabiat namun saya beritahunya luahan perasaan itu bukan gurauan dan akhirnya dia terima saya.
Ads
“Jujurnya, saya sudah tertarik dengan suami ketika pertama kali melihatnya lagi kerana misainya mengingatkan saya kepada pelakon lama, Eman Manan.
“Lagipun, saya memang suka lelaki berumur 40 tahun ke atas kerana matang dan tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin lagi selepas berpisah dengan bekas suami,” katanya.
21 Tahun
Tambah Nur Amira Hanim, dia bersyukur kerana niatnya untuk membina masjid tidak mendapat halangan keluarga.
“Selepas berterus terang dengan emak dan ayah, mereka terkejut sebab umur lebih kurang sebaya namun beri restu kerana melihat kesungguhan saya.
“Bagi saya, umur itu angka saja kerana yang penting adalah tanggungjawab suami untuk beri nafkah yang sepatutnya.
“Setakat ini, kami cuba cari keserasian dan syukurlah, suami banyak bertolak ansur.
“Kebetulan, kami berdua pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini jadi cuba belajar daripada pengalaman untuk jadi lebih baik,” katanya.
Ads
Bukan Penghalang
Berhubung kisahnya yang tular di laman sosial, Nur Amira Hanim tidak menyangka video dimuat naiknya di TikTok akan mendapat tontonan ramai.
“Saya muat naik video itu petang kelmarin dan terkejut apabila ia raih tontonan tinggi dalam masa singkat.
“Kebanyakan komen positif dan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.
Sementara itu, suaminya tidak menyangka akan berkahwin lagi tetapi menerimanya sebagai ketentuan Ilahi.
“Ingatkan nak menduda saja tetapi ditakdirkan jodoh sampai jadi saya terima saja walaupun pada awalnya anggap isteri macam anak saja.
“Anak saya (hasil perkahwinan terdahulu) semuanya okay, tiada masalah dan saya sukakan isteri kerana dia berani berterus terang serta sanggup terima saya seadanya,” katanya.
Kashoorga : Benarlah usia bukanlah penghalang untuk bahagia, semoga pasangan ini bahagia hingga ke Jannah.
Tular di media sosial berkaitan artis Janna Nick yang membuat pengakuan sumpah bahawa dirinya tidak mempersendakan berita kematian bintang K-Pop Jonghyun tiga tahun lepas. Isu ini mula menjadi besar apabila peminat fanatic menuduh artis ini mempersendakan berita kematian itu hingga wujud ##jannanickisgoingpartyjail.
Dalam satu akuan di instagramnya sebelum akaun itu dinyahaktif bersama twitternya, kelihatan Janna Nick memegang Al-Quran dan bersumpah dia tidak tahu mengenai video berkenaan. Katanya, dia hanya ketawa kerana merasakan Sakinah suka bergurau.
Di sebalik isu sumpah dilafaznya, ada sesuatu yang kita sebagai umat Islam kena faham. Jangan kerana terlalu fanatik pada perkara-perkara melalaikan, kita membesar-besarkan hal yang kecil sedangkan masa yang sama tidak menjaga adab termasuk iman kita. Dunia sudah di akhir zaman, moga kita tidak terus lalai mengejar nikmat akhirat.
Bacalah pandangan dari Mutfi Wilayah Persekutuan mengenai Islam dan Muzik. Moga kita lebih faham apa sebenarnya tujuan kita dilahirkan ke dunia ini.
Sebahagian ulama-ulama terdahulu mengharamkan nyanyian dan muzik. Ini termasuklah Imam Malik, Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah, Imam Al Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami, Ibn Qudamah, Imam Khatib al-Syarbini serta Imam al-Qurthubi.
Antara dalil pengharaman muzik ini ialah :-
Para ulama yang mengharamkan muzik berhujah berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith, antaranya firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan. (Surah Luqman (6)
Kata Ibn ‘Abbas sewaktu mentafsirkan ayat ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Mujahid berpandangan ia merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Al-Hasan al-Basri pula menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. (Rujuk Tafsir al-Tobari, 21/40 dan Tafsir Ibn Kathir, 3/451)
Maksudnya: Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah” (Sunan Tirmizi (3195)
Nabi SAW juga bersabda:
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَّ وَالحَرِيرَ، وَالخَمْرَ وَالمَعَازِفَ Maksudnya: Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat muzik.(Sahih al-Bukhari (5590)
Maksudnya: Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi. (Sunan Ibn Majah (4020).
Muzik itu harus
Tapi ada sebahagian Ulama mengharuskan muzik seperti Abu Bakar Ibnu al-Arabi, Ibnu Hazm, Imam al-Muzani, Imam Qalyubi, Imam Ibn Abidin al-Hanafi, Imam al-Ghazali serta Imam Al-Zahabi.
Masa yang sama Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
-Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus; -Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram; -Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram; -Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan -Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
Fatwa Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi
Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.
Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya:
Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada Allah SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat samada baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu / al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa.
Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam
Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak.
Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan.
Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 430-436)
Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri yang juga Menteri Hal Ehwal Agama dalam rumusannya berkata, Para ulama dahulu mahupun kontemporari bersepakat akan pengharaman setiap lagu mahupun muzik yang mengandungi unsur-unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina, dorongan meminum arak, tarian-tarian mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan. Mereka hanya berbeza pandangan pada muzik dan nyanyian yang bebas daripada unsur-unsur tersebut.
Tuntasnya, kami cenderung kepada pandangan yang mengharuskan nyanyian dan muzik, selagi mana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti arak, pergaulan bebas tanpa batas, lirik yang menyanggahi syariat dan aqidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada tanggungjawab dan kewajipan agama.
Apa hukum bersumpah dengan al-Qur’an?
Kami mulakan jawapan ini dengan pengertian sumpah. Perkataan aiman (الأيمان) ialah kata jama’ bagi perkataan yamin (اليمين). Dari segi bahasa, bererti kekuasaan. Firman Allah SWT:
لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ
Maksudnya: Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami. (Surah al-Haqqah: 45)
Kata penyair: Apabila panji diangkat untuk disanjung Nescaya ‘urabah akan menemuinya kekuatan Perkataan yamin juga, bermaksud tangan kanan kerana terdapat kekuatan tenaga pada tangan tersebut. Begitu juga, ia bermaksud dengan sesuatu yang dimuliakan. Hal ini adalah kerana orang Arab apabila bersumpah mereka berpegangan tangan kanan. Perkataan yamin dari segi istilah pula, menguatkan maksud kata-kata yang tidak thabit, dengan menyebut satu daripada nama atau sifat Allah dalam lafaz yang tertentu. Hal ini tidak termasuk dalam sumpah yang sia-sia (اليمين اللغو), iaitu sumpah yang biasa pada lidah tanpa tujuan penegasan sesuatu perkara atau menguatkannya.
Contohnya, seseorang yang biasa menyebut tidak, demi Allah (لا، والله) dan bahkan, demi Allah (بلى، والله). Kata-kata yang demikian tidak dianggap sumpah dari segi syara’. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi, kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. (Surah al-Maidah: 89)
Maksudnya: “Ayat ini diturunkan berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki yang menyebut tidak, demi Allah! Dan bahkan, demi Allah!” (Riwayat al-Bukhari (6286) dan Abu Daud (3254)
Maksudnya: “Ia berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki di rumahnya yang menyebut, tidak sekali-kali, demi Allah, dan bahkan, demi Allah.” (Riwayat Ibn Hibban (1187) Lafaz yang menguatkan kandungan kata-kata yang thabit, seperti “demi Allah, aku akan mati” atau “demi Allah, sesungguhnya matahari terbit,” yang dilafazkan ketika matahari telah pun terbit, tidaklah dianggap sumpah dari segi syara’.
Ini kerana maksud kata-kata itu sendiri telah pasti dan tidak dapat digambarkan bagaimana sumpah tersebut tidak ditepati. Sumpah boleh dilakukan terhadap perkara yang telah berlalu, seperti “demi Allah, aku tidak pernah melakukan begitu” atau “demi Allah, aku telah melakukannya.”
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا
Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu). (Surah al-Taubah: 74)
Begitu juga, boleh bersumpah terhadap perkara yang akan berlaku pada masa hadapan, seperti demi Allah, aku akan melaksanakannya.
Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW
وَاللهِ لأَغْزُوَنَّ قُرَيْشاً
Maksudnya: “Demi Allah, aku akan memerangi Quraisy.” (Riwayat Imam Abu Daud )447)
Berkenaan dengan sumpah menggunakan al-Qur’an, hukumnya adalah dibolehkan. Ini berdasarkan kepada antara syarat-syarat bersumpah itu ialah:
Bersumpah dengan satu daripada yang berikut:
Zat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Zat Allah SWT atau aku bersumpah demi Allah SWT.
Nama Khas bagi Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Tuhan Penjaga (الرب) seluruh alam atau demi Tuhan Pemerintah (المالك) hari Kiamat atau Aku bersumpah demi Tuhan yang Maha Pemurah.
Sifat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi kemuliaan Allah atau demi ilmu-Nya atau demi kehendak-Nya atau demi kekuasaan-Nya.
Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW mendapati Umar bin al-Khattab RA yang sedang berkenderaan, bersumpah dengan nama bapanya. Baginda bersabda:
Maksudnya: “Bukankah Allah menegah kamu bersumpah dengan nama bapa kamu? Sesiapa yang bersumpah, hendaklah dengan lafaz Allah atau hendaklah diam sahaja.” Riwayat al-Bukhari (6270) dan Muslim (1646)
Maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggaman-Nya.” (Riwayat al-Bukhari (6254)
Bersumpah dengan Al-Qur'an hukumnya boleh kerana Al-Qur'an adalah firman Allah, dimana Allah SWT berfirman secara hakiki dengan lafaz, dan maksud menyampaikan maknanya. Allah SWT disifatkan dengan Al-Kalam. Dengan demikian, bersumpah dengan al-Qur'an pada hakikatnya merupakan sumpah dengan salah satu sifat Allah, maka hukumnya boleh.
Sehubungan itu, seseorang yang bersumpah dengan yang lain selain yang tersebut sumpahnya, tidak sah kerana dua sebab berikut:
Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah, hendaklah dengan lafaz Allah atau hendaklah dia diam sahaja.” (Riwayat al-Bukhari (2679)
Tiada keagungan yang sempurna pada yang lain selain yang tersebut, manakala orang Mukmin, ditegah sama sekali mengagung-agungkan yang lain selain Allah SWT.
Kami akhiri perbincangan ini dengan mengharapkan kita sentiasa menggali dan mencari ilmu dari sumber yang sebenarnya agar ia benar-benar menepati syariat Islam. Semoga dengan jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkaitan sumpah, Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kebiasaannya tahun-tahun sebelumya di bulan Ramadan, Kota Suci Mekah akan menjadi tumpuan jemaah untuk menyambut Ramadan di sini.
Tetapi tahun ini sangat berbeza dek kerana wabak pandemik COVID-19. Kelihatannya Kota Mekah sangat sunyi, lengang dan sepi disebabkan larangan kerajaan Arab Saudi untuk menghalang sementara orang ramai dari memasuki Kota Madinah dan Mekah.
Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, apabila individu yang bekerja dan menetap di Tanah Suci diibratakan insan bertuah kerana dapat merasai beribadat dan berbuka puasa di hadapan Kaabah penuh ketenangan.
Dalam video di muat naik di laman Instagram Ilmfeed beberapa individu dilihat dapat merasai pengalaman tersebut. Tambah mengasyikkan berlatar belakangkan seruan azan pastinya menggamit kesyahduan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
Ternyata perkongsian ini mendapat reaksi daripada warganet. Masing-masing turut terkesan melihat situasi yang berlaku dan menyatakan rasa rindu pada Tanah Suci.
saf.ski It would be a much more beautiful and exhilarating sight without that clock tower showing us the a sign of the hour. Nonetheless, very fortunate indeed mashaAllah
aaliya_eajaz MAA SHA ALLAH may Allah bless us to see this beautiful view soon and grant us to perform Umrah soon Aameen Aameen Aameen Sallallahu Alaa Muhammad Sallallahu alaihi WA sallam
aisha_binte_jaleel Subhanallah. I hope to be here next Ramadan. Inshallah
xboxwasmyidea These are mostly people working inside the haram. Its so sad to see it empty in ramadan
KASHOORGA: Semoga kita semua berpeluang lagi untuk menjejakkan kaki ke sana. Dan marilah berdoa agar ibadah haji dapat dilaksanakan tahun ini dengan sempurna.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Untuk perkara yang baik-baik, hendaklah mendahulukan bahagian anggota tubuh yang kanan.
Berbeza ketika melepaskan sesuatu atau memulai sesuatu yang jelek, maka hendaknya dimulai dari yang kiri. Inilah di antara adab yang diajar dalam agama Islam.
Kanan menunjukkan makna yang baik. Rasulullah SAW mengutamakan dan menyukai memulakan yang kanan sebelum yang kiri, dalam ke semua urusan Baginda, baik dalam bersedekah, bersuci, berwuduk, memakai pakaian, menyikat rambut, termasuk ketika mengambil dan memberi sesuatu, serta sewaktu makan dan minum.
“Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam suka memulai dari sebelah kanan saat mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci, dan dalam seluruh aktiviti beliau.” (HR. Al-Bukhari no. 5926 & Muslim no. 268)
Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila salah seorang dari kalian memakai sandal, hendaknya memulai dengan yang kanan, dan apabila dia melepas hendaknya mulai dengan yang kiri. Hendaknya yang kanan pertama kali mengenakan sandal dan yang terakhir melepasnya.” (HR. Al-Bukhari no. 5856 & Muslim no. 2097)
Seperti perkongsian Syarif Ad-Deen mengapa perlu mengutamakan memulakan sesuatu perkara dengan anggota yang kanan berbanding kiri.
Jam tangan, pakai di sebelah tangan kanan, kata seorang ustazah kepada aku tanpa sebarang penjelasan bagi ketegasan tersebut. Jadi dengan rasa hormat aku kepada Guru, aku pun tukarlah jam tangan aku daripada tangan kiri ke tangan kanan. So, dari situ aku dah mula terfikir, malah tertanya-tanya pada diri, kenapa ustazah suruh aku pakai jam tangan disebelah kanan, dan salah ke pakai jam tangan di sebelah kiri?
Still tak dapat jawapan.
Pada keesokan harinya aku beranikan diri berjumpa dengan ustazah, kemudian, aku bertanyalah kepada ustazah.
“Ustazah, boleh saya bertanya, kelmarin bila ustazah berjumpa dengan saya, kenapa ustazah suruh saya memakai jam tangan disebelah kanan?”
Jawab ustazah…
“Macam ni Deen, Rasulullah S.A.W suka kita buat apa-apa perkara yang membawa kepada kebaikan dengan memulakan angota disebelah kanan terlebih dahulu, contohnya, memakai kasut didahului dengan kaki kanan, masuk ke masjid dengan kaki kanan, makan dan minum juga dilakukan dengan mengunakan tangan kanan, dan banyak lagi perkara yang sepatutnya dilakukan dengan didahului angota disebelah kanan. Begitu juga dengan memakai jam tangan.
“Saya berikan contoh, kalau sekali kamu gunakan jam yang berada ditangan kanan untuk melihat dan mengetahui waktu solat, disitu pun akan dicatit 1 kebaikan keatas kamu. Cuba kamu bayangkan, kalau dalam sehari kamu melihat jam yang berada ditangan sebelah kanan untuk memastikan waktu solat fardhu kamu terjaga dengan baik, maka, sudah tentu akan lebih banyak kebaikan yang mungkin Allah akan berikan kepada kamu pada hari tersebut. Kerana apa? sebelum kamu melakukan ibadah, kamu mendahulinya dengan melihat waktu solat pada jam yang berada di tangan sebelah kanan kamu tu.
See, nampak simple, tapi ada kebaikan yang tersembunyi disitu, tak rugi dan tak pelik pun mengenakan jam tangan di sebelah kanan, malah ianya lebih menguntungkan” 🙂 innsyaAllah.
Terima kasih ustazah atas perkongsian.
Ini pula jawapan daripada Mufti Wilayah:
Secara asasnya, memang benar bahawa Rasulullah S.A.W suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan baginda. Ini dapat kita lihat di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.A beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’, dan juga dalam urusan baginda seluruhnya. Riwayat Al-Bukhari (168)
Ini bermakna baginda sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam urusan seharian seperti memulakan pemakaian selipar dengan kaki kanan, menyikat rambut dengan tangan kanan, makan dan minum dengan tangan kanan, dan perbuatan-perbuatan selainnya.
Meskipun begitu, terdapat beberapa riwayat yang secara spesifiknya menunjukkan kepada perhiasan atau aksesori yang dipakai oleh Rasulullah S.A.W di tangan baginda iaitulah cincin. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya: Adalah cincin Nabi S.A.W di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya dari tangan kiri. Riwayat Muslim
Justeru hadis ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa baginda S.A.W memakai cincin di tangan kiri baginda. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kanan, justeru dengan memakai cincin di tangan kanan pasti akan menjadikan proses tersebut sedikit sukar.
Imam Al-Buhuti Rahimahullah berkata:
‘’Memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap’’. Rujuk Kasyyaf Al-Qina’, Al-Buhuti.
Manakala para ulama Syafi’eyyah berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama.
Ini seperti pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut:
يجوز للرجل لبس خاتم الفضة في خنصر يمينه وإن شاء في خنصر يساره كلاهما صح فعله عن النبي صلى الله عليه وسلم لكن الصحيح المشهور أنه في اليمين أفضل ; لأنه زينة ، واليمين أشرف
Maksudnya: Adalah dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk memakai cincin perak di kelingking tangan kanannya. Dan sekiranya dia mahu (dia boleh memakainya) di jari kelingking tangan kirinya. Keduanya sahih dilakukan oleh Nabi S.A.W. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal ia dipakai di tangan kanan. Kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa isu pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin. Ini kerana, kedua-duanya dipakai di tangan. Oleh kerana itu, apabila kita menyatakan bahawa dibolehkan untuk memakai cincin di tangan kiri, maka demikian juga diharuskan untuk memakai jam tangan di tangan kiri.
Pemakaian jam di tangan kiri ini tidaklah ia termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir. Ini kerana, ia langsung tidak dianggap sebagai perbuatan yang terkhusus dengan budaya dan adat mereka. Bahkan menjadi suatu kebiasaan yang meluas di seluruh dunia bahawa orang-orang Islam juga memakai jam di tangan kiri.
KESIMPULAN
Hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Ini berdasarkan qiyas kepada pemakaian cincin. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang suka mendahulukan anggota kanan, ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insha Allah. Tambahan pula sekiranya pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran untuk makan dengan tangan kanan seperti dengan menanggalkan jam semasa makan, maka ia lebih utama.
Kita boleh mengubah sesuatu yang menjadi kebiasaan menjadi lebih baik kerana ia membantu menambah saham pahala di akhirat nanti. Bila kita buat, kita dapat.
Sumber Kredit: FB: Syarif Ad-Deen dan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Syawal berbaki lebih kurang dua minggu lagi dan masih ada peluang untuk kita melaksanakan puasa enam yang ganjarannya cukup besar.Disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad...