Assalamualaikum Dato’ Mufti. Terdapat masjid yang meletakkan pencuci tangan pada pintu masjid. Jadi, bolehkah menggunakan hand sanitizer ketika melakukan solat, adalakah ia dikira najis disebabkan ada alkohol di dalamnya. Mohon pencerahan Dato’ Mufti. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam melakukan ibadah solat, di antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi adalah menghilangkan najis yang terdapat pada badan dan pakaian. Persoalan pada kali ini adalah untuk menjelaskan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) ketika hendak melakukan solat. Justeru sebaiknya kita membahaskan tentang apa yang terdapat pada kandungan dan bahan yang digunakan di dalam hand sanitizer (pencuci tangan) itu sendiri.
Hand Sanitizer (Pencuci Tangan)
Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.
Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.[1]
Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alkohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.
Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (pencuci tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10 liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333 ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515 ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417 ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol. [2]
Hukum Penggunaan Alkohol
Menuru jumhur ulama, alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.” Riwayat Muslim (2003)
Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpamanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.
Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Ads
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. Tapai halal dimakan.
Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
Ads
Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALKOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.
Kesimpulan
Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) semasa melakukan solat. Adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya?
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Wallahua’lam
S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan Diterbitkan : 1 Mac 2020
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kala ini ramai mempersoalkan SOP di kalangan orang miskin dan orang kayangan. Banyak contoh-contoh jelas berlaku di depan mata sehingga segelintir netizen merasakan mereka juga perlu menjadi kaya agar boleh balik kampung menjengah mak ayah atau pergi berbulan madu. Walau kerajaan menegaskan tiada kompromi antara golongan ini tetapi semakin hari semakin banyak kepincangan peraturan ditunjukkan di depan mata.
Malah di media sosial, ramai yang melihat kemiskinan atau hidup seadanya sebagai “satu masalah” di mana mereka beranggapan menjadi kaya boleh buat macam-macam perkara. Misalannya dakwaa boleh rentas negeri, boleh balik kampung, boleh hantar kereta pada mak ayah dan sebagainya tapi kalau orang miskin hanya perlu duduk di rumah sahaja. Kalau buat kena denda? Namun sebelum kita merosakkan pemikiran tentang istilah miskin, kaya atau kayangan ini, dengarkanlah sebuah hadis Rasulullah SAW ini.
Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)
Sesuatu yang perlu dikaji dan kita fikirkan, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Dari hadis ini jelas tidak ramai orang kaya di syurga Allah. Di mana golongan kaya di dunia berada kalau bukan di syurga Allah? Di akhirat kita bukan ada rumah banglo, rumah teres atau rumah flat sebaliknya hanya ada dua sahaja iaitu syurga dan neraka? Apa kelebihan si fakir dan miskin sehingga mereka pula yang meramaikan syurga?
Perlu difahami, atau jangan pula beranggapan tak apa jadi miskin, nanti masuk syurga kerana hadis di atas. Kita memang disuruh bertebaran ke serata ceruk muka bumi mencari rezeki tapi rezeki yang halal selain meneguh keimaman kita kepada Allah. Jangan jadi orang miskin tapi iman selemah-lemah iman kerana beranggapan akan hadis di atas.
Bacalah satu perkongsian cerita di bawah ini yang sarat dengan pengajaran.
Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, lihatlah bagaimana orang miskin tapi imannya teguh (walau ditawar kekayaan oleh putera Raja namun dirinya menolak sama sekali). Kerana teguhnya iman dan pendiriannya, mendorong putera raja “mengikut” langkah si miskin dan membuang kekayaannnya dan merasai kehidupan sebagai orang miskin sehingga ke akhir hayatnya.
Si miskin yang menjaga iman dan agamanya
Kisah ini diambil dari tulisan Dr. Aidh al-Qarni dalam bukunya bertajuk Siyat al-Qulub. Berikut kisah yang beliau nukilkan dalam buku tersebut:
Pada suatu hari, Putera ‘Ali – salah seorang daripada putera Khalifah al-Ma’mun – berdiri sambil melontarkan pandangannya ke luar istana memerhatikan pasar kota Baghdad. Dia sedang berada di puncak istana yang megah; makanannya lazat, kenderaannya empuk dan hidupnya menyenangkan. Dia memakai pakaian yang cantik lagi indah dan menikmati makanan yang paling lazat. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah merasa apa yang dinamakan lapar dan tidak pernah merasa haus. Dahinya juga tidak pernah terkena pancaran sinar matahari.
Dia memandang ke arah orang-orang yang lalu lalang di pasar. Pandangan putera mahkota terhala kepada seorang lelaki daripada sekian banyak manusia yang dilihatnya. Lelaki itu bekerja sebagai kuli yang bekerja mengangkat barang-barang orang lain dengan diberi upah.
Pada diri lelaki tersebut terpancar tanda kesolehan dan ahli ibadah. Barang yang dipikulnya diletakkan di atas belakangnya. Dia memikul barang-barang tersebut dari satu kedai ke kedai yang lain, dari satu tempat ke tempat yang lain.
Putera mahkota tersebut, dari atas istana memperhatikan tingkahlaku dan aktiviti yang dilakukannya di pasar itu. Apabila waktu Dhuha telah mencapai pertengahannya, tukang pikul ini lalu meninggalkan pasar dan pergi menuju ke tepi sungai Tigris, lalu mengambil air wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat. Kemudian dia mengangkat kedua tangannya berdoa kepada Allah SWT.
“Maha Suci Allah yang dapat dihubungi oleh orang-orang fakir miskin. Maha Suci Allah yang berlindung kepada-Nya orang-orang yang teraniaya dan orang-orang yang tertindas. Maha Suci Allah yang dikenal oleh orang-orang yang sederhana dan terhalang dari kebanyakan orang-orang kaya dan orang-orang yang terpandang.” Apabila tukang pikul ini selesai solat Dhuha, dia kembali bekerja sehingga menjelang waktu Solat Zohor. Kemudian dia membeli roti berharga satu dirham, lalu roti itu dibawanya ke tepi sungai Tigris. Roti itu kemudian dibasahkan dengan air terlebih dahulu, barulah dia makan dan minum.
Setelah selesai makan, dia mengambil air wudhuk untuk solat Zohor dan kemudian berdoa, menangis dan mengadu kepada Allah SWT. Kemudian dia tidur sejenak. Setelah itu, dia bangun, lalu turun ke pasar dan bekerja lagi dengan bersungguh-sungguh. Selesai semuanya itu, dia membeli roti lalu pulang ke rumahnya.
Putera Raja tawar kekayaan dunia namun ditolak mentah-mentah
Pada hari yang kedua, dia kembali melakukan kegiatan rutinnya seperti biasa tanpa ada perubahan. Hal yang sama dia lakukan pula pada hari yang ketiga, hari yang keempat sehingga beberapa hari berikutnya.
Akhirnya, putera mahkota itu pun menyuruh salah seorang pengawalnya untuk memanggil tukang pikul itu, kerana dia ingin bercakap dengannya di istana. Pengawal itu lalu pergi untuk memanggil tukang pikul tersebut.
Apabila melihat kedatangan pengawal kerajaan itu, tukang pikul berkata kepada dirinya sendiri, “Ada urusan apakah tentang Bani Abbas ini datang kepadaku? Aku rasa aku tiada urusan dengan khalifah.” Mereka berkata, “Putera khalifah memerintahkan kepadamu untuk datang menghadap beliau sekarang juga.”
Seketika terlintaslah dalam fikiran si miskin ini bahawa putera khalifah pasti akan bertanya dan menghukum dirinya. Disebabkan itu, dia berkata, “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong).
Kalimat ini adalah senjata orang-orang miskin, orang-orang yang tertindas, dan orang-orang yang teraniaya serta orang-orang yang lemah, namun dapat meruntuhkan keangkuhan orang-orang yang melampaui batas, dapat merobekkan jerejak besi, dan dapat meruntuhkan benteng yang kukuh.
Nabi Ibrahim AS ketika ditangkap, sedangkan api telah menyala dengan hebatnya, lalu mereka melemparkannya ke dalam kemarakan api itu, dia mengeluarkan senjatanya dan berdoa, , “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong). Maka ketika itu juga Ibrahim AS sdengan nikmat daripada Allah dan kurniaan-Nya selamat daripada api tanpa terbakar walaupun sedikit pada badannya.
Orang miskin ini masuk menemui putera khalifah yang bernama Ali bin al-Ma’mun dan mengucapkan salam kepadanya. Beliau bertanya kepadanya, “Adakah kamu kenal diriku?”
Dia menjawab, “Aku belum pernah melihat tuan, tetapi aku mengenal tuan.”
“Aku adalah anak khalifah,” jawab Ali.
“Orang ramai menyebut demikian,” jawab si miskin bersahaja.
“Apa pekerjaanmu?” tanya Ali.
“Aku bekerja bersama hamba-hamba Allah di negeri Allah,” jawab si miskin.
“Aku telah melihatmu selama beberapa hari terakhir ini, dan aku lihat kamu begitu sengsara. Maka aku ingin meringankan penderitaanmu,” Putera khalifah itu menawarkan bantuan kepadanya.
“Dengan cara apakah tuan akan melakukannya?” si miskin kembali bertanya.
“Kamu dan keluargamu boleh tinggal dalam istana bersamaku. Kamu akan hidup senang, mempunyai tempat tinggal, makan dan minum tanpa ada sebarang kesusahan dan kesulitan, serta tanpa ada penderitaan dan kesedihan,” jawab putera khalifah tersebut.
Si miskin menjawab, “Wahai putera khalifah, tidak ada kesusahan bagi orang yang tidak berdosa, tidak ada penderitaan bagi orang yang tidak derhaka, dan tidak ada kesedihan bagi orang yang tidak melakukan kejahatan. Adapun orang yang berpetang hari dalam kemurkaan Allah dan berpagi hari dalam keadaan derhaka terhadap Allah, maka dia adalah orang yang selalu ditimpa kesusahan, kesedihan dan penderitaan.
Putera khalifah kemudian bertanya tentang keluarganya, lalu si miskin menjawab, “Aku hanya memiliki ibuku yang sudah tua renta dan saudara perempuanku yang buta lagi papa. Aku datang dengan membawa roti untuk memberi makan berbuka puasa kepada keduanya sebelum matahari tenggelam, kerana keduanya selalu berpuasa setiap hari. Kami makan bersama, kemudian tidur.”
Putera khalifah bertanya, “Waktu mana engkau bangun?”
Dia menjawab, “Apabila rahmat yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya turun ke langit yang terdekat (waktu sahur).”
Putera khalifah bertanya lagi, “Apakah kamu mempunyai hutang?”
Dia menjawab, “Dosa-dosa yang aku lakukan antara aku dan Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”
Putera khalifah bertanya, “Adakah kamu ingin hidup seperti kami?” “Tidak, demi Allah,” jawab tegas si miskin.
“Mengapa?” Putera khalifah bertanya kehairanan.
“Aku takut hatiku akan menjadi keras, dan agamaku menjadi rosak,” jawab si miskin.
“Apakah kamu lebih memilih menjadi kuli tukang pikul di pasar dalam keadaan lapar di bawah terik matahari, tidak berpakaian, susah, sedih lagi sengsara, dan tidak mahu hidup bersamaku di dalam istana kerajaan?” tanya putera khalifah.
“Benar, demi Allah.” Jawab si miskin. Kemudian dia pun turun, dan pergi meninggalkan putera khalifah.
Disangka sudah mati tapi hidup Putera Mahkota penuh dengan amal selepas menyamar menjadi miskin
Putera khalifah merenung dan berfikir dengan perasaan yang syahdu sesudah mendengar ucapan si miskin yang penuh keimanan dari hatinya.
Pada suatu malam, putera khalifah terbangun dari tidurnya yang begitu lena lagi lama. Beliau disedarkan oleh seruan daripada Allah yang membangunkannya:
Bangunlah wahai orang yang banyak tidur, Sampai bilakah keadaan seperti ini, Dunia ini adalah negeri yang fana (binasa), Semuanya yang ada pastilah lenyap, Kebaikannya pula sangat sedikit, Sedang keburukannya amat banyak, Usia di dunia makin berkurang dan keburukan makin bertambah, Oleh kerana itu, perbanyaklah membuat bekal, Kerana perjalanan yang akan ditempuh sangatlah jauh.
Putera khalifah terjaga di tengah malam, lalu berkata kepada pengawal peribadinya, “Aku akan bermusafir ke suatu tempat. Setelah tiga hari dari musafirku, sampaikanlah kepada ayahku, al-Makmun, bahawa aku bermusafir dan akan bersua lagi dengannya pada hari Akhirat kelak di padang Mahsyar.”
Mereka bertanya, “Mengapa engkau mahu bermusafir?”
Putera khalifah menjawab, “Aku telah muhasabah diriku, dan ternyata aku berada dalam kealpaan, tidur yang nyenyak, terdampat dan sesat, maka aku ingin berhijrah kepada Allah dengan membawa ruhku.”
Dia pun berangkat pergi di tengah malam, dalam keadaan meninggalkan baju kebesarannya dan memakai pakaian orang miskin, lalu pergi bermusafir menempuh perjalanannya hingga lenyap dari pandangan mata. Adapun khalifah tidak mengetahui ke mana arah yang dituju oleh puteranya. Begitu juga penduduk kota Baghdad. Saat terakhir pembantu istana melihat putera khalifah ialah pada hari dia meninggalkan istana menaiki kenderaannya menuju ke Wasith[16] sebagaimana yang dikatakan oleh ahli sejarah.
Putera khalifah telah mengubah penampilan dirinya dan menjadi seperti orang miskin serta bekerja dengan seorang saudagar untuk menghasilkan batu bata. Beliau mempunyai wirid yang selalu dilaziminya dan setiap pagi dia menghafal al-Qur’an, berpuasa setiap Isnin dan Khamis serta di malam harinya berqiamullail dan bermunajat kepada Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya. Dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk keperluan hidup sehari-harinya. Seketika kemudian, lenyaplah kesusahan dan kesulitan serta kesedihannya. Begitu juga lenyaplah rasa besar diri, sombong dan angkuh dari dalam hatinya.
Maksudnya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Surah al-An’am (122)
Ketika ajal sudah mendekatinya, dia memberikan cincin yang selalu dipakainya kepada majikannya – saudagar tersebut – dan berpesan, “Aku sebenarnya adalah anak khalifah al-Ma’mun. Apabila aku mati, maka mandikanlah, kafankanlah, dan kuburkanlah aku. Kemudian serahkanlah cincin ini kepada ayahku.”
Saudagar itu pun memandikan, mengafankan, dan mensolatkan jenazahnya, kemudian menguburkannya. Setelah itu, lalu dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun. Pada awal mulanya, khalifah menyangka bahawa puteranya telah terbunuh di suatu tempat atau hilang atau pergi ke suatu tempat tanpa ada khabar beritanya. Setelah dia melihat cincin itu, dia pun sangat terkejut dan menangis dengan suara yang sangat kuat. Kemudian khalifah bertanya kepada saudagar itu berita tentang anaknya. Saudagar pun menceritakan kepada khalifah perihal puteranya.
Setelah mereka mendengar kisahnya, khalifah dan para menterinya menangis kesemuanya. Mereka mengetahui bahawa puteranya telah mengetahui jalannya, tetapi mereka tidak mahu berjalan bersamanya.
Maksudnya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. Surah al-An’am (125)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kenapa anak kita tak nak solat? Kenapa anak orang lain mudah sahaja untuk bersolat? Solat adalah tiang agama.
Perkara pertama yang akan disoal oleh Allah di akhirat nanti ialah sejauh mana kita menjaga baik solat-solat kita. Maka tidak hairanlah apabila sewaktu kecil dahulu, ibu ayah kita selalu ‘bising’ apabila kita lambat atau tidak solat.
Membentuk keluarga sakinah adalah tanggungjawab kedua orang tua. Justeru itu, ibu ayah perlu tegas dalam menyuruh anak mendirikan solat sejak kecil lagi. Kita ikuti nasihat Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, mengulas tentang ibu ayah yang kesal anak tidak mahu bersolat.
“Kalau solat sempurna, diterima oleh Allah, maka solat-solat kita akan menjadi syafaat kepada amal-amal kita yang lalu. Jika solat tak diterima atau langsung tak bersolat, maka amal-amal baik yang lain akan terjejas walaupun kita beramal,” tegasnya.
Kunci syafaat ini ada pada solat. Oleh itu, menjadi KEWAJIPAN orang tua mengambil berat kepada anak-anak terutama kanak-kanak mumayiz.
Anak-anak mummayiz ialah kanak-kanak yang belum baligh tetapi boleh menguruskan diri sendiri seperti mandi, beristinjak, boleh faham apa yang dibicarakan.
Manakala kanak-kanak bukan mummayiz adalah anak-anak yang belum tahu menguruskan diri sendiri, tidak faham apa yang kita katakan dan perlukan bantuan orang lain.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun. Apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya serta pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Berkata an-Nawawi, hadith hassan sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang hassan. No. Hadith : 495).
Ini merupakan perintah Nabi SAW kepada orang tua agar memastikan anak-anak bersolat.
“Perintah ini bukan kerana kewajipan bersolat pada anak, tetapi lebih kepada kewajipan dan tanggungjawab orang tua melatih anaknya menjaga dan mendirikan solat”, ujarnya lagi.
Justeru, jika didapati ada orang tua yang mempunyai anak berumur 7 tahun dan tidak perintahkan anaknya bersolat apatah lagi tidak diajarkan solat, dalam hal ini orang tuanya telah mengabaikan perintah Nabi SAW.
Dalam usia 7 tahun, anak-anak masih mudah untuk disuruh dan mengikut arahan. Bila mana sudah baligh, maka anak-anak itu masing-masing sudah ada kehendak sendiri. Pembentukan sahsiah itu sendiri harus bermula daripada sebelum baligh lagi.
Anak-anak berumur 10 tahun perlu dipukul jika tidak bersolat. Pukulan ini adalah pukulan tarbiah, pukulan untuk mendidik anak-anak supaya tidak menjadi kebiasaan kepada anak-anak itu, kalau tidak bersolat tidak mengapa lalu dibiarkan.
Bilamana baligh, maka dia tidak lakukan solat atau berat untuk melaksanakan solat, masalah ini berpunca daripada ibu ayah yang tidak tegas mendidik anaknya bersolat pada usia 7 tahun. Dalam erti kata lain, ibu ayah perlu memastikan didikan awal dimulakan pada peringkat mumayiz lagi.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Perpisahan tentunya siapa yang menginginkannya. Sesiapa sahaja pasti akan berasa sakit dengan kehilangan insan tersayang yang selama ini sudah terbiasa bersama dengan kita.
Apalagi masih sama-sama ingin bersama, tapi harus berpisah demi suatu hal, maka pasti move-on nya pun akan sangat susah.
Namun apalah daya jika kita harus bersabar dalam ikhlas. Mungkin dia bukan untukmu, mungkin dia memang lebih tepat untuk orang lain, dan begitu juga denganmu, maka ikhlaskanlah!
RELAKAN SAHAJA
Jangan terus-terusan menginginkannya kembali. Percayalah Allah sedang menyiapkan yang lebih baik untukmu. Sudah-sudahlah ya. Jangan terus-terusan menginginkannya kembali kepadamu, percayalah bahawa kini Allah tengah menyiapkan yang lebih baik untukmu.
Jika memang dia harus pergi, maka relakan saja pemergiannya. Jangan tahan dia dalam hatimu, sungguh kamu tidak akan pernah bahagia sampai bila pun jika terus menahan sesuatu yang seharusnya pergi.
JANGAN KESAL
Tidak usahlah terus bersedih kerana semakin kita bersedih maka akan semakin sempit hati untuk berlatih bersabar. dan mengikhlaskan. Tetapi jika kita berusaha untuk lapang dada, maka di situlah perlahan-lahan kita akan move-on, dan akhirnya kita mengerti akan takdir-Nya.
Usah menyesali pertemuan yang sudah Allah atur. Anggap sahaja pertemuan dengan si dia itu hanyalah sebuah jalan agar kita dapat melatih hati dengan keikhlasan. Sesulit mana pun untuk melupakan dan mengikhlaskan, belajarlah untuk reda kerana jika kita sudah terbiasa untuk ikhlas maka kita akan sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
Allah menyuruh kita belajar erti merelakan setiap pertemuan dan kehilangan yang dialami. Oleh itu pastikan kita tahu cara untuk ikhlas, menenangkan hati walaupun sukar. Mulai dari sekarang, akhiri kesedihanmu.
Ini kerana mungkin dia memang lebih sesuai untuk orang lain, dan kita mungkin memang lebih sesuai dengan orang lain, seseorang yang lebih baik yang akan membuatkan kita semakin baik menjalani kehidupan ini.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Solat jamak dan qasar adalah kemudahan yang dikurniakan untuk mereka yang bermusafir menunaikan solat. Namun jarak perjalanan tersebut hendaklah melebihi dua marhalah atau 81...