Perkahwinan paksa di zaman moden ini amat jarang terjadi. Namun ia masih berlaku berikutan campur tangan orang tua yang menganggap anak-anak wajib patuh arahan mereka walaupun mereka sudah dewasa dan berdikari.
Tidak mahu menjadi anak derhaka, dilema yang dihadapi sang anak memang cukup besar. Antara hasrat orang tua dan diri sendiri.
Bagaimanapun Islam ada menggariskan hukum dan panduan bagaimana hal ini dapat diuruskan dengan baik. Kita ikuti penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan berkenaan hal ini.
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Saya ada kemusykilan tentang perkahwinan. Cerita begini ayah saya berkenan dengan seorang pemuda yang selalu ikut jemaah dakwah.
Jadi ayah saya merancang untuk jodohkan saya dengan dia tapi saya tak setuju, antara sebab kerjayanya dan pendapatannya yang jauh lebih rendah dari saya dan beliau tidak ada pendapatan tetap.
Setahu saya seorang ayah ada kuasa paksa anak perempuannya berkahwin walaupun tanpa kerelaannya.
Soalan saya benarkah situasi saya sekarang ayah saya boleh paksa saya berkahwin dengan lelaki itu walaupun saya tak mahu?
JAWAPAN:
Menurut majoriti ulama termasuk mazhab Syafi’ie berpendapat wujudnya pensyariatan wali mujbir dalam perihal nikah kahwin.
Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji mengenai maksud wali mujbir:
وولاية الإجبار ثابتة للأب، والجد أبي الأب فقط، ولا ولاية إجبار لغيرهما .وولاية الإجبار إنما تكون في تزويج البنت البكر، صغيرة كانت أو كبيرة، عاقلة أو مجنونة .فلأبيها ـ وكذلك لجدها أبي أبيها ـ أن يزوِّجها بغير إذنها ورضاها.
Maksudnya: “Wali mujbir ialah bapa dan datuk sebelah bapa sahaja dan tiada wali mujbir selain dari kedua-duanya. Wali mujbir hanya mengahwinkan anak dara sama ada kanak-kanak atau dewasa dan berakal atau gila.
Bapa dan datuk sebelah bapa boleh mengahwinkan anak atau cucu perempuannya tanpa izinnya dan kerelaannya.”
Namun begitu bapa tidak memiliki kuasa Ijbar(paksa) anak gadisnya (bukan janda) berkahwin secara mutlak kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetap oleh ahli-ahli fiqh.
Ini bermakna si bapa tidak boleh sewenang-wenang memaksa anak gadisnya berkahwin dengan lelaki pilihannya melainkan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Syarat-syarat sah wali mujbir seperti berikut(rujuk: al-Fiqh al-Manhaji):
i. Tidak terdapat permusuhan yang nyata antara wali dan perempuan yang diwalikannya.
ii. Bakal suami yang dipilih mestilah sekufu.
iii. Bakal suami berkeupayaan menyerahkan mas kahwin dengan segera.
Berdasarkan kenyataan di atas, si bapa menginginkan anak gadisnya berkahwin seorang lelaki yang lebih rendah kedudukan kerjayanya. Dalam bab munakahat(nikah kahwin) ada perbincangan khusus mengenai ‘kafa’ah’ atau ‘kufu’(kedudukan setara) dalam perkahwinan.
Maksud kafa’ah atau kufu’ iaitu kedudukan atau martabat yang sama tinggi antara suami dan isteri. Sebagai contoh wanita yang kaya hendaklah dikahwinkan dengan lelaki yang kaya juga.
Jika seorang perempuan dikahwinkan dengan lelaki miskin maka si wanita berhak memohon agar hakim memfasakhkan pernikahan tersebut. Ia juga hak si wali untuk menuntut fasakh pernikahan anak gadisnya jika berkahwin dengan lelaki tidak sekufu.
Secara ringkas, kafa’ah menurut majoriti ulama terbahagi dalam beberapa bahagian, iaitu:
(1) Agama/Akhlak
(2) Nasab/keturunan
(3) Merdeka
(4) Kerjaya
(5) Harta/kekayaan.
Manakala mazhab Maliki membahagikan kepada 2, iaitu agama dan keadaan yang selamat dari aib dan kecacatan. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh)
Kafa’ah dalam perkahwinan bukanlah untuk membeza-bezakan kedudukan antara manusia, sedangkan semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah mereka yang bertakwa, tidak kiralah apa pun keturunan, kerjaya mahupun harta benda.
Tetapi hikmah kafa’ah berperanan untuk menjaga keharmonian rumah tangga agar si isteri benar-benar menghormati dan menyanjungi suaminya.
Jika seorang dikahwinkan dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya maka dikhuatiri si isteri tidak menghormati suaminya dan ditakuti lebih teruk yang bakal berlaku seperti menghina, memandang rendah suami, nusyuz dan seumpamanya.
Berbalik kepada soalan di atas, adakah bapa saudari berhak untuk memaksa saudari berkahwin dengan lelaki pilihannya?
Jawapan yang boleh saya berikan menurut mazhab Syafi’ie ialah tidak boleh.
Ini kerana si bapa tidak memenuhi syarat yang kedua (rujuk point 2) yang mana lelaki tersebut kedudukannya tidak setara atau tidak sekufu’ dengan saudari dari sudut kerjaya.
Apa yang perlu diingat juga permasalahan kafa’ah bukanlah salah satu syarat sahnya pernikahan. Ia hanya melibatkan kesinambungan sesuatu perkahwinan yang mana jika si wanita atau wali tidak redha dengan lelaki yang tidak sekufu’ maka salah seorang berhak meminta fasakh dari pihak hakim.
Namun jika kedua-duanya redha ia tidak menjadi masalah, malah nikah tetap sah dan diteruskan.
Manakala dari sudut adab dan akhlak seorang anak wajib bersikap baik dan lunak terhadap bapanya dalam apa situasi sekali pun.
Artikel berkaitan:Suka Atau Tidak Pengantin Baharu Akan Lalui 7 Fasa Perkahwinan Penuh Pancaroba Ini
Artikel berkaitan:Nak Cari Pasangan Hidup Kena Yang Sekufu, Wali Boleh Bantah Kalau Tak Setuju Sebab Bimbang Perkahwinan Tak Bahagia
Meskipun saudari tidak bersetuju dengan lelaki pilihan bapa, disarankan agar bawa berbincang dengan penuh hikmah sehingga menemui kata sepakat.
Jika tidak berjaya, cuba jalan lain iaitu meminta bantuan orang tengah yang dihormati dan dipercayai oleh bapa saudari agar berperanan memujuk dan menasihati si bapa. Apa yang lebih penting redha Allah bergantung kepada redha ibu dan bapa.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
(Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI