‘Kasih bapa sepanjang masa.’ Ayah ini sanggup berumah dalam kereta demi anak tercinta. Baginya biarlah dia bersusah, asalkan dia berada dekat dengan anak dan isterinya yang berada di wad.
Benarlah kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Itu perumpamaan tepat buat Adi Saifullizam Abdul Sani, 40, apabila sanggup tidur dalam kereta di tempat parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak, bagi menemani anak bongsunya yang dirawat di hospital itu.
Anaknya, Muhammad Afeef Mikhail, 8, sehingga kini dirawat di hospital berkenaan sejak menjalani pembedahan bagi pengambilan sampel sel serta memasukkan tiub sekitar tengah malam Sabtu lalu, selepas disahkan menghidap tumor otak sehari sebelumnya.
Sebelum itu tular video kereta Proton Satria milik bapa itu yang dipasang dengan khemah sambungan belakang kereta dan diletakkan di ruangan parkir HRPB.
Menurut bapa kepada tiga anak masing-masing berusia 15, 12, dan 8 tahun itu yang mesra disapa ‘Adi’, Muhammad Afeef kini stabil selepas pembedahan itu namun masih perlu dirawat dan dipantau di Wad Pediatrik HRPB dengan ditemani isterinya, Aminah Othman.
Ayah Ini Sanggup
Terangnya, keputusan bermalam di ruangan parkir hospital itu diambil kerana ingin sentiasa dekat menemani anak serta isterinya, selain beberapa kekangan lain termasuk kewangan serta kesukaran untuk mencari lot parkir sekiranya dipanggil doktor.
Ads
“Isteri menemani anak di wad dan saya ‘menetap’ dalam kereta sebab tidak mahu berjauhan dengan mereka.
“Keputusan bermalam dalam kereta ini diputuskan bersama isteri selepas mengambil kira tahap kemampuan kewangan kami termasuk untuk berulang-alik dari rumah inap dan sebagainya,” katanya.
Berumah Dalam Kereta
Tambah Adi yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bidor dan menetap di Trolak manakala Aminah hanya suri rumah sepenuh masa Adi, dia juga mengambil cuti tanpa gaji selama seminggu hingga Sabtu ini untuk bersama-sama isteri memantau anaknya.
Katanya, dua lagi anaknya iaitu anak sulung dan anak kedua kini dijaga sementara oleh saudara terdekat.
“Tidur dalam kereta bukanlah lena mana sekadar baring untuk meregang badan dan hilangkan letih.
“Yang penting saya dapat segera sampai jika ada sebarang keputusan atau permintaan doktor yang memerlukan untuk saya sampai ke atas (wad).
Ads
“Memang ada kawan sekitar Ipoh yang menawarkan saya duduk sementara di rumah sewa mereka tetapi lokasinya di Tambun dan Pengkalan Station 18 yang mungkin mengambil masa lebih setengah jam untuk saya sampai ke hospital, tidak termasuk untuk mencari parkir,” katanya.
Demi Anak Tercinta
Jelas Adi, Muhammad Afeef pada mulanya didiagnos dengan masalah bengkak pada saluran antara bahagian mata dan tulang belakang di Hospital Slim River sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan (HTI) bagi menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan).
“Afeef menjalani CT Scan di HTI pada petang Jumaat dan keputusannya diperoleh malam sama, dan malam itu juga saya, isteri, dan Afeef dirujuk pula ke HRPB bagi pembedahan mengambil sampel sel dan memasukkan tiub.
“Saya bermalam dalam kereta di HRPB sejak Jumaat lalu pada malam pembedahan dilakukan. Kini keadaannya stabil, makin baik, dan sehingga sekarang tidak menunjukkan kesan akibat pembedahan.
“Pemantauan masih diteruskan termasuk bagi menunggu keputusan ujian makmal yang akan menentukan jenis tumor dihidapi anak sebelum doktor memutuskan rawatan susulan yang bersesuaian,” katanya.
‘Allah makbulkan doa saya.’ Hafiz Mahamad sebak dapat hantar mama, abah tunai haji pada tahun ini. Tentu saja sebagai anak, kita inginkan yang terbaik untuk bahagiakan hati mereka.
Apa lagi mak dan ayah semakin menua, tentu bermacam-macam kita ingin beri kepada mereka jika berkemampuan.
Hafiz Mahamad sekali lagi membuatkan ramai sebak apabila penat-lelahnya untuk menghantar mak dan abahnya menunaikan haji termakbul. Ini perkongsiannya:
Allah Makbulkan Doa Saya
Sebak hati saya semalam. Selagi masih sempat. Mama Abah, jangan anggap ini “hadiah” dari Hafiz.
Ini semua hasil dari kebaikan Mama dan Abah buat selama ini. Tidak ada apa yang Hafiz boleh balas.
Selepas Mama, Abah pencen tahun lepas, saya selalu cakap dengan mereka. Tahun depan, tunaikan haji tau. Doa banyak-banyak.
Hafiz Mahamad Sebak
Setiap kali saya pergi umrah, tak lepas dari doa supaya Allah izinkan kemampuan untuk saya menjadi asbab Mama dan Abah tunaikan haji. Masyallah, tahun ini Allah makbulkan.
Demi Allah, tak berhenti saya usaha selama ini. Siang dan malam. Syukur kerana hati dan akal ini Allah izinkan masih memikirkan tentang mereka.
Umur mereka meningkat. Banyak saya buat mereka kecewa dulu dan saya kena laju, selagi masih sempat. Senyuman mereka yang saya hendak lihat.
Dapat Hantar Mama, Abah Tunai Haji
Mama, semalam Hafiz tahan saja sebak dengan kacau kacau mama semalam. Kalau tak, sudah meleleh air mata jantan ini.
Untuk adik saya
Adik, terima kasih pegang amanah aku untuk tengokkan mama abah di kampung. Mu jaga kesihatan mama dan abah. Mu anak syurga Adikku
Tugas aku pula sebagai anak sulung adalah untuk mencari di luar ini.
Terima Kasih juga isteriku kerana mencintai abah mama dan sentiasa menghormati mereka. Terima kasih sayang.
Kamu juga sahabat saya, terima kasih kerana terus doa dan support. Saya tahu ini hasil doa doa kalian.
Kashoorga: Semoga Hafiz Mahamad sentiasa murah rezeki dan dapat membuat lebih banyak kebaikan untuk orang sekelilingnya.
Kecoh di media sosial kisah pensyarah dari UiTM Seri Iskandar, Perak yang dilihat melontarkan kata-kata agak kasar terhadap golongan B40 atas insiden pelajar tidak mempunyai komputer walau sudah di semester 5. Walau pelajar itu dikatakan sudah tamat pengajian, ada pro dan kontra dalam isu ini dan ia mengikut apa yang kita fikirkan, sama seperti penciptaan manusia yang agak unik dengan pelbagai pemikiran.
Ini kerana penciptaan manusia berbeza dengan maklukNya yang lain kerana dilebihkan dengan pengurniaan akal fikiran dan banyak lagi. Allah SWT berfirman:-
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah al-Tin: 4).
Bahkan manusia itu juga dibahagi kepada tiga iaitu mereka yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar.
Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.
Justeru, di sebalik insiden yang terjadi ini, ia mengikut apa yang kita fikirkan sama ada berilmu atau tidak.
Dalam pada itu, Pensyarah Hadis yang juga penulis terkenal, Dr Kamilin Jamilin di fbnya berkongsi satu kenangan ketika belajar di Riyadh dahulu dan bagaimana sikap Profesor yang terlalu baik di mana menyelitkan wang di dalam sampul secara diam-diam di sebalik kesusahan dilaluinya dahulu.
Ya, betapa indahnya akhlak tanpa memalukan sesiapa. Baca perkongsiannya:-
Masa saya belajar di Riyadh dulu, pernah ada masa-masa kita rasa terhimpit dengan kesempitan wang, sebab perlu menyara keluarga, bayar sewa rumah yang mahal dan sebagainya.
Beberapa kali masa saya rasa sebegitu, tiba-tiba lepas habis kelas, pensyarah saya Prof. Dr. ‘Ali al-Sayyah diam-diam meletakkan satu sampul di meja saya. Di dalamnya ada 2500 riyal! Bukan sekali! Seolah-olah beliau macam tahu apa yang pelajarnya ini rasai walaupun saya tidak pernah meminta apa-apa.
Pernah juga beliau memanggil saya ke pejabatnya dan memberikan saya beberapa peralatan komputer untuk kegunaan pengajian saya dan kata sambil tersenyum: “Ini hadiah untuk pelajar yang rajin”.
Beliau tidak pernah merendahkan sesiapa, sebaliknya sentiasa membantu dan memberi galakan yang terbaik. Akhlaknya itu membuatkan saya pernah berkata di dalam hati: “Suatu hari nanti, aku ingin menjadi pembimbing kepada pelajarku seperti guruku ini dan usaha buat kepada pelajarku seperti apa yang beliau buat kepada diriku!”.
-Dr. Kamilin Jamilin-
** Gambar laptop hadiah daripada insan istimewa di Riyadh pada tahun 2010 yang masih elok saya gunakan sampai hari ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Gambar sekadar hiasan.
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibbanbahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”.[Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Solat jenazah ibu bapa, anak lebih afdal jadi imam...Hati mana yang tak tersentuh bila mana melihat anak yang kematian ibu bapa mengambil tanggungjawab menyempurnakan...