Adat berkahwin, pasti setiap pasangan inginkan kesenangan hidup. Sentiasa dimurahkan rezeki dan dilimpahi harta tapi caranya haruslah berkat. Namun bukan semua memperolehnya, bukan kerana kita tidak berusaha keras mencarinya tapi “kurangnya keberkatan”rezeki itu sendiri hingga kita tidak pernah merasa cukup.
Sebenarnya mudah saja kalau mahu suami memperoleh rezeki yang banyak dan berkat. Syaratnya mudah saja kerana Allah sentiasa melimpahi rezeki buat hamba-hambanya yang tahu bersyukur dengan harta berkenaan. Sokongan isteri yang baik adalah salah satu asbab suami dimurahkan rezeki. Ini lima perkara isteri harus lakukan untuk suami peroleh rezeki yang merimpah ruah.
Pertamanya, sentiasa ingatkan suami untuk memberi sedikit rezeki kepada ibu bapa dan keluarga mentuanya
Berikanlah sedikit rezeki buat kedua ibu bapanya dan keluarga mentua hatta sekampit beras atau belikan barang keperluan lain. Bila kita mendahuluikan orang tua dalam kehidupan dan rezeki yang kita peroleh hasil bekerja itu, Allah akan gandakan lagi rezeki itu kerana memperoleh keberkatan. Jangan ditahan hingga muncung-muncung mulut jika suami bantu ibu bapanya kerana keberkatan hidupnya terletak di bawah tapak kaki ibunya. Lagi kita bergaduh soal duit, lagi rezeki akan menjauh.
Keduanya, ingatkan suami agar mencari rezeki yang halal buat keluarga kecilnya ini
Rezeki ada pelbagai tetapi yang membezakannya adalah cara ia diperoleh dan keberkatan diterima. Sebagai isteri, sentiasalah ingatkan suami agar mencari rezeki yang halal untuk diberi makan kepada anak isteri. Jauhi rezeki yang syubahah, menerima rasuah dan sebagainya. Jangan pula isteri meminta harta berlebih-lebihan terutama bab berhias diri dan pakaian hingga suami sanggup menerima rasuah dan lakukan perkara terkutuk untuk mencukupkan keperluan tersebut. Jadilah isteri yang sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian dari suami (harta yang halal).
Ketiga, jauhi gaya hidup boros atau terpesona dengan gaya hidup orang lain
Suami, andai sudah sayang dirinya akan sanggup lakukan apa saja khususnya permintaan isteri yang ada kalanya melampau-lampau. Pantang melihat orang berumah besar, minta suami buatkan. Tengok orang pakai gelang sampai paras siku, kita juga teringinkan begitu. Tengok orang bercuti di tempat mewah, kita juga mahukannya hingga tidak mengukur kemampuan diri dan keluarga. Sentiasalah jadi isteri yang sentiasa bersyukur. Berbelanjalah secara berhemah dan buatlah sedikit tabungan kerana orang yang sentiasa bersyukur Allah akan menambah keberkatan hidupnya. Pandangan dunia biasanya banyak menipu dan jangan sesekali terpesona dengan kilauan palsunya.
Keempat, sentiasa beribadah bersama untuk peroleh keberkatan dunia dan akhirat
Janji Allah, siapa yang sentiasa mengingatiNya, maka dirinya akan dalam pandangan. Jelaslah hubungan antara ibadah dan ketakwaan yang kita laksanakan setiap hari itu ada hubung kaitnya dengan keberkatan rezeki yang kita peroleh. Dan lebih berkat, jika ibadah itu dilakukan bersama-sama, baik suami, isteri serta anak-anak. Dan percayalah, rezeki itu akan melimpah ruah lagi. Amalkanlah budaya sentiasa solat berjemaah, tahajud, berpuasa sunnah dan membaca Al-Quran bersama-sama. Insya Allah rezeki itu tidak akan pernah putus dan sentiasa ada.
Terakhir, jauhilah pertengkaran dalam rumahtangga
Isteri sebenarnya berperanan sebagai penenang saat suami stres kalau ada masalah di tempat kerja. Tenangkanlah dirinya, jangan ditambah lagi jika suami meluahkan tekanan dirasainya. Jadilah insan yang mampu mendamaikan suami agar keharmonian dapat dicapai. Bila stresnya hilang, suami akan bekerja lebih rajin dan rezeki juga akan bertambah-tambah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI