Majoriti rumahtangga hari ini, suami dan isteri bekerja kerana keperluan kewangan yang amat mendesak. Kos sara hidup yang tinggi ditambah kenaikan barangan, memaksa suami dan isteri bekerja.
Dalam pada itu, timbul isu di mana ramai lelaki salah faham tentang nafkah kepada pasangan di mana mereka beranggapan, jika suami sudah membayar pinjaman bank untuk rumah atau kereta, maka barang-barang keperluan dapur atau jagaan nurseri anak menjadi tanggungjawab isteri membayarnya. Alasannya, kongsi bersama kerana gaji tidak mencukupi.
Perlu difahami, nafkah kepada isteri wajib dibayar oleh suami dan ia hak seorang isteri dan dirinya bebas berbelanja wang tersebut.
Menurut pejabat Mufti Wilayah, nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)
Berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu telah bertanya kepada Nabi SAW:
يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/244)
Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakain
- Tempat tinggal
- Alat-alat untuk membersihkan diri
- Barangan rumah
- Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang tertulis diatas. Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.
Jadi secara kesimpulannya, nafkah ini adalah hak isteri. Membayar kereta itu tanggungjawab suami, bukan termasuk dalam kategori nafkah. Jangan lepas tangan mengenainya kerana ia memang menjadi tanggungjawab suami dalam perkahwinan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Surat Terbuka Buat Syamsul Yusof & Keluarga, Hadam Baik-Baik Nasihat Dr Zulkifli Ini
Surat terbuka buat Syamsul Yusof, Puteri Sarah dan keluarga, hadam baik-baik nasihat Dr Zulkifli ini. Ternyata apa yang berlaku kepada pasangan selebriti ini turut mendapat perhatian ramai dan tidak terkecuali Dr Zulkifli.
Mengambil kesempatan ini, Mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi surat terbuka berupa nasihat kepada Syamsul Yusuf dan ahli keluarganya.
Artikel Berkaitan:
Surat Terbuka
Ternyata apa yang disampaikan Dr Zulkifli bukan hanya khusus buat Syamsul dan Puteri Sarah, tetapi mungkin boleh digunapakai oleh pasangan suami, isteri di luar sana. Ini isi kandungan surat terbuka Dr Zulkifli:
Kepada Syamsul Yusof, Keluarga dan Masyarakat
Semasa saya di dalam penerbangan Garuda Air menuju ke Jakarta pada tengahari ini pada 9 Januari 2023, saya sempat meneliti isu-isu semasa di media sosial.
Masih hangat dibincangkan tentang saudara Syamsul Yusof, keluarga dan juga bapanya, Datuk Yusof Haslam. Isu yang agak lama berlarutan, sehingga dinoktahkan dengan pengakuan Syamsul baru-baru ini.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat.
Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Saya lafazkan ‘أستغفرُ اللهَ وأتوبُ إليهِ’. Mudah-mudahan kita beroleh sedikit panduan dan pedoman.
Buat Syamsul Yusof & Keluarga
Saya mulakan nasihat ini seperti berikut:
Pertama: Agama itu adalah Nasihat
Ini selaras dengan firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.”
(Surah al-Asr: 3)
Imam al-Tabari berkata: Maksud saling berpesan dengan kebenaran itu adalah mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)
Hadam Baik-Baik Nasihat Dr Zulkifli Ini
Kita mahukan apa yang terzahir adalah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan.
Begitulah yang ditafsirkan oleh Sayyid Qutb Islam pada ayat di atas. Allah SWT mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra.
Di samping itu, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521). Begitulah besarnya peranan nasihat.
Kedua: Syabas kepada Saudara Syamsul
Tindakan saudara meletakkan noktah bagi kemelut “cakap-cakap belakang” dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.
Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak. Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.
Ketiga: Syabas kepada Datuk Yusof Haslam
Sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih.
Keempat: Kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qadha’ dan qadar.
Ingatlah firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”
Surah al-Baqarah (216)
Ibn Kathir berkata:
Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya. Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita.
Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)
Ini bersyaratkan dengan redha dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:
سَوَابِقُ الهِمَمِ لَا تَخْرِقُ أَسْوَارَ الأَقْدَارِ
Maksudnya: “Segala cita-cita terdahulu itu tidak boleh mencarikkan segala kota takdir.”
Ia membawa maksud bahawa sesuatu yang ditentukan Allah SWT sejak azali tidak boleh diubah dengan apa-apa jua pun termasuk kekuatan azam hati. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/22)
Antara tindakan kita, lihatlah ke hadapan dengan penuh optimis dan keyakinan yang tinggi. Jarakkan diri dari bersifat pesimis. Justeru, kitalah yang akan mewarnai kehidupan kita untuk menuju kebahagiaan.
Kelima: Sikap kita semua
Kita akan menuju untuk menemui Tuhan. Ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian.
Allah SWT berfirman:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk: 2)
Untuk menghasilkan ‘أَحْسَنُ عَمَلًا’ (yang lebih baik amalnya), maka sudah tentu dengan mengutip pengajaran dan pengalaman terdahulu bagi memaknai kehidupan kita di dunia. Kehidupan yang berorientasikan akhirat.
Bak kata Hamka, “Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Justeru, binalah tekad untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.
Keenam: Kehidupan yang baru hendaklah diteruskan.
Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan:
Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang.
Baca Di Sini:
‘Semoga Terus Kuat & Tabah.’ Puteri Sarah Tidak Rela Bermadu, Minta Syamsul Yusof Lepaskannya
Kashoorga : Semoga apa yang berlaku kepada pasangan selebriti ini menjadi iktibar buat kita semua.
Sumber : maktabahalbakri.com
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ditinggal Suami Kerana Fizikal Tubuh, Wanita Redha Takdir Hidupnya
Perkahwinan merupakan sebahagian sunnah Rasulullah.
Dalam perkahwinan, baik isteri mahu pun suami, masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk meneraju alam rumahtangga agar bersama-sama dapat menuju sakinah mawaddah dan juga warahmah.
Di sebalik satu ikatan suci, baik isteri mahu pun suami, masing-masing memikul satu tanggungjawab besar di mana rasa tanggungjawab itu lebih besar pada suami. Sesuai dengan firman Allah ﷻ :
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ
Maksudnya : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan…”
Namun bukan semua lelaki “layak bergelar pemimpin agung” kerana masih menurut hawa nafsu. Maka apabila kurang bersedia, maka perceraian adalah pilihan. Sekali pun halal, tapi perceraian perkara paling dibenci Allah taala.
Sabda baginda Nabi: Perkara halal yang dibenci Allah adalah talak. – [HR Abu Daud 2178].
Dalam satu perkongsian Tik Tok atas nama @Bunga Syu 7, wanita memiliki tiga orang anak ini berkongsi kisah sedihnya. Dirinya diceraikan suami dan dihina fizikalnya sebagai hodoh dan gemuk. Suaminya mencari wanita lain dan dirinya dan anak2 diabaikan.
Kongsinya, perceraian ini sesuatu yang amat memeritkan. Malah dirinya berdoa agar hatinya ikhlas melepaskan suami yang mengkhianati dirinya. Malah anak-anak yang masih kecil juga akan dipelihara sebaiknya dengan penuh kasih sayang.
Jujurnya, ditinggalkan itu amat perit kerana kasih sayang bukan mampu dibentuk dengan wang ringgit sebaliknya datang dari hati yang ikhlas menyintai pasangan tidak kira apa kekurangannya kerana tugas suami isteri adalah saling melengkapi.
Dan bagi wanita yang mendirikan kebahagiaan atas keperitan orang lain juga bukanlah wanita yang benar-benar baik kerana kalau kita benar-benar baik, kita tak akan menerima hak orang lain dengan semudahnya.
Walau perceraian bukanlah satu pengakhiran sebaliknya ia merupakan satu permulaan untuk individu memulakan kehidupan yang baru tanpa perlu bertahan dengan kesakitan yang sama tetapi peritnya mengambil masa untuk beredar.
Moga wanita ini kuat kerana Allah itu Maha Adil lagi Bijaksana.
Jangan takut untuk kenal imam anda. Jom sertai kami dalam Webinar Jodoh di mana anda akan diajar mengenal imam solat anda.
WEBINAR JODOH 💖: SUAMI KIRIMAN ILAHI
✨Jom Sis semua yang masih single terutamanya sejenis yang pemalu! Kita belajar ilmu menjemput jodoh💘
Dengan ilmu menjemput jodoh, Sis akan..
✅ Tak tertanya-tanya lagi “Dimana atau ada ke bakal imamku❓❓” 🤷🏽♀
✅ Jelas ✨ dan yakin 💪🏻 dengan langkah-langkah mudah ikhtiar mencari jodoh 💘 (Tip: Islam itu Mudah dan Indah)
✅ Akan dijauhi heartbreak 💔 dan lelaki yang tak serius 👻
Yang sudah berstatus ‘Dimiliki’, ambillah manfaat ilmu ini untuk memudahkan dan percepatkan lagi jodoh Sis 💞
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-jodoh-suami-kiriman-ilahi/
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tiada Fadhilat Khusus Puasa Sunat Sempena Israk Mikraj & Ini Kelebihan Amalkan Puasa Sunat Lain
Soalan
Saya nak tahu apa hukum dan fadilat puasa sunat 27 Rejab sempena Isra’ Mi’raj?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya.
Sebarang bentuk, puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut. Kami kemukakan di sini dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/114-117) berkenaan dengan puasa sunat yang terdapat dalam Islam.
Antara jenis puasa sunat ialah:
- Puasa pada Hari Arafah
Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji.
Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Qatadah RA katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
Riwayat Muslim (1162)
Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.”
Riwayat Muslim (1338)
Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.
- Puasa pada Hari Asyura’ dan Tasu’aa’
Asyura’ adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (1900) dan Muslim (1130)
Hadith yang lain pula, daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura’. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.”
Riwayat Muslim (1162)
Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.”
Riwayat Muslim (1134)
Namun, Rasulullah SAW telah wafat sebelum tiba masa tersebut.
Hikmah berpuasa hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’ adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyamai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari kesepuluh bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’, dia sunat berpuasa pada hari yang kesebelas bulan tersebut.
- Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ الرَّسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.”
Riwayat al-Tirmizi (745)
Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.”
Riwayat al-Tirmizi (747)
- Puasa Selama Tiga Hari pada Setiap Bulan
Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”
Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721)
Hadith seterusnya, daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.”
Riwayat Muslim (1162)
Hadith yang lain pula, daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.”
Riwayat al-Tirmizi (761)
Begitu juga hadith, daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”
Riwayat Abu Daud (2449)
Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.
- Puasa Selama Enam Hari pada Bulan Syawal
Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”
Riwayat Muslim (1164)
Berdasarkan kitab ini, dan juga dalil-dalil yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita bahawa puasa 27 Rejab tidak dianggap termasuk dalam puasa-puasa sunat yang dituntut kecuali ia berlaku pada hari Isnin atau hari Khamis. begitu juga sebagaimana yang kami bahaskan bahawa penentuan Isra’ Mi’raj pada 27 Rejab juga menjadi khilaf di kalangan ulama’ tarikh.
Marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan inilah yang diajar oleh Islam kepada kita. Semoga kita sentiasa mendapat taufiq dan hidayah daripada-Nya.
SUMBER: LAMAN WEB MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI