Sekiranya ada orang mengalami koma selama berbulan-bulan. Apabila sedar, adakah dia perlu qada semula solatnya?
Jawapan:
Istilah koma membawa maksud keadaan tidak sedarkan diri untuk beberapa lama (biasanya akibat kemalangan atau sesuatu penyakit). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Berdasarkan isu itu, kami mulakan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Orang yang koma dalam tempoh lama tidak perlu qada solatnya kerana dalam tempoh itu, akalnya dikira tiada.
Ini kerana salah satu daripada perkara yang mewajibkan solat adalah berakal. Maka, tidak wajib solat bagi orang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka sudah hilang.
Ads
Ini dinyatakan di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” (Riwayat al-Tirmizi – 1423 dan Ahmad 956)
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, ungkapan ‘al-Ma’tuh’ membawa maksud gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570)
Ulama mengqiyaskan bagi setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang gila sama ada dalam tempoh masa sekejap atau lama.
Jika dia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir), maka wajib baginya solat. Bagaimanapun, dia tidak wajib qada solat dalam tempoh berkenaan (hilang akal).
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’: “Sesiapa yang hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (syarak) seperti menjadi gila, koma, pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan apabila dia tersedar, tidak diwajibkan qada solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafi’ie).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/6)
Ads
Secara umumnya, kami nukilkan pelbagai pandangan fuqaha dan mazhab bagi memberikan lebih pencerahan dan kefahaman.
Ulama khilaf dalam beberapa pendapat:
• Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat, tidak perlu qada kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
• Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qada.
Ads
• Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qada jika tidak melebihi enam waktu solat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/110)
Sekiranya keadaan itu bukan dalam tempoh panjang, maka dia perlu qada. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan yang bermaksud: Bahawa ‘Ammar pernah pengsan selama tiga malam. Apabila terjaga, beliau bertanya: Adakah aku sudah solat?
Mereka menjawab: “Kamu tidak solat sejak tiga malam.” Kemudian beliau berwuduk dan sembahyang qada tiga malam tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf – 2/268)
Daripada Imran bin Husain dan Samurah bin Jundub R.Anhuma juga diriwayatkan seumpamanya. Tiada sebarang khilaf, maka ia seolah-olah ijmak. (Lihat al-Mughni, 1/240 dan al-Majmu’, 3/8)
Setelah meneliti hujahan dan pendapat ulama dan fuqaha, kami lebih cenderung kepada qada solat jika sekiranya tempoh pengsan pendek seperti kurang tiga hari dan tidak perlu qada jika tempoh koma atau pengsan dalam tempoh lama, yang lebih dari tiga hari. Itulah amalan sahabat Rasulullah SAW.
SUMBER: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Via Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Dapat markah 98 peratus.’ Hafizah 30 juzuk Al-Quran raih markah acca kedua tertinggi dunia. Masyallah hebat sungguh!
Paling mengujakan apabila gadis ini bukanlah berasal daripada ‘budak akaun’ ketika SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tapi berkat kesungguhannya, dia mampu berjaya.
Seorang penghafaz al-Quran atau ‘hafizah’ ini telah meraih pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac lepas.
Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan memperoleh markah 98 peratus, sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia.
Hafizah 30 Juzuk Al-Quran
Menurut Safwa, dia tidak mempunyai asas pengajian perakaunan kerana mengambil aliran sains tulen dan hafazan (agama) ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut.
“Saya memperoleh keputusan 12 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di tingkatan dua iaitu selepas dua tahun menghafaz al-Quran.
“Ketika mahu menyambung pelajaran ke UiTM, ibu bapa saya mencadangkan supaya saya pilih jurusan perakaunan kerana sesuai dengan kebolehan saya, selain memang minat matematik,” katanya.
“Empat adik-beradik saya lulusan perubatan dan kejuruteraan, jadi biar ada seorang dalam bidang perakaunan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur, Besut, Terengganu.
Raih Markah ACCA Kedua Tertinggi Dunia
Jelas pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu, sedari awal dirinya bertekad memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA, walaupun baru enam bulan belajar tentang perakaunan.
“Ketika mula belajar akaun, saya sedikit buntu tapi saya atasinya dengan kerap membuat latihan dan ulang kaji hingga akhirnya timbul minat terhadap bidang itu,” katanya.
Safwa, yang merupakan anak kepada pasangan guru, Zamri Mohd Amin, 56, dan Rashidah Ab Rahman, 57, cemerlang sejak sekolah rendah lagi (Sekolah Kebangsaan Tembila) apabila sentiasa memperoleh tempat pertama di dalam kelas.
“Apabila hendak sesuatu benda (pelajaran), dia akan berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulangkaji pelajaran bagi memastikan beliau dapat menguasai sesuatu subjek,” kata Zamri.
‘Insyallah ada rezekinya nanti, ikhtiar lagi.’ Permaisuri Agong usap perut dan doakan Siti Elizad dapat zuriat. Masyaallah sikap Raja Pemaisuri Agong ini amat menyentuh hati, apatah lagi pada Siti Elizad.
Hanya mereka yang melaluinya yang memahami betapa peritnya menanti kehadiran zuriat apalagi setelah pelbagai cara telah dilakukan, namun Allah masih makbulkan.
Insyallah Ada Rezekinya Nanti
Keprihatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengusap perut pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad di samping mendoakan kehamilan buatnya berjaya menyentuh hati ramai.
Memetik laporan Kosmo, gelagat spontan Baginda Tuanku dikongsikan Siti Elizad menerusi hantaran di Instagramnya semalam.
Menurut Siti Elizad, dia menzahirkan rasa terharu apabila Raja Permaisuri Agong sudi mendoakannya agar diberi rezeki menimang cahaya mata selepas hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga.
“Saya baru balik dari haji ni (sambil usap perut kita). Insya-Allah ada rezekinya nanti, ikhtiar lagi,” kata Elizad yang menulis semula kata-kata yang diungkap Baginda Tuanku.
Permaisuri Agong Usap Perut
Menerusi ruangan kapsyen hantaran yang dimuat naik Siti Elizad, dia berasa tersentuh dan berterima kasih di atas doa yang dititipkan Raja Permaisuri Agong buat rakyat biasa sepertinya.
“Saya, sangat terharu, gembira, teruja semua ada. Terima kasih Raja Permaisuri Agong atas keprihatinan dan doa indah daripada Tuanku yang tak henti-henti dari dulu lagi,” luahnya.
Doakan Siti Elizad Dapat Zuriat
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat penyampai radio tersebut turut mendoakan kebahagian dan rezeki anak buat dirinya selain menitipkan kata-kata positif agar Siti Elizad kekal bersemangat.
namahambatempatbara
Semoga @elizadsharifuddin dan saya juga dikurniakan cahaya mata. Saya sudah 15 tahun menanti, semoga ada rezeki kita. Insyallah. Amiin Ya Mujib.
zubaidah_mat_amin
Insyallah amin.. Saya dulu setiba di KLIA balik dari haji, sahabat saya sambut saya. Saya buat macam ini sambil berdoa usap perut dia, minta Allah kurniakan dia rezeki zuriat. Masyallah doa dimakbulkan Allah, anak dia lagi ramai dari saya sekarang @lynda_ghani87
yusufmikael.amyrulasyhraf
Abang saya 8 tahun belum ada anak. Minggu ini dia beritahu wife dia sudah mengandung 6 bulan! Kami satu keluarga happy sangat!
chaqnora
Usaha, tawakal dan doa, insyallah ada… My friend 20 tahun married, tak penah pregnant apatah lagi gugur. Tahun lepas Allah kurniakan seorang anak buat dia dan suami. Semua itu rahsia Allah.
Kashoorga: Semoga Siti Elizad dan suaminya dikurniakan zuriat. Amin.
Eja tak halang anak berlakon, tapi belajar dulu. ‘Sebagai ibu saya nak dia berjaya dunia, akhirat.’ Begitulah harapan seorang ibu. Apatah lagi dialah satu-satunya anak Eja.
Sudah tentu tinggi harapan seorang ibu pada anak tunggalnya. Dialah intan, dialah juga permata. Luah Eja yang kini lebih banyak memberi tumpuan kepada keluarga berbanding dunia lakonan.
Memetik laporan Kosmo, dirinya bukan merajuk, sebaliknya aktres ini berlapang dada dengan peluang terbuka kepada bakat-bakat baharu yang mewarnai dunia hiburan tanah air sepanjang tempoh rehatnya selama ini.
Eja atau nama sebenarnya, Siti Shahrizah Saifuddin sedar populariti dan kemasyhuran bukan bersifat selama-lamanya dan akan sampai waktu, dia perlu meletakkan noktah daripada terus berlakon.
Tapi Belajar Dulu
“Masih lagi ada tawaran berlakon filem dan drama tetapi keutamaan saya sekarang adalah keluarga terutama anak, Nur Eishal.
“Berilah peluang kepada orang-orang baharu. Kita dah tua. Berilah ruang kepada generasi sekarang mewarnai dunia hiburan kita dengan idea-idea yang lebih baik.
“Kita ni dah nak reput (ketawa). Anak saya sekarang pun dah 13 tahun. Anak saya ada bakat lakonan tapi dia sendiri tak berminat nak ceburkan diri (dalam bidang lakonan),” katanya.
Sebagai Ibu Saya Nak
Seperti mana ibu-ibu lain, Eja juga memilih untuk meletakkan soal pendidikan sebagai perkara utama yang akan diberikan kepada satu-satunya anaknya itu.
“Kita tahu tahu qada dan qadar seseorang. Saya tak nak kata tidak (untuk anak berkecimpung dalam dunia lakonan).
“Tapi, keutamaan saya untuk lepaskan Eishal belajar setinggi yang mungkin. Belajar dahulu dan selepas itu nanti, mana jalan yang Allah kurniakan, dia pilih sendiri dan saya beri restu.
“Umur sekarang, anak dah tahu apa dia nak jadi. Tetapi saya perlu, kita hanya perlu merancang, Allah menentukan. Sebagai ibu, saya nak dia berjaya dunia akhirat sebab dialah satu-satunya anak saya,” ujarnya kini seronok berniaga produk sambal, eishals_by_eja.
Dia Berjaya Dunia, Akhirat
Terdahulu, sekitar 2017, Eja mendedahkan sudah 10 tahun bergelar isteri kepada tokoh korporat, Mohd. Silahuddin Jamaluddin.
Sejak itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) itu mengambil pendekatan memperlahankan karier selepas melahirkan anak tunggalnya, Nur Eishal.