Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi yang amat penting dalam melahirkan generasi-generasi yang hebat. Bahkan jika kita melihat kepada fiqh Islami, kita akan dapati bahawa para fuqaha’ amat mementingkannya sehinggakan dalam kebanyakan kitab fiqh dan hadith pasti akan adanya satu kitab yang dinamakan al-Nikah yang mana membicarakan segala perkara yang berkaitan dengan nikah dan perceraian. Ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah dan cerai ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah bagi umat Islam.

Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, awal-awal lagi Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan yang bakal dilayarkan dapat belayar dengan aman. Sekiranya badai melanda di tengah-tengah pelayaran, nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut betul pada laluannya kembali.

Pasangan Yang Ingin berkahwin, Sudah Berkahwin Mahupun Yang Sedang Di Ambang Konflik, Cerai Walaupun Halal Kalau Boleh Elaklah

Namun, jika segala usaha telah dilakukan untuk mempertahankan institusi kekeluargaan itu namun hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya.

Allah SWT berfirman:

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Al-Baqarah: 229)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk perceraian. Mereka sesuka hati boleh menceraikan isteri mereka dan sesuka hati rujuk kepada mereka meskipun sudah seratus kali bercerai. Ianya seolah-olah tiada berkesudahan. Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya.

Ayat di atas merupakan antara dalil pensyariatan talak bagi pasangan yang berkahwin namun tidak dapat mencari jalan keluar dalam menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. Sepertinya hati telah bercerai namun mulut belum melafaakannya lagi, maka cara terakhirnya adalah dengan bercerai.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN 

Dalam melayari bahtera kehidupan, ianya amat memerlukan kepada ilmu, akhlak, sifat toleransi, memahami tanggungjawab antara suami isteri, menunaikan hak masing-masing dan yang paling penting dalam semua itu adalah sifat toleransi sesama pasangan.

Ads

Pasangan Yang Ingin berkahwin, Sudah Berkahwin Mahupun Yang Sedang Di Ambang Konflik, Cerai Walaupun Halal Kalau Boleh Elaklah

Ingatlah firman Allah SWT dalam menceritakan tentang tujuan dijadikan manusia itu berpasangan:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Al-Ruum: 21)

Saya sarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin, sudah berkahwin mahupun yang sedang berada di ambang konflik untuk menginsafi diri dan juga melihat hakikat kehidupan berkeluarga itu yang mana amat memerlukan kepada ilmu dan juga toleransi.

Antara perkara yang boleh dilakukan:

1.Pasangan perlulah bermuhasabah diri dengan merenung kembali kesilapan diri dan berusaha untuk memperbaikinya.

Ads

2.Selesaikanlah isu-isu kecil dengan beralah.

3.Jangan diungkit dan memperbesarkan isu-isu yang remeh.

4.Selesaikan isu-isu yang besar dengan duduk berbincang untuk mencari titik persefahaman.

5.Mewujudkan masa bersama untuk merapatkan lagi hubungan.

6.Teruskan belajar dan bawa bersama pasangan untuk menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah bersifat mingguan.

7.Bawa anak dan isteri ke masjid untuk sama-sama bertawajuh.

Ads

8.Elakkan menggunakan bahasa yang keras.

9.Elakkan dari mempamerkan kemarahan di kawasan terbuka.

10.Ringankan mulut untuk mengucapkan maaf dan sentiasalah menerima kemaafan dari pasangan dalam perkara-perkara yang kecil.

11.Bangunlah pada waktu malam bersama pasangan untuk qiyammullail.

Semoga dengan saranan-saranan berikut dapat memberikan faedah dan manfaat buat kita bersama dan saya akhiri perbincangan kita pada kali ini dengan sebuah doa yang cukup indah yang mana Al-Quran telah mengajarkannya kepada kita dan sepatutnya selalu diamalkan ketika berdoa:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.(Al-Furqaan: 74)

Sumber kredit: Mufti Wilayah S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

VIDEO KASHOORGA:

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI