Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.
Ini adalah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh. Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.
Dalil Sujud Syukur
Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA:
أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.
Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.
Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah berada dalam kawanan Khawarij. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.
Kaifiyat Sujud Syukur
Di dalam kitab fiqh Syafi’e dan juga Hanbali menyebutkan bahawa sifat serta kaifiyat sujud syukur itu adalah seperti mana sujud tilawah di luar solat. Oleh itu, bagi yang ingin melakukan sujud syukur mestilah dalam keadaan berwudhu’, menutup aurat, bersih dari sebarang najis bagi tubuh badan, pakaian serta tempat sujud dan perlulah menghadap kiblat.
Secara praktikalnya bagi yang ingin melakukan sujud syukur adalah seperti berikut:
- Perlulah berniat terlebih dahulu untuk melakukan sujud syukur.
- Kemudian bertakbir sepertimana takbiratul ihram dengan mengangkat tangan kerana diqiyaskan dengan solat.
- Kemudian bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan yang mana takbir pada kali ini adalah untuk turun sujud.
- Kemudian sujud sekali sepertimana sujudnya di dalam solat. Adapun bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan kemudiannya boleh ditambahkan dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
- Kemudian bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) dan memberi salam. Tidak disyaratkan untuk membaca tasyahhud dan tidak juga disunatkan untuk membacanya.
Sujud Syukur Tanpa Wuduk Dan Tidak Menghadap Kiblat
Selain dari kaifiyat yang ditunjukkan pada perbahasan sebelum ini, terdapat juga perbahasan para ulamak mengenai sujud syukur tanpa wudhu’ serta tidak pula menghadap kiblat. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf serta sebahagian al-Malikiyyah. Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syaukani dan al-San’ani.
Bagi yang berpendapat sedemikian, berikut adalah alasan serta justifikasi bagi menyokong pendapat mereka:
- Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wuduk perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
- Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’. Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
- Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wuduk, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwuduk, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.
Kesimpulan
Sujud syukur boleh dilakukan tanpa adanya wuduk dan juga menghadap kiblat. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya untuk berwuduk dan menghadap kiblat.
Boleh sahaja bagi mereka yang menerima khabar gembira seperti mendapat anak, lulus peperiksaan, naik pangkat untuk terus sujud menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Begitu juga seseorang yang terselamat dari kecelakaan jalan raya, sembuh dari penyakit, boleh terus sujud menzahirkan rasa syukur serta lega dari kemudaratan yang tidak menimpa ke atasnya.
Jika ingin beramal dengan pendapat yang mengatakan perlunya wuduk serta menghadap kiblat juga tiada masalah kerana isu ini terdedah kepada perbahasan ilmiah yang boleh diperbahaskan lagi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Solat Tahajud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah tidur pada malam hari. Solat ini lebih afdal dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan.
Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka. Ini kerana ada banyak kelebihan solat tahajud.
Ia boleh menjadi mencegah kita sebagai manusia melakukan lebih banyak dosa serta mencegah penyakit. Solat tahajud juga adalah usaha kita masuk syurga tanpa hisab.
Rasulullah SAW bersabda:
Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit
— Riwayat Tirmizi dan Ahmad R.A
Rasulullah SAW bersabda:
Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia
— Riwayat al-Baihaqi daripada Asma binti Yazid
Ambil peluang solat tahajud
Dalam pada itu Dr. Zaharuddin Abd Rahman turut berkongsi tentang keajaiban solat Tahajud yang mampu mendekatkan diri kita kepada pencipta.
Subuh masuk lewat ketika ini (6.15 untuk Kuala Lumpur) nescaya jika kita terbangun dari tidur pada jam 5:50 pagi hatta jam 6 am sekalipun, kita masih berpeluang mendirikan solat tahajud dua rakaat dan ditutup dengan 3 atau 1 rakaat solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur – tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam)
Waktu solat Tahajud bermula selepas Isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama berdasar athar sahabat nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.
Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis:
إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر
Ertinya: Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)
Niatkan solat untuk hampirkan diri kepada Allah SWT
Justeru, ambillah peluang mendirikan solat Tahajud yang ditutup dengan witir sebagai mujahadah diri dan jiwa. Allah SWT menjanjikan kemulian kedudukan (di akhirat) bagi mereka yang melaziminya.
Jangan niat solat Tahajud untuk kononnya muka bercahayalah, putih, untuk kaya dan lain-lain sebab dunia, jadikan ia khas untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT & redaan-Nya. Insha Allah.
Jangan juga pandang rendah jika hanya mampu laksana dua rakaat Tahajud sahaja, asalkan konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah SWT berbanding yang banyak tetapi terputus.
Solat Tahajud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub jauh lebih mulia dari berbelas rakaat tetapi ujub, bongkak dan memandang rendah ibadah orang lain.
Tip memudahkan bangun solat malam:
*Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajud.
*Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
*Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
*Membaca ayat-ayat al-Quran.
Sumber kredit: Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Andai kakimu tidak pernah membawamu kepada solat, bagaimana mungkin kau harapkan kaki yang sama akan membawamu ke Syurga?”
Apa lagi nikmat yang mahu didustakan? Lengkap anggota fizikal namun masih lagi enggan solat. Nikmat yang diterima terus-terusan tidak digunakan untuk mengingati Allah. Langsung tiada sekelumit perasaan untuk ‘berterima kasih’ kepada Allah ke atas nikmat yang telah diberikan.
KAGUM, SEDIH, HIBA.
Allahuakbar…
Kekurangannya tidak membuatnya surut dalam beribadah menunaikan kewajipan solat 5 waktu.
KAGUM – dia kurang upaya, namun jiwanya bersungguh mencari cinta Tuhannya.
SEDIH – Kita yang kelihatan lebih sempurna dari segi fizikal namun tidak setabah dia dalam mengejar rahmat Allah.
HIBA – Mungkin berkat doa insan-insan seperti dia, kita semua umat islam masih mampu menunaikan solat dan ibadah kepada Allah.
https://www.facebook.com/Ilhamsyah.Irfan/videos/10217186667039356/
Perancangan Allah menginginkan kita mengambil hikmah. Tiada yang sia-sia dalam kehidupan ini dan tiada yang sia-sia dalam tadbir yang Maha Esa.
Hidupkanlah hati kami ya Allah, supaya apa yang berlaku disekeliling kami walaupun sekecil-kecil perkara memperjelaskan lagi kebesaranMu di mata kami.
Kagum dengan semangat insan istimewa ini.
Iman pada TuhanNya telah menguatkan dirinya yang lemah pada pandangan insan.
Moga ianya boleh dijadikan teladan kepada pembaca semua. Aamiin..
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sujud sahwi dibuat kerana terlupa rakaat sembahyang. Maksud sahwi dari segi bahasa ialah lupa atau lalai akan sesuatu. Manakala yang dimaksudkan dengan sahwi di sini ialah kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa.
Oleh itu sujud ini yang dilakukan di penghujung solat akan menjadi penutup kepada kecacatan tersebut. Ia dilakukan dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. Tempatnya ialah pada akhir solat sebelum salam.
Hukum sujud sahwi adalah sunat. Jika terlupa melakukan sujud sahwi, hukumnya adalah dimaafkan. Ini juga kerana hukum asalnya adalah sunat. Hal ini sepertimana disebut dalam firman Allah SWT:
عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ
Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.” (Surah al-Maidah: 95)
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI