Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang amat dijaga hal ehwalnya oleh syarak. Setiap pasangan suami dan isteri masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam mengemudi rumahtangga untuk melahirkan keluarga yang soleh dan mendapat redha Allah SWT.
Namun untuk mencapai redha Allah ini, ada pesanan buat suami daripada ustaz Kazim Elias berkenaan enam dosa yang perlu dielakkan suami sebagai pemimpin rumah tangga selama menggalas amanah sebagai ketua keluarga.
1. Tidak mengajar agama dan hukum syariat kepada Isteri
Cabaran utama setelah berkahwin adalah membentuk dan menjadikan isteri yang benar-benar solehah. Isteri adalah satu ujian besar bagi seorang suami mencari dan membentuk pasangan menjadi seorang isteri yang mempunyai sifat yang terpuji dan kriteria pegangan agama yang kuat.
Sebab itu Islam sarankan agar mencari pasangan hidup berdasarkan agamanya. Bayangkan betapa bahayanya jika ada di antara isteri masih tidak tahu bagaimana untuk menunaikan solat dengan betul, hukum haid dan nifas, melayani suami dan mendidik anak mengikuti Islam. Semoga bertabah untuk membawa isteri ke jalan yang benar.
2. Mencari-cari kekurangan dan kesalahan isteri
Kita mengahwni seseorang itu sepatutnya sudah bersedia menerima ketidaksempurnaannya. Kita pun tak sempurna mana. Andai seorang suami terus mencari kekurangan dan kelemahan isteri, dikhuatiri akan menimbulkan perasaan kurang senang pada isterinya.
Dan barang siapa mencari aib saudaranya sendiri, Allah juga akan mencari aibnya. Maka, hendaklah seorang suami itu bersabar dan menahan diri dari mencari kekurangan yang ada pada isterinya.
3. Menghukum secara tidak adil
Ini merupakan satu bentuk kezaliman terhadap isteri. Di antara bentuk hukuman yang zalim itu adalah:
i) Terus bertindak dengan memukul di tahap awal pemberian hukuman. Padahal Allah SWT telah berfirman,
“Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka.”(an Nisa’:34)
ii) Mengusir isteri dari rumah tanpa ada sebab secara syar’i. Allah SWT berfirman yang ertinya:
“Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) keluar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang .” (at- Thalaq:1)
iii) Memukul wajah, mencela dan menghina. Ada seseorang yang datang bertanya kepada Rasulullah, apakah hak isteri ke atas suaminya? Baginda menjawab,
“Dia (suami) memberinya makan jika dia makan, memberinya pakaian jika dia berpakaian, tidak memukul wajah, tidak memburuk-burukkan dan tidak memboikot kecuali di dalam rumah.” (Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh Al Albani)
4. Kedekut memberi nafkah
Sesungguhnya kewajiban suami adalah memberi nafkah kepada isteri, sepertimana yang ditetapkan di dalam al-Quran. Isteri berhak mendapat nafkah, kerana dia telah menjadi halal untuk disenangi, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengatur rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya.
5. Suami yang bersikap keras dan kasar
Rasulullah SAW bersabda:
“Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.” (Riwayat Tirmidzi, disahihkan al Albani)
Maka hendaknya seorang suami itu berakhlak baik terhadap isterinya, dengan bersikap lembut dan menjauhi sikap kasar. Di antara bentuk sikap lembut seorang suami itu adalah, bergurau senda, menyuapkannya makan dan memanggilnya dengan panggilan yang mesra.
6. Suami yang berpoligami mengikut nafsu
Memang benar, menikah untuk kali kedua, ketiga dan keempat merupakan satu perkara yang disyariatkan. Akan tetapi ramai di kalangan lelaki yang mengamalkan poligami tidak memenuhi kewajipan-kewajiban terhadap isteri dengan benar. Terutamanya isteri yang pertama dan anak-anaknya.
Padahal Allah SWT telah berfirman,
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja.” (An Nisa: 3)
Suami boleh bernikah lagi tetapi sekiranya dia tidak mampu untuk berlaku adil dan tidak boleh memikul tanggungjawab, lebih baik melupakan niat untuk menikah lagi demi kebahagiaan bersama.
Sumber artikel: Rumahtangga Bahagia Selamanya
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI