Sebenarnya amalan perbomohan memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada tahun-tahun sebelum datangnya peradaban serta pendidikan barat khususnya Inggeris, peranan atau fungsi bomoh begitu menonjol sekali di kalangan masyarakat Melayu.

Dalam perkataan lain, peranannya di sini tidaklah terhad pada bidang mengubati dan menyembuhkan penyakit sahaja, bomoh juga terlibat dalam kegiatan harian masyarakat Melayu. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah mendirikan rumah baru, upacara perkahwinan, berpindah rumah, meneroka hutan, memilih jodoh, hal-hal mengenai kelahiran bayi, bersunat, mengubati penyakit dan lain-lain lagi.

Dan sehingga ke hari ini juga amalan ini masih lagi diteruskan oleh masyarakat Melayu khususnya umat Islam. Menariknya lagi, kini mungkin nama bomoh itu tidak digunakan lagi tetapi telah ditukar dengan gelaran-gelaran yang lain termasuklah ada di antara mereka yang mengaku sebagai Ustaz. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Mengapakah masyarakat kita lebih-lebih lagi yang beragama Islam sanggup mengambil keputusan untuk berjumpa dengan bomoh bagi mengubati penyakitnya? Dan adakah menggunakan jin Islam itu dibenarkan?.

Menurut Ustaz Mohd Fickri Che Hussain menggunakan jin dalam perubatan merupakan sesuatu perkara yang tidak dianjurkan sama ada jin itu Islam atau pun tidak kerana kelemahan manusia untuk mengenalinya. Biasanya hubungan dengan jin boleh berlaku melalui beberapa amalan khurafat oleh golongan yang ingin bersahabat dengan jin. Antara amalan tersebut seperti menjamu pulut semangat, tepung tawar, puja pantai dan puja semangat padi. Satu lagi unsur penting yang terlibat dalam proses ini adalah pemujaan termasuk menyembelih binatang dengan bacaan mantera tertentu.

Maka perbuatan sebegini akan membawa kepada dosa syirik. Jin sebenarnya takut kepada manusia. Ini berdasarkan daripada beberapa keterangan Al-Quran berhubung dengan tunduknya jin kepada manusia.

“Dan Kami telah tundukkan (kepada Sulaiman) segolongan syaitan-syaitan yang menyelam (ke dasar laut) untuk mengerjakan perintahnya; dan adalah Kami memelihara (mengawal) mereka itu.” (Al-Anbiya’: 82).

“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia dan burung, lalu mereka itu berbaris dengan tertib.” (An-Naml: 7).

“Dan sebahagian daripada jin ada yang bekerja di bawah kekuasaan (Sulaiman) dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa yang menyimpang di antara mereka daripada perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Jin-jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur.” (Saba: 12-13).

Membela atau bersahabat dengan jin untuk mendapatkan sesuatu daripadanya adalah salah dalam Islam. Apa yang berlaku pada zaman Nabi Sulaiman, baginda telah diperintahkan melalui wahyu Allah kepadanya di mana dengan menggunakan khidmat jin, beliau memindahkan istana Puteri Balqis.

Islam melarang bersahabat dengan jin walaupun untuk mendapat maklumat atau menggunakan khidmatnya untuk masyarakat atau untuk membantu kita mengatasi masalah perbuatan sihir dan sebagainya. Perkara ini boleh berlaku tetapi ia masih memerlukan kepada aspek pemujaan sebagai penghubung untuk memanggil jin-jin dan kaedah pemujaan beginilah yang dibimbangkan boleh membawa kepada syirik.

Ads

Apabila kita memuja jin, mereka akan menjadi lebih sombong dengan kesesatannya lebih-lebih lagi apabila sampai ke tahap jin disembah sebagai Tuhan kerana manusia mencari perlindungan daripada mereka. Firman Allah: “Bahawa ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu (yang diminta pertolongan daripadanya) hanya menambah dosa dan kesalahan (pada diri mereka).” (Surah Al-Jin: 6).

Bagaimana pula dengan bomoh yang bertopengkan gelaran ustaz. Apakah pandangan Ustaz?

Kegiatan bomoh, dukun, pawang, ahli nujum dan sesetengah bomoh jin yang mengubati pesakit melalui bantuan jin adalah sebahagian amalan yang menyesatkan hidup manusia sendiri. Ada golongan yang menggunakan gelaran ustaz tetapi masih menggunakan khidmat jin dan ini sebenarnya merosakkan akidah mereka.

Perbuatan bertemu dengan dukun itu juga adalah ditegah sebagaimana Nabi s.a.w bersabda: “Barang siapa mendatangi peramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari”. (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayan al-Mubin fi Akhbar al-Jinni wa al-Syayathin, “Jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta bantuan dan mereka akan segera datang. Jin dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih berkuasa daripada mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta perlindungan daripada mereka, ia ibarat seorang raja yang melutut di kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.”

Rawat Penyakit: BIAR BETUL Masyarakat Masih Percaya Kepada Bomoh

Mengapakah perlu dijauhi perubatan menggunakan jin?

Ads

Ada beberapa sebab yang mana di antaranya:

1. Jin akan mengelirukan manusia dengan bisikan kepada bomoh tersebut bahawa itu merupakan roh para wali yang datang berdampingan dengannya. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’. Sekiranya didapati pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’ atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik.

2. Timbulnya segala kemudaratan akibat meminta pertolongan jin antaranya ialah balasan neraka sebagaimana firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah.” (surah Al-An’am : 128)

3. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin sama ada daripada aspek rawatan atau pun dalam isu darurat seperti peperangan dan sebagainya.

4. Menguasai atau melihat jin merupakan mukjizat khusus untuk para Nabi dan manusia biasa mustahil boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya sebagai khadam suruhan. Firman Allah: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. [surah Al A’raf, 27] Kecuali jika ia menyerupai haiwan seperti anjing, ular hitam dan sebagainya seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi s.a.w.

5. Tipu muslihat jin sangat licik dalam usaha untuk menyesatkan manusia. Allah berfirman: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja daripada mereka yang bersyukur.” (surah Al A’raf, ayat 16-17)

Ads

6. Hanya orang yang jahil dalam urusan beragama yang ingin bersahabat dengan jin. Maka mereka tidak lagi peduli soal pahala dan dosa kerana mementingkan soal keduniaan semata-mata.

7. Perlu dijauhi dari bersahabat dengan jin agar diri tidak dikuasai olehnya secara sedar mahupun tidak kerana ia akan menjauhkan seseorang itu dari Allah Taala dan petunjuk-Nya.

8. Jin tidak rela melakukan kerja-kerja khadam kerana pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menyatakan khidmat jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman dalam keadaan terpaksa. Bila Nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan baru sahaja terlepas daripada perhambaan yang menghinakan. Jadi jika suruhan Nabi Sulaiman mereka buat dalam keadaan terpaksa, apatah lagi suruhan dari manusia biasa .

9. Bersahabat dengan jin boleh membawa kepada upacara ‘menurun’ dengan mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib daripada pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa. Firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (surah Al An’am : 112)

10. Bersahabat dengan jin akan memudahkan ia merasuk dalam diri seseorang itu dan kerasukan itu mampu membawanya jauh daripada rahmat Allah dan ia akan melakukan segala bentuk kesyirikan demi memuaskan kehendak jin tersebut seperti ‘menjamu’ pulut semangat, tepung tawar, memuja pantai dan sebagainya.

TIP JAUHI DIRI DARIPADA KESYIRIKAN

*Memurnikan tauhid dan beramal dengan akidah yang sahih
*Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap keadaan
*Menjaga solat dan amalan kebajikan yang lain
*Memperbanyakkan membaca al-Quran dan mentaddabur isi kandungannya
*Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
*Menjauhi maksiat dan meninggalkan perbuatan dosa
*Memperbanyakkan amalan-amalan kebajikan bagi mendekatkan diri kepada Allah

Berkata Ibn al-Qayyim: Kebanyakan manusia yang mudah dirasuk adalah disebabkan kurangnya amalan agama mereka. Kosongnya hati dan lidah mereka daripada hakikat zikir, berta’awwuz, membentengi diri dengan selawat dan sebagainya. Keadaan itu menjadikan jiwa kosong tanpa sebarang senjata yang dapat mempertahankannya dan ia berkemungkinan tanpa sebarang pakaian yang dapat melindunginya.

Kebanyakan jiwa manusia cepat diserang dengan rasukan ini yang mudah dapat menguasainya, memerangkap dan merasuk di mana sahaja yang diingininya. Sudah pasti jiwa yang kosong tadi tidak dapat menghalang dan melepaskan diri daripada rasukan tersebut dan jika ia kian kuat, pastinya mereka yang terkena rasukan tersebut tidak mampu sedar dan menjadi gila, maka itulah rasukan yang sebenar. Semoga Allah memberikan pertolonganNya.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI