Ramai mendirikan solat fardu tapi mungkin tidak ramai mendirikan solat sunat sebelum mengerjakan solat fardu berkenaan.
Jika belum terbiasa melakukannya, apa kata Ramadan ini cuba-cuba untuk melaksanakan solat sunat ini kerana fadilatnya amat besar. Lagi pun ia tidak mengambil masa yang panjang. Cuma beberapa minit sahaja sebelum kita menunaikan solat fardu.
Solat rawatib sebelum solat fardu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib setelah solat fardu pula dikenali sebagai solat ba’diyah.
Hikmah pensyariatannya ialah bagi menyempurnakan segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca. (Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/413-414)
Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan).
Ada pun tentang jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, telah tsabit hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:-
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. (Sahih Muslim (728).
Ada mengatakan 10 sahaja berdasarkan hadis sahih Al-Bukhari.
Melalui riwayat Ibnu ‘Umar R.A pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata:-
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.
Sahih al-Bukhari (1180
Paling afdal, buatlah 10 sahaja iaitu solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah:-
1. Dua rakaat sebelum Subuh
2. Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
3. Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
4. Dua rakaat selepas Maghrib
5. Dua rakaat selepas solat Isya’ (Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 284 dan Matla’ al-Badrain, 1/132)
SOLAT RAWATIB GHAIRU MU’AKKAD
Solat sunat rawatib yang tidak mu’akkad pula ialah:-
1. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
2. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
3. Empat rakaat sebelum Asar
4. Dua rakaat sebelum Maghrib
5. Dua rakaat sebelum Isya (Rujuk Al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 285 dan Matla’ al-Badrain, 1/132-133)
Niat solat sunat ini cukup mudah iaitu :-
أُصَلِّي سُنَّةَ (الصُبْحِ / الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلهِ تَعَالَى
Bacaan niat solat rawatib dalam rumi:-
Usolli sunnatal subhi/ Zuhri/ ‘Asri/ Maghribi/ Isha i rak’ataini qabliatan/ba’diatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat (subuh / zohor / asar / maghrib / isyak) dua rakaat (sebelum / selepas) kerana Allah taala.
Sebagai contoh waktu Zuhur:-
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal zuhri rak’ataini Qabliyatan lillahi taala
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat sebelum Zuhur dua rakaat kerana Allah Taala“
Ini pula dibaca selepas solat Zuhur.
Niatnya adalah:-
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnataz zuhri rak’ataini ba’diatan lillahi taala.
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala.
Boleh baca apa saja surah seperti surah lazim kerana tiada pengkhususan surah mengenainya. Insya Allah, moga Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dari tahun-tahun sebelumnya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI