Alhamdulillah. Selepas hampir dua tahun, berhujan, berpanas, bersidai & membangau. Dengan izin Allah, hasil menabung duit grab, dapat saya mengerjakan umrah di tanah suci Mekah Al Mukarramah.
“Saya doakan kawan-kawan di luar sana sentiasa dipermudahkan segala urusan. Tiada daya kita hamba yang lemah kecuali dengan pertolongan Allah, tulis Md Hazli Yusof yang berkongsi kisahnya berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah selepas membuat tabungan hasil kerja kerjanya menghantar makanan dengan penuh kegigihan pada 15-26 Februari lalu.
Dalam pada itu, memetik Harian Metro, Md Hazli, 47 menjelaskan dirinya tidak putus asa ‘menabung’ dengan hasil titik peluhnya sebagai penghantar barangan di sebuah syarikat e-hailing.
Bercerita lanjut, Md Hazli yang menetap di Sungai Besi, di sini, mengakui bersyukur dipilih menjadi tetamu Allah kerana sudah lama menantikan detik itu.
“Niat nak pergi ke sana (Tanah Suci) sudah lama ada, ketika menjadi pengusaha mesin layan diri lagi iaitu sebelum jadi penghantar barangan.
“Duit ada ketika itu malah kakak saya yang bekerja sebagai ejen pelancongan pernah ajak sebelum ini tetapi kesibukan dan rasa sayang untuk tinggalkan kerja menyebabkan hasrat ke Tanah Suci terbantut.
“Dua tahun lalu, saya mula bekerja sebagai penghantar barangan dan ada banyak masa terluang kerana waktu kerja fleksibel jadi mula bertekad merealisasikan impian mengerjakan umrah,” katanya.
Berkongsi pengalamannya mengerjakan umrah, Md Hazli berkata, dia menangis pada tiga hari pertama ketika berada di Tanah Suci.
Katanya, perasaan sebak itu hadir kerana dia tidak menyangka dirinya berkesempatan ke sana ketika masih ramai menantikan peluang sama.
“Jujurnya macam tak percaya dapat ke sana dengan hasil titik peluh bekerja dan wang simpanan yang ada.
“Ia bukti Allah pilih mereka yang menjadi tetamunya bukan kerana seseorang itu kaya atau berharta namun mengikut siapa Dia berkehendak.
“Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya tiba dan kepuasan dapat ke Tanah Suci,” katanya yang pergi mengerjakan umrah bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga.
Menceritakan kisah suka dukanya sebagai penghantar barangan selama hampir dua tahun, Md Hazli mengakui pekerjaannya itu tidak mudah seperti disangka dan menuntut banyak kesabaran.
“Saya pernah bekerja selama 13 tahun sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluaran barangan elektronik dan sepanjang tempoh itu saya banyak habiskan masa di pejabat berhawa dingin.
“Apabila jadi penghantar barangan, baru saya tahu betapa susahnya kerja ini walaupun segelintir orang nampak pekerjaan kami mudah sedangkan banyak cabaran antaranya berdepan ragam pelanggan dan paling tak dapat lupa adalah dikejar anjing liar.
“Disebabkan itu, saya kongsikan kisah saya dalam kumpulan penghantar barangan tempoh hari dengan niat beri galakan kepada anak muda yang ada impian seperti saya supaya berusaha lebih keras.
“Jika saya yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak boleh, apatah lagi mereka (penghantar barang) yang jauh lebih muda dengan syarat rajin berusaha,” katanya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI