Ramai isteri yang diduga dengan keadaan suami yang sakit terlantar, pada masa yang sama isteri harus bekerja mencari nafkah untuk menyara keluarga.
Dilemanya siapa yang perlu menjaga suami yang sakit ini? Jika isteri kekal di rumah menjaganya, bagaimana pula dengan perbelanjaan keluarga. Seseorang harus keluar bekerja untuk menanggung perbelanjaan keluarga. Bagi isteri yang berdepan masalah ini berikit adalah penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan.
Saya terpaksa bekerja menanggung 7 orang anak masih lagi kecil. Suami seorang yang tidak menunaikan tanggungjwab zahir dan batin terhadap isteri dan anak-anak semasa sihat dan berjaya. Malah suami juga menghilangkan diri tanpa melaksanakan tanggunjawab selama lebih setahun. Persoalannya, siapakah yang wajib menjaga suami ketika sakit saat isteri bekerja sedangkan suami masih mempunyai adik abang dan ibu atau pun perpisahan jalan penyelesaian?
Jawapan :
Para fuqaha bersepakat menyatakan tanggungjawab memberi nafkah kepada ahli keluarga merupakan kewajipan suami [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/277]. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah al-Talaq:7)
Ayat ini menjelaskan bahawa nafkah tidak mempunyai kadar tertentu dan nafkah wajib diberikan mengikut kadar kemampuan suami. Allah SWT tidak akan membebankan hambaNya melainkan setiap yang disyariatkan itu mempunyai hikmah yang besar.
Sementara itu, sekira suami tidak memberi nafkah yang sepatutnya kepada isteri, maka keharusan bagi seorang isteri mengambil duit sekadar perlu untuk keperluan dirinya dan anaknya yang merupakan hak mereka. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha. Satu hari Hindun Binti ‘Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah SAW untuk mengadu perihal suaminya. Kata beliau :
إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ ، لاَ يُعْطِينِي مِنَ النَّفَقَةِ مَا يَكْفِينِي وَيَكْفِي بَنِيَّ إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْ مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ ، فَهَلْ عَلَيَّ فِي ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٍ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ
Maksudnya :” Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?. Sabda Rasulullah SAW : ambil lah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.” (Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim(4574)
Seterusnya, suami yang fakir miskin perlu berusaha sedaya mungkin bagi memenuhi keperluan asas nafkah keluarga mengikut kemampuannya walau secupak makanan asasi setiap hari. Namun, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya isterinya seorang kaya raya untuk memberi zakat hartanya kepada suami. Hal tersebut kerana suaminya termasuk asnaf zakat dan bukan dibawah tanggungan isteri. Ini lebih utama mengagihkan zakat kepada keluarga kerabat bahkan mendapat dua ganjaran pahala.
Hal tersebut berdasarkan kisah Rasulullah SAW memerintah para wanita bersedekah walaupun daripada perhiasannya. Lalu Zainab ingin memberi sedekah kepada suaminya iaitu Abdullah bin Mas’ud yang miskin. Kemudian zainab bertanyakan kebenaran memberi zakat kepada suami melalui perantaraan Bilal, Maka Rasulullah menjawab sebagaimana hadis berikut:
فَدَخَلَ بِلالٌ علَى رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَسَأَلَهُ، فقالَ له رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: مَن هُما؟ فقالَ: امْرَأَةٌ مِنَ الأنْصارِ وزَيْنَبُ، فقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: أيُّ الزَّيانِبِ؟ قالَ: امْرَأَةُ عبدِ اللهِ، فقالَ له رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ : لهما أجْرانِ: أجْرُ القَرابَةِ، وأَجْرُ الصَّدَقَةِ
Maksudnya : Kemudian, Bilal masuk, lalu menanyakan kepada Rasulullah SAW, lantas Rasullullah berkata : Siapa mereka berdua itu ?, Bilal menjawab : Wanita dari Ansar dan Zainab, Rasulullah berkata : Zainab yang mana ?, Bilal menjawab : Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud, Sabda Baginda SAW “Ya, ia akan diberi dua pahala, pahala hubungan kaum kerabat dan pahala sedekah.” (Riwayat Bukhari (1466) Riwayat Muslim (1000)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami bahagikan kepada dua isu iaitu pengabaian nafkah oleh suami dan persoalan individu yang sepatutnya menjaga suami sakit saat isteri bekerja.
Merujuk isu pertama, suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin terhadap isteri dan anak-anak semasa tempoh sihat dan berjaya serta menghilangkan diri selama lebih setahun. Berdasarkan situasi tersebut, isteri layak untuk menuntut fasakh. Hal ini berdasarkan peruntukan AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 seksyen 52 (1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun
Merujuk isu kedua, sekiranya pihak isteri ingin meneruskan perkahwinan ketika suami terlantar sakit. Maka, siapakah individu yang sepatutnya menjaga suami sakit? memandangkan isteri perlu bekerja bagi menggalas tanggunjawab pembiayaan nafkah keluarga. Oleh itu, kami nyatakan beberapa syor dan cadangan berikut:
- Pihak isteri perlu mengadakan perbincangan dengan ahli keluarga pihak suami yang melibatkan ibu mertua serta adik beradik suami untuk menyusun jadual waktu menjaga suami yang terlantar sakit.
- Waris keluarga pihak suami mempunyai peranan untuk melangsaikan nafkah terhadap anak-anak yang masih kecil apabila suami tiada upaya dan jatuh sakit. Bahkan pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179) menyebut: bapa dan datuk ke atas, wajib memberi nafkah anaknya, cucu dan ke bawah. Oleh itu, mereka yang mempunyai pertalian darah dengan suami perlu turut mengembleng usaha membantu daripada sudut teknikal mahupun memberikan sokongan moral serta bantuan kewangan.
- Pihak isteri memohon pengecualian kepada majikan untuk pulang awal bagi menguruskan hal ehwal anak-anaknya serta menjaga suami yang terlantar sakit.
- Sekiranya gaji isteri tidak mencukupi untuk menanggung keluarga mahupun kos rawatan suami maka disarankan untuk memohon bantuan baitulmal. Namun, pihak isteri diharuskan mengambil duit simpanan suami bagi mencukupi kadar keperluan isteri dan anak-anaknya berdasarkan hadis yang telah dikemukakan .
Pada hakikatnya, tiada kewajipan isteri menanggung suami, namun ia hanya sebagai sumbangan ikhlas seorang isteri serta satu pengorbanan yang sangat besar. Bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab menyara keluarga disamping menjaga suami yang terlantar sakit. Ia memerlukan kekuatan mental, fizikal dan rohani dalam pengurusan hal ehwal rumahtangga yang hanya terletak pada bahu isteri. Tidak dinafikan, pasangan suami isteri mempunyai hak masing-masing namun atas dasar toleransi dalam perkahwinan pihak isteri memilih untuk terus berkhidmat pada suami yang terlantar sakit.
Bacaan tambahan berkenaan nafkah, sila rujuk beberapa artikel kami seperti berikut:
Al-Kafi #1290: Suami Membiarkan Isteri Menanggung Nafkah Keluarga
Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-175: Tinggal Isteri Tanpa Nafkah, Adakah Jatuh Talaq
Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-289: Hukum Suami Tidak Bekerja Dan Menjadi Suri Rumah
Penutup
Tuntasnya, berdasarkan dalil serta hujah yang dikemukan, isteri mempunyai pilihan untuk meneruskan perkahwinan mahupun sebaliknya rentetan pihak suami mengabaikan nafkah. Tuntutan fasakh adalah jalan keluar bagi isteri yang diabaikan hak nafkahnya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA, katanya:
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”
Riwayat al-Daraqutni (3/297)
Walaubagaimanapun, sekiranya isteri redha untuk meneruskan hidup bersama suami yang sakit dan ingin berkhidmat menjaganya, maka ia merupakan satu pilihan atas dasar kebaikan serta ihsan seorang isteri. Sebagai kata motivasi, pandanglah ujian dengan hikmah dan menjadikan tempoh menjaga suami sebagai ladang menuai pahala sebanyak mungkin. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang selayaknya kepada para isteri yang berjiwa kental menghadapi ujian dengan sabar dan redha. Marilah panjatkan doa agar suami puan diberikan kesembuhan serta mendapat hidayah untuk melunaskan segala tanggungjawab yang telah diabaikan selama ini. Kami yakin, berkat pengorbanan seorang isteri pasti akan ada sinar kebahagian kelak. Akhir kalam, berilah yang terbaik kepada ahli keluargamu. Daripada Aisyah binti Abi Bakar R.Anha, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” Riwayat al-Tirmidzi (3895). Beliau mengatakan hadis ini hasan sahih.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI