Sememangnya telah wujud pelbagai persoalan melibatkan kematian dan perkuburan. Amalan ‘biasa’ seperti adab menziarahi kubur, membacakan ayat-ayat suci al-quran, solat jenazah di tanah perkuburan, amalan menabur bunga, tahlil, menyiram air, dan binaan kubur terus menerus menjadi tanda tanya bagi mereka yang dahagakan ilmu.
Bagi menghuraikan kekusutan, Ustaz Mohd Fikri Che Hussain, seorang pendakwah bebas dan juga penulis buku Karya Bestari berkongsi ilmu seterusnya merungkai persoalan-persoalan tersebut.
1. Bolehkah membina kubur di dalam masjid?
Sebagai umat Islam kita berpegang bahawa tidak boleh membina masjid di atas kuburan kerana ia adalah kesesatan yang membuka jalan menuju syirik serta menyerupai perbuatan anutan agama lain terutamanya Ahli Kitab. Perbuatan membina kuburan dengan kubah di atasnya, ditinggikan pagar dan dibuat segala hiasan yang indah adalah perbuatan haram dan tercela.
Dari Aisyah r.a bahawa Ummu Habibah dan Ummu Salamah menceritakan kepada Rasulullah s.a.w tentang gereja yang dilihatnya di Habsyah (Ethiopia). Maka, Baginda s.a.w bersabda: “Mereka itu adalah suatu kaum, apabila ada seorang hamba yang soleh atau seorang yang soleh meninggal di antara mereka, mereka akan bina di atas kuburannya tempat ibadah dan mereka buat di dalam tempat itu patung-patung. Mereka itulah makhluk yang paling hina di hadapan Allah pada hari Kiamat kelak.” [Riwayat al-Bukhari & Muslim]
Malahan dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda, “Laknat Allah ke atas kaum Yahudi dan Kristian disebabkan mereka telah menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai tempat ibadah.” [Riwayat al-Bukhari & Muslim]
Para ulama bersepakat bahawa membina masjid di atas kuburan maka hukumnya adalah haram dan termasuk dosa besar menurut empat mazhab. Namun ada juga segelintir manusia yang berhujahkan tentang makam Rasulullah s.a.w yang berada di tengah masjid Nabawi. Bagaimana kita perlu menjawabnya?
Jawapannya makam Rasulullah s.a.w ketika wafatnya disemadikan di dalam bilik Aisyah yang terletak di rumahnya sebelah masjid, dipisahkan dengan tembok dan ada pintu yang Baginda s.a.w biasa keluar menuju ke masjid. Hal ini adalah perkara yang sudah disepakati para ulama dan tiada perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya para sahabat yang mengebumikan jasad Nabi s.a.w di dalam biliknya. Mereka melakukannya agar tidak ada seorang pun sesudah mereka yang menjadikan kuburan Baginda s.a.w sebagai tempat ibadah, sebagaimana hadis dari Aisyah r.a dan yang selainnya.
2. Wasiatkan harta / barang berharga agar dikuburkan bersama. Komen ustaz?
Perbuatan mewasiatkan harta atau barangan berharga agar dikuburkan bersama si mati adalah perbuatan jahiliyah dan ia merupakan kesesatan. Islam melarang perbuatan ini dan harta si mati hanya boleh dijadikan dalam dua bentuk iaitu [1] harta pusaka yang diwariskan kepada keluarga si mati yang berhak dan [2] jika tiada orang yang berhak menerima harta pusaka tersebut, maka ia perlu diserahkan kepada Baitul Mal kaum muslimin untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
3. Bolehkah kita melakukan solat jenazah di kawasan perkuburan?
Dalam hal ini ulama khilaf kerana ada dalil yang bercanggahan antara larangan dan perbuatan Nabi s.a.w sendiri. Namun apa yang jelasnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, dia berkata : “Sesungguhnya wanita berkulit hitam yang biasa membersihkan masjid (meninggal dunia). . ., maka Nabi berkata : tunjukkanlah kepadaku kubur dia, maka para sahabat menunjukkan kepada Baginda kuburan wanita tadi kemudian Nabi solat jenazah untuknya.” [Riwayat Bukhari & Muslim]
Hadis ini menjadi dalil dibolehkan melakukan solat jenazah di kuburan, berdasarkan perbuatan Baginda s.a.w. Maka ia diikuti oleh para sahabat selepas Baginda s.a.w sebagaimana riwayat dari Nafi’, dia berkata: “Kami telah melaksanakan solat jenazah Aisyah dan Ummu Salamah di tengah-tengah Baqi’ di antara kuburan dan yang menjadi imam kami pada waktu itu adalah Abu Hurairah dan Ibnu Umar turut hadir ketika itu.”
Atsar ini menjadi dalil dibolehkan melakukan solat jenazah di kuburan kerana jika dilarang pasti salah seorang di kalangan sahabat yang bangkit untuk melarang perbuatan tersebut.
4. Apakah benar pohon yang ditanam itu akan berselawat dan mendoakan untuk jenazah?
Perkara ini juga adalah khilaf, namun bersandarkan kepada hadis daripada Ibn Abbas katanya, “Rasulullah s.a.w melalui kuburan lalu Baginda terdengar suara dua orang yang diseksa di dalam kubur mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: “Mereka berdua itu diseksa. Tidaklah mereka berdua itu diseksa kerana perkara yang besar… lalu Rasulullah s.a.w meminta dibawakan pelepah tamar dan Baginda membelahnya menjadi dua lantas meletakkannya pada kedua kubur itu. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Mengapa tuan berbuat demikian?” Baginda menjawab: “Semoga itu akan meringankan (azab) mereka selagi ia tidak kering atau sehinggalah ia kering.” [Riwayat al-Bukhari]
Hadis ini dikhususkan dengan sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir r.a, “Rasulullah bersabda, “Aku melintasi dua buah kubur yang penghuninya diseksa, maka aku mahu ia diberikankan syafaatku agar dihindarkan daripada kedua-duanya selagi dua ranting itu tidak kering.” [Riwayat Muslim]
Hadis ini jelas menunjukkan sebab Nabi s.a.w meletakkan ranting di atas kubur itu sebagai syafaat dan doanya, malah ia bukanlah menghadiahkan pahala kepada si mati yang berada di dalamnya. Perbuatan sahabat yang bertanya menunjukkan bahawa hal ini tidak pernah dilakukan sebelum itu dan tidak pula diperintahkan oleh Nabi s.a.w agar diikuti oleh para sahabat. Ini menunjukkan bahawa perbuatan ini khusus kepada Baginda sebagai doa dan syafaat untuk umatnya.
5. Benarkah keadaan pokok yang hidup subur atau tidak itu sebenarnya menggambarkan keadaan jenazah di dalam kubur?
Tidak benar sama sekali sebenarnya pokok yang hidup atau sebaliknya itu menggambarkan keadaan jenazah di dalam kuburnya. Perbuatan sebegitu sebaiknya dihindari kerana ia tidak mempunyai sebarang dalil yang menyokong kesahihannya, malah ia boleh membawa perseteruan di kalangan masyarakat dengan sangkaan buruk sebegitu.
6. Hukum kubur yang digali semula?
Kubur yang digali semula untuk tujuan pemindahan dan atas sebab siasatan dan sebagainya adalah dibolehkan kerana keperluan. Jika sengaja digali semula tanpa sebarang sebab dan hanya untuk melakukan perkara khurafat dan menyimpang dari ajaran agama, maka ia adalah haram dan ditegah dari melaksanakannya.
7. Wanita yang haid boleh ke jejakkan kaki ke tanah perkuburan?
Tiada larangan bagi wanita yang sedang haid untuk menjejakkan kaki di tanah perkuburan kerana tiadanya sebarang dalil yang melarang perbuatan tersebut. Kekeliruan ini disebabkan adanya dalil larangan bagi wanita haid yang melintasi kawasan masjid dan tegahan kepada mereka yang ingin menziarahi ke kuburan dalam beberapa fatwa ulama. Lantas mereka mengqiyaskan hal ini dengan perkara tersebut secara tidak langsung.
8. Apakah amalan bidaah yang popular sekitar kematian dan perkuburan.
Antara perkara bidaah yang sering dilakukan oleh masyarakat kita sewaktu kematian dan pengkebumian antaranya ialah amalan sesetengah tempat yang menyediakan makanan untuk orang menziarahi keluarga si mati dan menyediakan bayaran tertentu untuk solat jenazah dan upah membaca al-Quran untuk disedekahkan pahalanya kepada si mati. Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam.
Amalan ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang dan ia merupakan pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim. Tidak kurang juga kepercayaan sesat sesetengah pihak mengatakan roh si mati akan pulang pada setiap malam Jumaat, setiap malam raya atau pada hari tertentu untuk mengharapkan sedekah amalan daripada keluarganya. Perlu diketahui persoalan roh adalah antara rahsia Allah yang tidak boleh disandarkan kepada logik akal.
Amalan lain pula seperti menabur bunga, menyiram air yang dibaca dengan bacaan surah tertentu, membina kuburan dengan harga yang mahal, membuat pagar yang dihiasi indah dan segalanya. Sepatutnya diketahui bahawa tanah perkuburan adalah tanah wakaf hak milik kaum muslimin, perbuatan membina batu kepok, pagar, kerusi duduk dan sebagainya akan menyempitkan kawasan tanah perkuburan dan bilangan kubur akan menjadi terhad disebabkan wujud ‘banglo kecil’ yang dibina oleh waris si mati. Sebaiknya pembaziran ini perlu dihentikan kerana ia tidak dianjurkan oleh Islam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI