Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang diberi oleh suaminya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sedekah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam apabila seseorang itu memiliki wang yang berlebihan. Tambahan pula, ganjaran atau pahala bersedekah ini amatlah besar sehinggakan ia disebut di dalam al-Qur’an:
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 602/1]
Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tujuan agar kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menunjukkan kelebihan seorang isteri bersedekah dengan menggunakan harta suaminya. Antaranya adalah:
Maksudnya: “ Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” [Riwayat al-Tirmizi (671)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih]
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Ads
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
Penutup
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita juga. Akan tetapi, apa yang penting buat para isteri adalah perlu meminta izin suami jika itu adalah harta suaminya. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta pada jalan Allah SWT. Amin.
Ramai orang suka menyebut perkataan sumpah. Sumpah biasanya dibuat bagi membuktikan dirinya benar, tidak melakukan perbuatan tersebut, menegakkan berita dan mengikrarkan hukum.
Sumpah berasal dari bahasa Arab, Al-Qasam dalam Al-Quran.Seorang muslim yang bersumpah, biasanya akan menepati janjinya kerana ia bersumpah membawa nama Allah. Dalam kebanyakan kes rumah tangga bila mana tembelang suami atau isteri mula terserlah, biasanya pasangan akan menyebut sumpah bahawa dirinya tidak melakukan perbuatan tersebut.Malah dalam sesetengah kes sanggup membuat penafian sedangkan bukti-bukti kukuh ada di depan mata.
Apa yang difahami dengan sumpah palsu ini? Adakah ia sekadar satu ungkapan biasa atau ada makna di sebaliknya?
Zaman ini ramai melakukan sumpah palsu untuk menyelamatkan diri bila sudah terjerat tanpa sedar perbuatan itu bukan sekadar ungkapan biasa terlahir dari lidah tidak bertulang. Biasanya orang yang bersumpah palsu ini tidak mengakui kebesaran Allah SWT. Malah orang-orang yang biasa menyebut sumpah palsu ini akan merasakan tiada apa-apa akan terjadi dan masa yang sama mereka sebenarnya mengingkari sumpahnya kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Lantas, apa hukumnya kepada yang melafazkan sumpah palsu?
Para ulama bersepakat bahwa sumpah palsu itu hukumnya haram dan merupakan dosa besar. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam sebuah hadis, di mana Rasulullah SAW memasukkan sumpah palsu ke dalam kategori dosa besar yang menghampiri syirik.
Dari Abdullah bin ‘Amr, dia berkata: Seorang Arab Badui datang kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah dosa-dosa besar itu?” Baginda menjawap “Isyrak (menyekutukan sesuatu) dengan Allah,”. Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Kemudian derhaka kepada orang tua,”. Dia bertanya lagi. “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Sumpah yang menjerumuskan.” Aku bertanya, “Apa sumpah yang menjerumuskan itu?” Baginda Rasulullah menjawab, “Sumpah dusta yang menjadikan dia mengambil harta seorang muslim.” (HR. Al-Bukhari no. 6255).
Allah SWT juga menjelaskan dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih.” (QS. Ali-Imran : 77).
Jadi, dalam apa jua situasi, jangan sesekali bersumpah palsu kerana akibat dan kesannya amat buruk pada kehidupan kita.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sudah lama mendirikan rumah tangga, ada kalanya kasih menjadi semakin pudar. Tiada lagi gurau senda dan rasa yang semakin membosankan antara suami isteri.
Jadi untuk menambahkan kasih sayang antara suami isteri, amalkan membaca doa pengasih ini supaya cinta akan terus mekar selama-lamanya.
Doa yang harus dibaca adalah dengan membaca Surah al-Insyirah atau Alam Nasroh. Tetapi ada tata caranya untuk membaca surah ini.
Bacalah surat ini setiap habis solat fardhu. Niatkan ketika membacanya agar selalu disayang suami.
Setelah selesai membaca, tiupkan ke telapak tangan dan usapkan ke muka kita. Inilah amalan doa pengasih yang ramai pasangan terlepas pandang:
Doa Pengasih Agar Selalu Dicintai Dan Disayang Suami Terjemahan ayat:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
1: Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (Muhammad)? 2: Dan Kami pun telah menurunkan beban darimu. 3: Yang memberatkan tanggunganmu,
4: Dan Kami tinggikan sebutan (nama) mu bagimu. 5: Maka Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. 6: Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
7: Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yg lain). 8: Dan hanya kepada Tuhanmulah kamu berharap.
Selain untuk tujuan diatas, Surah al-Insyirah ini memiliki fadhilah lain, diantaranya:
Sabda Nabi:
‘Barangsiapa membaca surat Alam Nasyrah seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi satu kelapangan darinya.
Barangsiapa biasa membaca surat Alam Nasyrah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah mempermudah urusannya dan dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya.
Siapa yang membaca surat ini niscaya Allah turut melapangkan dadanya dan Yusuf dari segala kesulitan dalam segala urusan. Dihilangkan segala sifat kesal, jemu dan mendatangkan rajin dalam menunaikan.
Barang siapa membaca surat ini 9 kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan darinya kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan.
Semoga dengan doa pengasih tersebut diatas anda semakin disayang dan dicintai oleh suami, dan keluarga anda menjadi keluarga yang penuh dengan sakinah, mawaddah, wa rahmah.
Malaysia antara negara yang bertuah. Penuh hasil bumi dan belum pernah diuji dengan peperangan dan kebuluran. Walau diuji dengan kelemahan kepimpinan namun rakyat masih saling mampu membantu jika orang yang susah seperti mana berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana kempen bendera putih tercetus.
Namun bagi negara-negara lain yang teruji dengan peperangan, kemusnahan harta benda, masalah ekonomi merudum dan sebagainya hingga memaksa rakyat melarikan diri ke negara lain untuk menyelamatkan diri dan keluarga. Bahkan mereka sedaya mencari kehidupan yang lebih baik walau terdapat banyak sekatan perlu dilalui.
Satu perkongsian video dari pengguna Tik Tok @ezulkifli mengenai tentera yang mengadakan sekatan jalan raya sebelum menyuruh pemandu membuka ruang tangki kenderaan yang sempit mencetuskan air mata.
Ini kerana di ruangan tangki sempit itu, sekumpulan kanak-kanak kecil bersama ibu mereka “diselamatkan”. Amat menyedihkan tubuh anak-anak ini sudah lembik akibat kekurangan oksigen. Andai lebih lewat diselamatkan, barangkali kita akan membaca berita sekumpulan kanak-kanak ini maut.
Ini kerana selepas dikeluarkan dari tangki kenderaan itu, jelas tubuh mereka sudah lembik sebelum ibu-ibu mereka dikeluarkan kemudian bersama beg pakaian mereka.
Tidak pasti kejadian ini berlaku akibat penyeludupan manusia atau penghijrahan ke negara yang lebih baik dan tiada peperangan namun kesemua kanak-kanak ini menangis sebaik berjaya dibawa keluar dalam keadaan tubuh lembik.
Beginilah kehidupan manusia, penuh ujian kehidupan sebelum kita kembali pada Allah yang Maha Esa. Sentiasalah bersyukur dengan apa yang kita nikmati hari ini. Walau sedikit perit kerana keadaan ekonomi tapi sekurangnya siapa yang berusaha masih boleh menikmatinya.