Memasuki 10 malam terakhir Ramadan ini umat Islam diseru meningkatkan amal ibadah untuk mengejar pahala Lailatul Qadar. Di mana malam ini adalah lebih baik daripada 1,000 bulan.
Selain membaca al-Quran, melakukan solat dan ibadah ibadah sunat jangan dilupa juga untuk mengamalkan ibadah-ibadah kecil namun cukup besar pahalanya antaranya membaca surah lazim pada setiap 10 malam terakhir ini
Perkara ini dikongsi oleh Ustaz Don Daniyal Biyajid dalam satu video di akaun TikTok miliknya.
Surah yang dimaksudkan adalah mengamalkan bacaan surah al-Fatihah sebanyak tiga kali, al-Zalzalah sebanyak dua kali, al-Kafirun sebanyak empat kali dan al-Ikhlas sebanyak tiga kali.
“Masuk malam 10 terakhir Ramadan saya nak beri satu petua yang mana siapa buat insya-Allah pahala sekurang-kurangnya bersamaan khatam Quran empat kali dalam setiap malam. Jadi jangan tinggal amalan ini baca setiap malam 10 terakhir dan jika kena pada malam Lailatul Qadar, dapat khatam Quran empat kali selama lebih 1,000 bulan.
“Yang pertama, jangan tinggal baca surah al-Fatihah sebanyak tiga kali. Sebab Nabi Muhammad S.A.W bersabda satu al-Fatihah bersamaan dengan satu per tiga al-Quran. Baca tiga kali sama macam khatam satu al-Quran. Selepas baca surah al-Fatihah baca surah al-Zalzalah sebanyak dua kali. Nabi bersabda surah ini sama dengan satu per dua al-Quran. Bila baca dua kali serupa macam khatam Quran.
“Kemudian, baca surah al-Kafirun sebanyak empat kali. Nabi bersabda satu surah al-Kafirun bersamaan dengan satu per empat al-Quran. Jadi bila baca empat kali sama macam khatam satu al-Quran. Selepas itu baca, surah al-Ikhlas tiga kali. Jumlahnya al-Fatihah tiga kali, al-Zalzalah dua kali, al-Kafirun empat kali, al-Ikhlas tiga kali bersamaan empat kali khatam,”kongsi beliau.
Selain surah al-Fatihah dan tiga surah lazim, Ustaz Don turut berpesan untuk membaca surah Yasin sebanyak sekali yang mana ganjaran pahalanya bersamaan dengan 10 kali membaca al-Quran.
“Yang terakhir baca surah Yasin sebanyak satu kali. Dalam satu hadis yang diriwayatkan sekali baca Yasin bersamaan dengan 10 kali baca Quran. Subhanallah. Jumlah pahala macam khatam Quran sebanyak 14 kali untuk satu malam.”
@ddaniyaldbiyajid Petua Ulama’ 10 malam terakhir. #fyp #fypシ #fypシ゚viral #10malamterakhir ♬ original sound – ddaniyaldbiyajid – UDD