10 Tahun Hidup Berdua! Azmi Saat Bakal Timang Cahayamata, Doakan Pasangan Lain Diberi Kesabaran Jika Diuji Belum Ada Anak

Share

Anak penyeri kehidupan. Namun ada juga pasangan yang tidak kisah jika belum dikurniakan cahayamata kerana sudah boleh menerima situasi masing-masing dan redha dengan ujian Allah. Ini kerana bahagia boleh dicari mengikut cara kita dan tidak perlu meniru cara orang untuk kelihatan bahagia.

Menjelang Ramadan, Azmi Saat yang juga penyanyi utama Caliph Buskers berkongsi berita gembira apabila bakal menerima cahayamata apabila isterinya Nazirah Muhammad kini hamil empat bulan selepas 10 tahun mendirikan rumahtangga.

Dalam satu perkongsian di fbnya, Azmi berkongsi corat coret rumahtangganya selama 10 tahun.

Dulu, waktu 5 tahun awal perkahwinan saya dan isteri, dia tak marah langsung kalau saya bergurau fasal nak kahwin lain.

Kononnya nak carikan dia kawanlah, kasihan dia penat buat kerja seorang-seoranglah, nak bagi dia merasa ada payung emaslah.

Bukan setakat tak marah, malah dia boleh mencabar saya lagi sebab dia tahu saya memang tak berani. Sembang saja kuat.

Lepas 5 tahun, kalau saya bergurau hal seperti itu, respond dia dah tak seperti biasa. Selalunya dia akan terdiam. Tak ada lagi kata-kata mencabar apa lagi gelak tawa.Bila perasan begitu, saya cuba kurangkan gurauan-gu!auan seperti itu sebab tahu dia tak suka. Tapi, kadang-kadang terlepas juga.

Pada tahun ke lapan perkahwinan, dia hamil tapi tak sampai 2 bulan kandungannya gugur. Mulai dari saat itu, dia selalu termenung bila baru lepas bermain dengan budak kecil, sedih bila terbaca ucapan Selamat Hari Ibu, rasa kecil bila kawan-kawan bersembang fasal anak masing-masing. Apa lagi bila berjumpa dengan saudara-mara yang tak pandai jaga mulut persoalkan bila nak dapat anak. Akan basahlah baju saya dengan airmatanya.

Dia juga selalu sangat bertanya pada saya, "Yang, kalau saya tak dapat beri awak anak, awak akan kahwin lain tak?"

Barulah saya tahu, rupanya dia tak suka gurauan-gurauan seperti itu sebab dia takut saya gunakan alasan anak untuk kahwin lain. Sejak dari itu, saya tak mahu lagi bergurau nak kahwin lagi. Selagi dia hidup, cuma dia seorang isteri saya walau apa pun yang terjadi.

Saya cuba hiburkan dia supaya dia tidak kesunyian. Pantang ada masa lapang, pasti saya akan bawa dia bercuti ke hotel-hotel. Saya nak dia tahu, hidup suami isteri tanpa anak juga seronok. Malah mungkin lebih seronok dari orang lain yang ada anak.

Alhamdulillah rasanya hiburan yang saya beri menjadi. Sampai masuk tahun 2021 iaitu tahun ke sepuluh perkahwinan, kami sepakat untuk lupakan fasal anak. Kita cari kebahagiaan berdua sahaja.

Segala puji bagi Allah. Dialah yang maha mengetahui dan Dialah yang merancang segalanya. Berkat doa yang tak putus-putus dari Emak, keluarga dan orang sekeliling, tak lama lepas kami sepakat begitu, isteri kata dia rasa tak selera makan, selalu rasa nak muntah.

Bila kami pergi buat rawatan, rupanya isteri saya hamil. Sekarang sudah hampir 4 bulan.Jujurnya, waktu awal-awal kami dapat berita kehamilan itu, kami tak pun terus gembira.

Mungkin sebab dah mula rasa seronok hidup berdua. Bila dah balik rumah, barulah gembira itu datang. Mulalah mencaritahu apa yang perlu untuk orang mengandung dan bersalin.Saya mohon doa dari kawan-kawan semua, semoga kandungannya sihat, isteri saya sihat dan anak yang lahir nanti akan jadi anak yang soleh.

Saya doakan kepada sesiapa sahaja yang sedang berusaha untuk memperoleh cahaya mata supaya diberikan kesabaran, kekuatan untuk mengharungi apa sahaja ujian sebagai pasangan suami isteri.

Sama-samalah kita bersyukur dengan apa sahaja yang tuhan beri. Banyakkan beristighfar memohon keampunan atas segala dosa, pasti Allah akan tunaikan setiap doa kita.
Mudah-mudahan Allah selalu menyematkan rasa bahagia dalam hati-hati kita walau bagaimana pun keadaan kita.

Published by
almaswa Haji Che Ros