“11 Tahun Bekerja Sebagai Pramugari, Ini Kali Pertama Saya Tunai Solat Dalam Kapal Terbang”

Share

Dek kerana komitmen pada pekerjaan ramai yang leka dan meninggalkan solat yang menjadi kewajipan buat umat Islam. Perkara ini diakui oleh seorang pramugari.
Namun kehadiran ustazah Asma Harun dalam satu penerbangan pulang dari umrah mendetikkan kesedaran dalam hati pramugari ini untuk menunaikan solat ketika di dalam kapal terbang.

Perkara ini diceritakan oleh Ustazah Asma’ Harun dalam catatan di akaun Facebook beliau yang menyentuh hati ramai.

“11 tahun bekerja sebagai pramugari, ini kali pertama saya tunai solat atas kapal terbang, sebelum ini saya tak ambil berat…”

SubhanAllah, itulah luahan seorang pramugari yang tiba-tiba datang memegang erat tangan saya. Waktu itu, saya bersama jemaah umrah pulang ke Malaysia dari tanah suci. Tak silap Saudi Airlines, pramugari tersebut bukan orang Malaysia. Kami berkomunikasi dalam bahasa inggeris.

Ketika itu kami bertolak malam, jadi apa yang saya fikirkan mungkin semua jemaah akan tidur dan tidak sedar bila masuknya waktu Subuh nanti. Jadi saya beritahu kekhuatiran ini kepada pramugari tersebut. Jika nak kejutkan jemaah seorang demi seorang agak mustahil kerana terlalu ramai.

Dengan keadaan pesawat yang gelap, suasana yang nyenyak untuk tidur, memang agak sukar. Jadi, saya pun cuba sedaya upaya memujuk pramugari tersebut untuk memberi keizinan menggunakan speaker pesawat bagi membuat pengumuman mengejutkan jemaah nanti.
Tetapi pramugari tidak mengizinkan kerana perbuatan saya ini melanggar prosedur.

Saya cuba pujuk berulang kali sehingga dia minta izin untuk bincang dengan kapten dahulu. Sementara itu, timbul rasa tak senang hati sambil berdoa agar dilembutkan hati kapten dan dipermudahkan urusan perbincangan tersebut.

Namun Alhamdulillah, dengan izin Allah, pramugari itu datang dan maklumkan kapten memberi keizinan. Allahu Akbar. Sungguh, saya rasa sangat bersyukur. Barulah dapat tidur sebentar dengan lega. Kemudian, bila hampir waktu Subuh, pramugari itu kejutkan saya untuk buat pengumuman.

“Assalamualaikum kepada semua jemaah. Sila bangun, sekejap lagi kita akan memasuki waktu solat subuh dan waktunya sangatlah pendek. Jadi boleh bersiap sedia untuk ambil wudhuk. Bagi perempuan, sekiranya ingin membersihkan hadas atau berwudhuk boleh ke tandas, jika boleh gunakan spray wudu’ masing-masing, jika dapat solat di tempat yang disediakan di bahagian belakang. Namun jika tidak, solat di tempat masing-masing dan pastikan menghadap kiblat.”

Tidak lama selepas selesai solat, pramugari tadi datang lalu memegang erat tangan saya. “Madam, tadi merupakan pengalaman pertama saya solat di dalam kapal terbang sepanjang 11 tahun bekerja sebagai pramugari.

Saya Muslim, hari ni saya jumpa orang yang bersungguh menjaga solatnya dan memikirkan tentang solat orang lain. Terima kasih Madam, kerana jadi asbab saya solat pada hari ini, jika tidak saya hanya solat bila tiada penerbangan.” Allahu Akbar, sebak mendengar luahan hati si pramugari. Dia bercerita sambil menangis dan bersungguh.

Alhamdulillah, benarlah hidayah itu milik Allah. Ditakdirkan bahawa pintu hatinya terbuka saat melihat kesungguhan hamba-hamba Allah yang ramai menunaikan kewajipan solat tanpa mengira tempat atau kekangan kemudahan yang ada.

Mungkin ramai lagi orang yang hadapi situasi yang sama dengan pramugari tadi walaupun di dalam organisasi yang berbeza. Maka perbanyakkanlah doa supaya ilmu dan hidayah itu sampai kepada kita semua.

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Published by
Team Kashoorga