Meraikan tetamu tidak kiralah daripada kalangan ahli keluarga sendiri, rakan atau jiran sangat dianjurkan dalam Islam. Aktiviti itu dapat mengeratkan tali silaturrahum dan ukhuwah.
Bagaimanapun, sebagai orang yang nak bertandang, kita pun tidak boleh lah datang tanpa memaklumkan tuan rumah terlebih awal atau dalam bahasa mudahnya, sesuka hati sahaja nak datang bertamu, terus terjah!
Bukan tak boleh datang, tetapi kena lah ada ‘SOP’nya juga. Kita inginkan satu pertemuan yang disenangi kedua-dua pihak; baik tetamu dan tuan rumah. Takut-takut ada yang tak selesa dan hubungan bertukar dingin. Bukan tak tahu, cuma kita terlupa bahawa sebenarnya dalam Islam ada adab bertamu yang perlu kita amalkan.
Artikel berkaitan: Dijemput& Sebagai Tetamu Allah, Mark Adam Sebak & Rasa Terharu
Artikel berkaitan:Jangan Keji Bila Ada Yang Letak Langsir Depan Rumah, Fadhilatnya Amalan Tarik Rezeki Masuk Rumah
Kalau dulu tak buat, sekarang ni kena lah buat sebagaimana saranan berikut:
Adakah yang bertamu memasang niat buruk? Jika ada, hentikanlah perangai hodoh itu ya. Kita nak datang ke tempat orang kena bawa aura positif. Niat dan tujuan perlu baik; bagi menyambung silaturrahim dan ukkhuwah. Kalau niat nak bergosip atau mengumpat, maka batalkan sahaja hasrat itu.
Adab ini bukan bermaksud supaya kita perlu membeli pakaian mahal dan baharu. Bukan juga bermaksud kita wajib berdandan untuk kelihatan tampan atau mantap. Cukup sekadar penampilan diri enak dipandang mata.
Firman Allah dalam al-Quran;
يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكُمۡ لِبَاسٗا يُوَٰرِي سَوۡءَٰتِكُمۡ وَرِيشٗاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَٰلِكَ خَيۡرٞۚ ذَٰلِكَ مِنۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ يَذَّكَّرُونَ ٢٦
Ertinya:Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. (QS al-A’raaf : 26)
Kita kena pilih waktu tepat untuk berkunjung, kerana perlu juga fikirkan masa-masa aurat tuan rumah dan situasi mereka. Waktu aurat yang tidak digalakkan dalam Islam untuk bertamu ialah pada waktu tengah malam, subuh dan saat istirahat.
Selain itu, pastikan tuan rumah tidak ada aktiviti bersama keluarga atau saat yang tidak mengizinkan mereka terima kita sebagai tetamu. Untuk mudah, hubungi tuan rumah lebih awal untuk temujanji, itu lebih baik dan terancang.
Apabila telah sampai, jangan terus terjah masuk ke rumah tuan rumah. Sila beri salam, mengetuk pintu atau menekan loceng kediaman.
Rasulullah saw bersabda;
“Apabila seorang bertamu lalu minta izin (mengetuk pintu atau mengucapkan salam) sampai tiga kali dan tidak ditemui (tidak dibukakan pintu), maka hendaklah dia pulang.” (HR Bukhari)
Ketika bertamu, bersalaman atau berjabat tanganlah dengan tuan rumah yang sesama perempuan atau sesama lelaki untuk menunjukkan hormat dan mengerat tali silaturrahim.
Hal ini sesuai dengan anjuran Nabi saw dalam sebuah hadis yang ertinya:
“Apabila kamu saling jumpa, maka saling mengucapkan salam dan bersalam- salaman, bila saling berpisah, maka berpisahlah dengan ucapan istighfar”. (HR At Tahawi).
Ikhtilat atau fitnah akan terjadi saat seorang lelaki bersama dengan seorang wanita yang bukan mahramnya.
Jika ingin berkunjung sekalipun, pastikan di rumah tersebut ada ayahnya atau suaminya atau seorang lelaki dewasanya untuk menghindari ikhtilat dan ‘fitnah’. Kerana ikhtilat adalah perkara yang mendekatkan kita kepada zina dan maksiat.
Allah berfirman:
وَلَاss تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا ٣٢
Ertinya:Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. (QS al-isra’ : 32)
Jaga pertuturan kita ketika bercakap sebagai tanda kita menghormati dan menyenangkan hati tuan rumah.
Selain itu bersikap sopan santun ini akan menghindarkan kita dari perbuatan yang dapat menyinggung atau menyakiti hati tuan rumah.
Ramai yang suka duduk lama ‘lepak’ di rumah tuan rumah. Ingat ya, selain memerhatikan waktu kunjungan, tempoh masa kunjungan juga harus diperhatikan.
Kita kena letakkan diri kita sebagai tuan rumah juga.
Jika terlalu lama kita bertamu, ia akan menyebabkan tuan rumah tidak selesa. Ya, mungkin kita nampak seperti tak ada apa-apa, tetapi cara kita itu akan membebani tuan rumah juga.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Masa bertamu adalah tiga hari dan sesudah itu sedekah. Tidak halal bagi tetamu tinggal lebih lama sehingga menyakiti hati tuan rumah”. (HR Baihaqi).
Setelah mengetuk pintu, berdiri lah ke sisi kiri atau kanan pintu, bukannya tegak betul-betul di hadapannya, dan sabar menanti pintu dibuka. Perkara ini bagi memberi ruang tuan rumah mempersiapkan diri.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis ada diriwayatkan;
Adalah Rasulullah SAW jika mendatangi suatu pintu dan akan meminta izin, baginda tidak menghadap depan pintu. Akan tetapi, baginda berada di sebelah kiri atau kanannya. Jika diizinkan , baginda baru masuk, jika tidak baginda pun akan beredar.” (HR Bukhari)
Apabila nak bertamu, kita perlu buat cara sebagai tetamu yang terhormat. Mata tidak perlu melilau ke sana sini atau sibuk mengintip melalui tingkap atau pintu gelangsar.
Tahukah kita bahawa tuan rumah berhak mencungkil mata tetamu berbuat perkara buruk ini?
“Andaikan ada orang melihatmu di rumah tanpa izin, engkau lemparkannya dengan batu kecil lalu cungkil matanya, maka tidak ada dosa bagimu.” (HR Bukhari Kitabul Isti’dzan)
Sila jaga tatatertib saat berada di rumah orang. Setelah diizinkan masuk, duduklah di tempat yang telah disediakan dan dipersilakan oleh tuan rumah.
Ketika tuan rumah bertanyakan khabar serta mengajukan persoalan lain, jawablah dengan jelas, tersusun kata dan sopan.
Jangan menjawab soalan yang membingungkan tuan rumah kerana cara itu sangat menyakitkan hati. Lain yang ditanya, lain yang dijawab!
Tunjukkan kita sebagai tetamu yang berakhlak baik. Sepanjang bertamu, tunjukkanlah wajah ceria dan manis. Lemparkan senyuman kerana ia amat menyenangkan hati tuan rumah.
Setelah tuan rumah menjawab salam dan mempersilakan kita masuk, menjamu kita dengan hidangan lazat dan banyak, hendaklah kita membalasnya dengan doa kebaikan.
Di antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah:
“Ya Allah ampuni dosa mereka dan kasihanilah mereka serta berkatilah rezeki mereka”