“2 Bulan Dalam Penjara, Saya Dekatkan Diri Dengan Allah. Bangun Tengah Malam Solat Tahajjud & Khatam Quran” – Farid Kamil

Share

Siapa tidak mengenali pelakon berbakat Datuk Farid Kamil. Umum mengetahui beliau sebelum ini dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan menampar seorang anggota polis dan seorang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Walaupun hukuman ini dianggap berat tetapi sebenarnya banyak memberi pengajaran berguna kepada pelakon ini.

Menurutnya dalam artikel di Berita Harian Farid Kamil memberitahu lebih dua bulan dipenjara dia mengakui masanya banyak dihabiskan dengan mendekatkan diri kepada Allah.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga turut selesai khatam Al-Quran dalam tempoh sebulan. Penerbit dan pengarah ini juga turut memberitahu banyak terbabit dalam aktiviti kerohanian yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Farid juga bersyukur kerana kehadirannya dalam sana diterima baik.

“Berada di dalam penjara adalah satu pengalaman yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Saya belajar menilai diri sendiri. Lebih membuatkan saya terharu adalah cara orang di sana menerima kehadiran saya.

“Saya juga melakukan perkara yang jarang saya buat ketika di luar iaitu bangun tengah malam untuk menunaikan solat Tahajud. Saya juga mengaji al-Quran hingga khatam dalam tempoh sebulan.

“Saya tak rasa apabila kita berada di luar dunia luar, kita mampu melakukan perkara seperti itu,” katanya selepas ditemui di majlis pelancaran Sifu International Enduro Championship 2020 dan treler Remp-it 2.

Walaupun peristiwa itu memberi kesan pada jiwanya, namun beliau melihatnya dari sudut yang positif.

“Saya mengaku hukuman dilalui menerbitkan sedih, terkilan dan rasa ‘terbang’ jauh. Namun, saya mengaku ini adalah cara Tuhan menunjukkan sesuatu kepada saya.

“Saya kena lalui detik mencemaskan sebelum Tuhan memberikan sesuatu yang lebih baik. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” katanya lagi yang turut mendapat sokongan penuh dari keluarga di atas apa yang berlaku.

 

KASHOORGA: Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Semoga Farid Kamil tabah menerima dugaan ini dan terus istiqamah dengan apa yang telah ditakdirkan kepadanya.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM FARID KAMIL

Published by
Siti Zurina