‘20 tahun kahwin, ujian datang berkala & tidaklah ringan.’ Selagi ada jodoh buatlah yang terbaik untuk pasangan. Hargailah satu sama lain.
Perkahwinan bukan bahagia semata, setiap pasangan ada ujiannya tersendiri. Malah setiap fasa perkahwinan ada pasang surutnnya.
Ikuti perkongsian Zeeda Aziz dan fahami apa yang disampaikan.
Artikel Berkaitan:
Alhamdulillah.. kami berjaya cecah ulangtahun perkahwinan yang ke-20, kelmarin.
Ianya adalah satu usaha bersama yang penuh dengan cabaran, jerih payah, turun naik emosi dan perasaan.
Ada masanya rasa sayang itu tebal sangat. Ada ketikanya datang rasa menyampah yang buat kami rasa hendak tamatkan sahaja hubungan.
Ujian datang berkala dan tidaklah ringan.
Di awal perkahwinan, saya perlu bersabar melayan barannya. Dia pula perlu beradaptasi dengan perangai OCPD saya yang terlalu memahukan kesempurnaan dan sentiasa micromanaging.
Tidak lama selepas saya melahirkan anak ke-2, kami diuji 2 kali ganda beratnya apabila saya disahkan menghidap kanser tapi dalam masa yang sama dia ditukarkan bekerja ke Perth, Australia.
Saya di sini melalui rawatan bersendiri dan dia di sana hanya dapat balik setahun 2 kali.
Ketika inilah masing-masing mula rasa menjauh. Waktu ini hampir sangat sudah kami bercadang untuk berpisah. Allahuakbar..
Selesai rawatan, kami berpindah ke Kedah untuk mulakan hidup baru. Di sini Alhamdulillah, hubungan semakin pulih kerana kami fikirkan anak-anak.
Suami saya telah kehilangan ibunya pada tahun 1996. Saya pula kehilangan ayah (cerai) pada tahun yang sama.
Kami sebagai anak, pernah melalui kehidupan yang perit tanpa keluarga yang lengkap. Maka, kami tak nak anak-anak merasai apa yang pernah kami rasa.
Perkahwinan yang panjang itu bermakna ujiannya juga maha banyak. Dari ujian itulah kami melihat apa yang silap apa yang salah.
Dulunya suami saya seorang yang baran, kini dia lebih tenang. Dulunya saya seorang yang sukar meluahkan perasaan, sekarang ini saya boleh ceritakan padanya apa yang menyakiti saya.
20 tahun adalah tempoh masa yang panjang bagi kami, namun mungkin singkat pada yang dah mencecah ikatan 50 tahun bersama.
Saya sentiasa mengingatkan diri yang selagi ada jodoh, buatlah yang terbaik. Sedangkan kaki yang melekat di tubuh selama 33 tahun pun Allah boleh ambil balik, inikan pula hak Allah yang lain.
Suami saya ini hadir dari doa yang dimakbulkan-Nya.
Usai saya membaca surah Yasin selepas solat Maghrib, menangis-nangis saya merayu pada Allah SWT moga hantarkan kepada saya seseorang yang boleh menjaga saya dan juga maruah saya yang ketika itu dihina secara umum.
Rasa lemah longlai semangat waktu itu sehingga saya terpaksa merintih pada-Nya.
Tak sampai seminggu, Allah kirimkan lelaki ini.
Doakan semoga kami dapat lalui perkahwinan ini dengan bahagia dan dijauhi fitnah dan hasad manusia.
Baca Di Sini:
Pernah Terfikir Culik Anak Orang, Akhirnya Selepas 20 Tahun Kahwin, Wanita Ini Dikurniakan Zuriat
Kashoorga : Hargailah pasangan di sisi selagi mereka masih ada.
Sumber: Zeeda Aziz
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.