Subhanallah, betapa soal kematian itu hanya Allah sahaja yang tahu. Bila dan di mana serta bagaimana cara kematian itu menjadi rahsia Allah.

Semalam diberitakan 27 murid terkorban dalam satu kebakaran di sebuah sekolah agama di Liberia yang berlaku pada hari Rabu lalu.

Jenazah mangsa yang terkorban dalam kebakaran sekolah agama disusun sebelum dikebumikan. -Sumber Foto: al-Jazeera

Kebanyakan murid yang terkorban ini berusia 10 hingga 20 tahun selain dua guru mereka yang turut meninggal dunia dalam kebakaran tersebut.

Dikhabarkan menurut portal al-Jazeera, kanak-kanak itu dilapor sedang belajar al-Quran ketika api merebak.

Mufti Agung Liberia, Sheikh Abubakar Sumaworo mengetuai solat jenazah murid dan guru yang terkorban dalam kebakaran madrasah di Monrovia. -Sumber Foto AFP

Kebakaran yang bermula sekitar tengah malam itu turut memusnahkan bangunan asrama penginapan murid-murid terlibat serta sekolah mereka yang terletak di Paynesville, di pinggir Monrovia.

Dilaporkan mangsa terperangkap dan tidak dapat keluar dari bangunan disebabkan tiada pintu kecemasan selain terhalang oleh jeriji besi pada tingkap.

Mangsa yang terselamat hanyalah seorang imam, guru dan dua murid. Bagaimana pun punca kebakaran masih lagi disiasat.

Punca kebakaran masih disiasat. Sumber Foto: EPA

Majoriti rakyat Liberia beragama Kristian namun ada sejumlah minoriti Islam di kalangan 4.5 juta penduduk.

Presiden Liberia George Weah dalam pada itu hadir melihat sendiri lokasi kejadian dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi.

SUMBER: AWANI & BERITA HARIAN