Kita seringkali mendengar cakap-cakap berkenaan harta yang banyak dikumpul tidak boleh bawa ke mati. Tetapi ada beberapa harta yang disebut di dalam Al-Quran, boleh menjadi bekalan kita di akhirat nanti seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
Yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.” (Riwayat Muslim).
3 perkara yang boleh membantu kita di akhirat nanti ialah:
Doa anak yang soleh membawa ke syurga. Betapa beruntungnya bagi ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak sehingga menjadi anak yang soleh.
Bagi ibu bapa menjadi tanggungjawab mereka untuk membesarkan anak-anak dan mendidik mereka untuk menjadi insan yang berguna. Dan sebagai anak-anak, menjadi tanggungjawab kita juga untuk menjaga ibu bapa di hari tua dan mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat.
Ilmu itu luas dan pelbagai, termasuklah ilmu agama seperti Al-Quran dan Al-sunnah dan ilmu dunia yang merangkumi ilmu sains, alam, teknologi, pentadbiran dan banyak lagi bidang-bidang ilmu yang ada. Ilmu yang diajarkan ketika hidup dan kemudiannya disampaikan kepada generasi seterusnya untuk dimanfaatkan akan memberikan pahala selagi ada yang memanfaatkan ilmu tersebut.
Ahli fiqh dan ulama berpendapat bahawa sedekah jariah yang dimaksudkan termasuklah amalan wakaf, di mana pahala dan ganjaran akan terus mengalir dan berkekalan walaupun selepas pemberinya meninggal dunia, selagi mana harta wakaf itu terus digunakan untuk manfaat masyarakat. Turut disebut di dalam Al – Quran, Surah Al Baqarah ayat 261:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّاْئَةٍُ حَبَّةٍ۬ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ
Yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
Ganjaran yang amat besar dijanjikan kepada mereka yang berinfaq dan mewakafkan harta kekayaan di jalan Allah dengan tujuan semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Manfaat wakaf yang berpanjangan akan terus berkembang dan bercambah buat pemberi mahupun penerima wakaf selagi mana hartawakaf itu diuruskan dan digunakan dengan baik.
Sesuai dengan amalan berwakaf yang dituntut oleh agama demi kebahagiaan di dunia dan akhirat kita semua, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah melancarkan Wakaf ASNB pada Oktober 2021.
Wakaf ASNB membolehkan para pemegang unit ASNB untuk berwakaf dengan unit amanah ASNB bagi tujuan kebajikan, pembangunan masyarakat dan ummah, dan juga ekonomi.
Cara untuk menyertai Wakaf ASNB ini cukup mudah, pewakaf tidak perlu mengeluarkan tunai dan boleh terus berwakaf menggunakan unit amanah ASNB mereka yang sedia ada melalui cawangan ASNB atau secara dalam talian di portal dan aplikasi myASNB.