Kerohanian

4 Amalan Mudah Boleh Bawa Kita Ke Syurga. Antaranya Baca Doa Selepas Wuduk

Share

Jalan ke syurga, ada banyak cara. Tak semestinya kena sedekah wang yang banyak atau solat berjemaah di masjid lima waktu setiap hari.

Malah ada amalan yang cukup ringkas namun boleh membawa kita ke syurga firdausi. Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsi amalan ini dalam laman sosial Facebook milik beliau:

1. Baca doa selepas berwuduk

Ramai yang meremehkan hal itu, sedangkan rugi andai kita meninggalkannya. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang mengambil wuduk, dan kemudian dia membaca ‘Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh’, maka ALLAH akan membuka baginya lapan pintu syurga dan dia boleh memilih untuk memasukinya dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Menjawab setiap lafaz azan

Barangkali ada yang mendengar azan, tetapi langsung tidak berusaha untuk menyahutnya. Hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Selepas ini, apa kata kita berusahalah untuk menjawab seruan mulia itu ketika ia dilaungkan oleh muazin. Ini kerana perkara tersebut ada diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dalam sebuah hadis yang panjang.

Pada akhir hadis berkenaan, Baginda SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat demikian: “Maka telah pasti ke atas dirinya syurga.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

3. Membaca ayat Kursi selepas solat

Usai mendirikan solat, usah cepat-cepat beredar dari tikar sembahyang. Sebaliknya, bacalah ayat Kursi terlebih dahulu.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

4. Beri salam apabila masuk rumah

Sekalipun tiada orang di dalam rumah, berilah salam sebelum kita memasuki kediaman berkenaan.

Sabda Baginda SAW: “Terdapat tiga golongan yang dijamin oleh ALLAH sekiranya dia hidup, dia akan diberikan rezeki dan kecukupan, dan sekiranya dia meninggal, ALLAH akan memasukkan dia ke dalam syurga. Yang pertama: Sesiapa yang memasuki rumah dan memberi salam kepada ahli keluarganya, maka ALLAH memberi jaminan baginya…” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Lihat, betapa mudahnya amalan yang disarankan tersebut. Bergantung kepada kita untuk melakukannya atau tidak.

Tidak salah membuatnya perlahan-lahan, lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan rutin kita selepas ini.

Sumber: Dr Ahmad Sanusi

Published by
Team Kashoorga