Wajah yang kelihatan awet muda sememangnya menjadi impian ramai orang. Kecantikan bukan hanya boleh dipelihara melalui teknologi kecantikan sahaja. Melalui amalan harian yang dianjurkan oleh Islam juga, kita mampu menjadikan wajah kelihatan awet muda.
Gabungan penjagaan wajah serta amalan yang dianjurkan dalam agama Islam menjadikan rutin penjagaan kecantikan jadi sempurna. Berikut amalan-amalan yang membantu wajah kelihatan awet muda.
Petua 1 : Sebelum mandi dan memberus gigi, amalkan petua ini. Urut wajah dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat Nabi tiga kali. Amalkan setiap hari urutan ini.
Petua 2 : Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari yang baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Selain itu amalkan menanam kuku/rambut yang dipotong atau gugur.
Petua 3 : Semasa berdandan di waktu pagi, baca selawat Nabi di kedua tapak tangan dan raupkan ke bahagian wajah berserta niat dalam hati supaya di indahkan wajah seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.
Petua 4 : Agar wajah tampak muda daripada usia yang sebenar, amalkanlah petua ini dengan jujur dan ikhlas. Setiap kali selepas solat subuh, bacalah surah Yusuff, kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja.
Petua 5 : Hafal ayat 35-38 surah Al-Waqiah. Bacalah dalam hati setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.
Melalui amalan-amalan ini In Shaa Allah, aura wajah akan terserlah. Perlu diingatkan juga bahawa kecantikan bukan sahaja tertumpu pada segi luaran sahaja tetapi juga dalaman. Hati yang bersih dan ikhlas akan memancarkan seri wajah seseorang secara semula jadi.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Jangan Tunggu Raya, Cuti Baru Nak Balik Kampung.’ Pengorbanan Gembirakan Mak Ayah Tak Sama Dengan Seribu Kebaikan Lain
‘Jangan tunggu raya, cuti baru nak balik kampung.’ Pengorbanan gembirakan mak ayah tak sama dengan seribu kebaikan lain.
Menggembirakan hati mak ayah yang uzur dan tua adalah sangat dituntut, apatah lagi bagi anak-anak yang tinggal berjauahan daripada ibu dan bapa. Lelaki ini, Zairi Ibrahim, berharap kisah ini dapat menjadi renungan dan iktibar untuk semua.
Artikel Berkaitan: Saat Paling Sedih Dalam Hidup Mak Ayah. Di Sebalik Air Mata Mengalir, Anak Sudah Menunggu Di Syurga
Jangan Tunggu Raya
Ajaib kerap balik kampung
Sebuah renungan untuk kita…
Semasa membeli kuih untuk menyorok (bahasa Kedah untuk sarapan), saya terlihat seorang anak jiran saya yang tinggal di Seremban manakala orang tua masih di kampung.
Saya menegurnya, “Kerap balik kampung, tak menunggu raya atau cuti sekolah?”
Cuti Baru Nak Balik Kampung
Dia berkata,
“Cikgu, walau seribu rakaat solat sunat saya kerjakan, walau beribu sedekah jariah saya berikan, walau seribu kebaikan saya tunaikan ketika saya berjauhan dari orang tua saya, tidak akan sama dengan satu kunjungan melihat emak ayah saya yang telah tua.
Tak akan sama dengan senyuman mereka berdua bila melihat saya melangkah ke pintu rumah, malah tak akan sama dengan renungan puas emak saya melihat saya menyuap nasi berlauk asam pedas, gulai batang pisang yang dimasaknya.
Kepenatan, keletihan meredah hujan dan panas dalam perjalanan yang jauh, ratusan ringgit terkorban untuk petrol dan tol adalah pengorbanan yang tak ternilai pada sisi Allah hanya kerana untuk menggembirakan mereka berdua.
Itu saya rasa lebih baik dari berehat di rumah di depan televisyen, memenuhi hobi dan sukan atau melangut di kompleks perniagaan di hujung minggu.”
Pengorbanan Gembirakan Mak Ayah
Subhanallah…
Jawapannya bagai satu tazkirah yang cukup bermakna untuk menjelas betapa besarnya ganjaran bagi pengorbanan seorang anak, bahkan ia melebihi jihad.
Pada anda yang berjauhan dgn ibu bapa, ambillah iktibar dari hal ini.
Jangan berkira wang ringgit, penat lelah untuk balik berziarah ibu bapa.
Jangan tunggu raya, jangan tunggu cuti sekolah tetapi carilah ruang sekerap mungkin.
Jika tidak pun, buatlah panggilan untuk bercakap sepatah dua sebaik ada kesempatan.
Lebihkanlah memberi keutamaan untuk berziarah ibu bapa dari ziarah yang lain.
Baca Di Sini:
“Ayah Tunggu Mak Di Situ”, Anak Bekas Imam Kongsi Firasat Ibu Sebelum Mayat Ditemui Mengadap Kiblat
Tak Sama
Bagi anak yang tinggal dekat pun, kunjungilah ibu bapa seketika.
Emak saya dahulu yang tinggal berdekatan dengan rumah saya, akan bertanya jika satu hari saya tidak mengunjunginya.
Maka setiap hari saya insyallah, akan ke rumahnya, walau sekadar berpusing motor di laman rumahnya dan dia mendengar bunyi motor saya, cukuplah.
Hanya orang yang telah tua akan merasai betapa mereka merindui anak-anak yang tidak terzahir dengan cara memeluk cium seperti zaman mereka kanak-kanak, tetapi memadailah dengan mengisi pandangan di mata tuanya.
Dengan Seribu Kebaikan Lain
Saya bentangkan kepada anda untuk memikirkan dan mungkin anda boleh menyelami lebih jauh dengan membaca nukilan saya.
Pada yang masih ada ayah bonda, ziarahlah mereka sekerap kesempatan yang ada sementara kamu boleh melihat mereka.
Kepada ibu bapa kita yang telah pergi meninggalkan kita untuk selamanya, maka basahkan lidah mu dengan zikrullah dan niat hadiahkan kepada mereka…
Semoga bermanfaat…
*Terima kasih kepada penulis asal almarhum cikgu Abd Ghani Haron yang memberi kesedaran kepada kami.
~Al-fatihah~
Sumber : Zairi Ibrahim
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ada Yang Pertikai Lafaz Akad Nikah Hanya Sebut ‘Aku Terima’, Ini Penjelasan Dr Zulkifli
Rentetan berita dan video pernikahan artis veteran terkenal baru-baru ini ada yang mempersoalkan lafaz akad nikah yang ringkas diucapkan oleh pengantin lelaki. Lafaz hanya ‘Aku Terima’ dilihat terlalu ringkas malah dipertikaikan sama ada sah atau tidak akad nikah tersebut.
Persoalan tersebut dijawab panjang lebar oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri.
Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).
Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).
Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.
Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً
Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.
Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Sumber: maktabahalbakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Imam Pakai Baju Singkat & Nampak Aurat, Ini Hukumnya Yang Perlu Makmum Tahu
SOALAN:
Apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah semasa solat berjamaah. Ini kerana imam memakai baju t-shirt yang mana jika sujud, akan terdedah sedikit dari bahagian aurat. Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Umat Islam dituntut untuk menutup aurat ketika hadir ke mana-mana masjid. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah (menutup aurat) setiap kali memasuki masjid.” [Surah Al-A’raaf (31)]
Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. [Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji (1/124), Al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 206)]
Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut. Justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih dari najis di dalam solat yang didirikan. Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau tidak meyakini bahawa solat imamnya itu batal. Sama ada batal disebabkan hadas, tidak menutup aurat, atau selainnya. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji (1/179)]
Justeru, sekiranya makmum tidak mengetahui yang solat imam terbatal disebabkan terdedahnya aurat, maka solat mereka adalah sah. Ini kerana dalam kes seperti ini, yang batal adalah solat imam manakala solat para jemaah yang menepati syarat dan rukun solat tidak batal. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ
“Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun apabila mereka salah, kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka (para imam) mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka).” [Riwayat Al-Bukhari (694)]
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa sekiranya seorang makmum itu melihat aurat imam yang terdedah di dalam solat, dan dia risau sekiranya dengan menegur imam akan timbul tasywisy (kacau bilau) dalam kalangan jemaah, maka dia hendaklah mufaraqah (berpisah atau keluar) dari solat berjemaah tersebut. Namun hendaklah makmum tersebut menegur imam sesudah solat supaya imam memastikan pakaian yang dipakai semasa solat adalah menutup aurat.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI