Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam.” (Riwayat Bukhari)
Ada ketikanya kita diuji dengan sikap manusia. Yang suka membuat onar dan menyakiti hati kita. Kadang dengan kata-katanya dan tak kurang dengan perbuatannya. Akibatnya kita merasa terlalu sakit hati dan mahu membalas dendam.
Para penyelidik dari Glasgow Caledonian University and Edinburgh Napier University telah menemukan kajian bahawa menyimpan dendam dapat meningkatkan rasa sakit hati walau pun rasa sakit tersebut tidak ada kaitannya dengan dendam anda.
Apakah cara terbaik menghilangkan dendam?
Menyimpan rasa dendam umpama menggenggam bara api. Semakin lama menggengamnya, luka akan semakin parah. Justeru itu kita kena belajar melepaskannya agar tidak menyakiti hati sendiri. Memang tak mudah tapi bukan juga mustahil tak boleh dilakukan. Jika ingin melepaskan dendam di hati, buatlah beberapa langkah ini.
Untuk melepaskan dendam di hati, kita mesti ada perasaan memaafkan kepada individu yang menyakiti hati kita. Memaafkan bukan bererti kita bertolarasi perbuatan salahnya tetapi dengan belajar memaafkan, kita memutuskan rantai emosi terhadap orang tersebut.
Apa yang berlaku tak mungkin dapat diulang semula. Anda harus menenerima kenyataan tersebut. Apa pun kesan dari perbuatan orang terhadap anda, belajarlah menerimanya walau pahit. Bila sudah belajar menerimanya, anda akan mudah memaafkan, baik dengan atau tanpa permintaan maaf dari orang tersebut.
Satu hikmah dari permusuhan ialah, anda sudah membuang dirinya jauh-jauh selepas kejadian itu. Bersyukurlah Allah memberikan tanda lebih awal agar tidak meneruskan perhubungan dengannya lagi.
Berbicara dengan seseorang akan melegakan. Walau hati disakiti dan kita berdendam namun berkongsi cerita itu untuk melepaskan tekanan perasaan tidak salah. Sekurangnya rasa sakit hati dan dendam itu akan berlalu pergi.
Kadang, ada sebab seseorang itu sengaja mencari gaduh dengan orang lain. Mungkin dirinya kekurangan kasih sayang, tidak diberi perhatian dan dirinya sengaja berbuat begitu untuk orang memberi perhatian kepadanya. Walau nampak menyakitkan hati tetapi kita tak akan faham selagi tidak duduk di tempatnya.
Tapi sebaiknya, jika di dalam hati mula ada rasa tidak puas hati dengan orang lain, dendam atau apa sahaja urusan, maka bacalah zikir berikut iaitu: “Hasbunallah wa ni’mal wakil” yang bermaksud, “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami).”