Mengejar kemewahan dunia bukanlah tujuan utama kita dihidupkan. Akhirnya, hanya helaian kain kafan putih membaluti jasad peneman di alam barzakh.
Jika kita selalu ingat akan jenazah kita semasa mati nanti, sudah tentu kita tidak perlukan kekayaan material dunia. Memadai dengan segalanya mencukupi bagi keperluan kita dan keluarga. Jika ada pun rezeki kemewahan melimpah ruah, itu sebenarnya bukan untuk kita. Allah salurkan menerusi kita agar memberikannya kepada orang lain yang memerlukan.
Artikel berkaitan: Bolehkah Kafan Kan Jenazah Gunakan Kain Selain Putih?
Artikel berkaitan:Elak Kalut, Panduan Persediaan Awal Urus Ahli Keluarga Meninggal Dunia
Keinsafan seperti ini sangat tinggi nilainya. Dan tentu sahaja perkongsian ringkas puan Rohamiah Muda dari Politeknik Ibrahim Sultan yang juga pakar menguruskan jenazah ini membuatkan kita terbangun dari lena.
Kita ikuti entri di facebooknya semasa menunjuk ajar cara memotong ‘pakaian’ jenazah baru-baru ini.
Antara kepakaran seorang pengurus jenazah ialah memotong kain dijadikan baju untuk jenazah. Bagi jenazah wanita, perlu disediakan lima lapisan kain, iaitu kain bawah dua helai, kain dalam, baju dan telekung.
Baju dan telekung perlu digunting. Bajunya digunting dengan memotong bahagian leher dan lengan sahaja.
Tudung pula, cukup dibuat bulat di bahagian tengah. Namun, ada juga sesetengah waris yang pakaikan telekung solat untuk jenazah. Inilah pakaian kita suatu hari nanti.
Kawan, pakaian kita ketika menjadi jenazah adalah sama sahaja. Tiada beza. Kain putih membaluti tubuh. Itulah harta yang dibawa hingga ke kubur.
Tidak perlu kita bermegah dengan harta dunia yang ada. Berapa duit kita di dalam bank, itu semua kita tidak bawa. Bahkan, ahli waris yang akan guna harta kita.
Orang yang cerdik adalah orang yang ada saham dunia dan akhirat. Jadi, di samping kita menyimpan ke dalam bank dunia, jangan lupa bank akhirat perlu juga ada simpanan.
Hidup selepas mati adalah lebih bererti daripada hidup di dunia ini. Bina masa depan dengan merancang kehidupan selepas kematian.
Kashoorga: Mati itu pasti. Mengingati mati adalah perkara yang diharuskan kerana kita akan sentiasa berwaspada dalam segala tindak tanduk semasa hayat agar tidak melakukan dosa. Bekalan pahala yang dikumpul, itu lah harta yang kita akan bawa ke akhirat kelak.