5 Perkara Ini Kena Buat Bantu ‘Suburkan’ Alam Rumah Tangga

Share

Ibarat pokok yang memerlukan baja untuk terus hidup begitu jugalah dengan alam rumah tangga. Perlu dijaga agar terus hidup dan ‘berkembang.’ Kata pepatah, sedangkan lidah lagi terigigit, inikan pula suami isteri. Pepatah ini ada benarnya kerana tiada hubungan yang sentiasa sempurna. Tak dapat tidak, pasti ada gelora yang melanda.

Tidak perlu tunggu hari-hari istimewa kerana dalam alam rumah tangga, setiap hari adalah hari istimewa. Berusahalah untuk ‘meremajakan’ hubungan suami isteri agar ikatan yang dibina mampu kekal hingga ke Jannah.

Ada banyak perkara yang boleh dilakukan bersama bagi menyuburkan kasih sayang suami isteri. Jadikan ia amalan dalam kehidupan seharian.

Solat subuh berjemaah
Usahakan untuk solat subuh bersama-sama sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Jika tidak sempat pada hari bekerja, lakukan amalan solat berjemaah ini pada waktu hujung minggu di mana masing-masing tidak dihambat dengan waktu lantaran masing-masing sibuk bersiap ke tempat kerja.

Mengaji al-quran bersama-sama
Suami boleh mengajar isteri mengaji jika isteri belum lancar bacaannya. Dengan cara ini anda berdua akan lebih rapat lagi. Lagi pun sememangnya tugas seorang suami untuk mendidik dan membentuk isteri ke arah yang lebih baik. Jika suami tidak pandai mengaji, isteri boleh ajar suami. Tak ada salah pun isteri mengajar suami mengaji.

Suami bantu isteri buat kerja rumah
Kerja-kerja rumah bukanlah tugas hakiki seorang isteri. Oleh itu para suami, ‘ringan-ringankanlah tulang’ untuk membantu isteri membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian, mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Dengan cara membantu meringankan kerja-kerja rumah, isteri akan rasa lebih disayangi oleh suami. Secara tidak langsung ia turut membantu menyuburkan kasih sayang suami isteri.

Ungkapkan dengan kata-kata
Jangan malu ucap tanda sayang pada pasangan. Katakan betapa berharga dan istimewanya pasangan anda di atas semua yang dilakukannya untuk anda dan anak-anak. Ungkapan tulus sama ada daripada suami mahupun isteri menjadi ‘muzik’ yang menyejukkan jiwa. Jadi ekspresikan kebahagiaan anda terhadap pasangan masing-masing dengan ungkapan kata-kata yang indah.

Sentuhan ikhlas
Selalu-selalulah sentuh pasangan masing-masing. Contohnya seperti ciuman, pelukan atau sekadar membelai lembut rambut pasangan. Perhatian amat diperlukan oleh setiap insan agar diri rasa dihargai. Para suami dan isteri, rajin-rajinlah mengurut lembut belakang pasangan masing-masing.. Pastinya anda akan rasa cukup disayangi dan dihargai. Dalam masa yang sama, masing-masing pun dapat pahala.

Published by
wan erni