“6 Bulan Yang Cukup Singkat Tapi Sungguh Aku Bahagia”, Isteri Kongsi Kesedihan Suami Dijemput Illahi Pada Usia Muda 20 Tahun

Share

Innalillahiwainailahirojiun.

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

Pemergian mengejut pagi tadi anak kedua pendakwah terkenal Indonesia Allahyarham Kiyai Haji Muhammad Arifin Ilham (pendakwah ini meninggal di Pulau Pinang pada 2019 ketika mendapatkan rawatan kanser limfoma) nyata mengejutkan banyak pihak.

Baru berusia 20 tahun, allahyarham Ameer Azzikra diberitakan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi hati. Apa yang menyedihkan, anak muda yang juga pendakwah ini hanya sempat melayari hubungan rumahtangga hampir enam bulan saja bersama isteri, Nadzira Shafa.

Perkahwinan pasangan muda ini mendapat liputan meluas media kerana arwah merupakan anak ulama terkenal Indonesia, Ustadz Arifin Ilham. Hanya kenal tiga bulan saja sebelum bernikah selepas Subuh kerana memenuhi permintaan arwah Abinya yang mahu anak-anak berkahwin selepas solat Subuh.

Berkongsi kesedihan dialami akibat pemergian mengejut suami dicintai, isteri Ameer berkongsi luahan hati terhadap lelaki yang telah mengajarnya erti bahagia sebenar-benarnya.

“Sayang, kamu hadiah terindah dalam hidupku , seperti kataku bahawa hidupku selalu banyak kejutan.Dan kepergianmu sungguh itu menyakitkan.
Tapi aku ikhlas Allah kirim aku untuk membuatmu bahagia sebelum kamu pulang. Dan Allah kirim kamu untuk aku terus belajar untuk ikhlas dan selalu tabah. 6 bulan yang cukup singkat tapi sunggguh aku bahagia. Selamat jalan suamiku. Sampai bertemu di sisi yang lain,” kongsinya di instagram @enazirashf.

Pasangan suami isteri ini memang sering menjadi tumpuan media berikutan keluarga allahyarham Ameer adalah golongan agamawan yang disegani masyarakat. Ameer yang juga pendakwah di Pasentren Az Zikra, Bogor Jawa Barat yang ditinggalkan oleh ayahnya (menguruskan pasantren itu bersama abangnya Alvin Faiz).

Selain berdakwah, arwah merupakan pengusaha madu. Kisah singkat cinta mereka (kenal tiga bulan terus bernikah) turut mendapat liputan meluas media.

Kisah cinta pasangan ini bermula dari saling “mengikut” di Instagram masing-masing dan kemudian mereka bertemu buat kali pertama di majlis Zikir Akbar di Masjid Az Zikra. Malah dalam satu temubual, Allahyarham Ameer menjelaskan sebab antara mengapa dia segera bernikah adalah selepas mendapatkan nasihat dari para guru dan ulama.

Pasangan ini selamat bernikah pada 10 Jun lalu lalu selepas solat Subuh kerana allahyarham Abinya (Ustadz Arifin Ilham) pernah menyuarakan keinginan melihat anak-anaknya bernikah selepas solat Subuh ditunaikan.


Abang sulung arwah merupakan influencer terkenal Indonesia (juga seorang pendakwah) iaitu Alvin Faiz yang pernah terpalit beberapa kontroversi termasuk isu perceraiannya dengan bekas isteri, Larissa Chou selain isu dadah (namun dinafikan pengurusnya).

Bahkan pemergian Ameer turut mendapat ucapan takziah dari pendakwah terkenal, Ustadz Abdul Somad yang menulis.

Anaknya lembut, baik, sopan. Allah lebih sayang pada Amer. Tak layak bagi orang yang masih dalam penjara lebih kuat tangisnya melepas orang ke luar penjara. Engkau sudah lepas dari huru hara dunia yang penuh dengan fitnah ini Amer.

Al-Fatihah untuk Amer bin KH. M. Arifin Ilham
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه

Arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan yang turut menempatkan arwah ayahnya di Gunung Sindur, Jawa Barat. Moga arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Published by
almaswa Haji Che Ros