9 Jenis Zakat Wajib Kita Dilunaskan Bila Cukup Syaratnya

Share

Secara umumnya, zakat yang diterjemahkan dari bahasa Arab bererti pertumbuhan, berlipat ganda, atau bertambah. Perkataan ‘zakat’ juga membawa maksud kesuburan, penyucian, dan penuh keberkatan (baraqah).

Kewajipan berzakat ini terangkum dalam rukun Islam seiring dengan solat dan puasa yang wajib dilaksanakan oleh individu beragama Islam.

Namun tak dinafikan masih ramai yang memahami zakat hanya setakat zakat fitrah. Sedangkan hakikatnya terdapat lapan lagi jenis zakat yang perlu difahami dan lunaskan oleh umat Islam bila cukup syaratnya.

Secara umumnya syarat wajib mengeluarkan zakat adalah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab, cukup haul dan harta yang berkembang. Bila mana cukup syarat yang dinyatakan zakat-zakat berikut wajib dikeluarkan.

Zakat Pendapatan

Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha, secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. (Kredit Foto: freepik)

Zakat Perniagaan

Manakala zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.

Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat pertama, Muslim.

Manakala perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.

Di samping itu, syarat khusus lainnya kepada kewajipan zakat perniagaan adalah sempurna milik, cukup nisab, cukup haul, niat berniaga serta barang perniagaan dan perkhidmatan yang halal.

Zakat Wang Simpanan

Wang merupakan harta cair yang boleh digunakan dalam hal pertukaran, ukuran nilai dan tabungan. Malah, wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu bentuk kekayaan yang memberi kuasa membeli.

Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.

Zakat Saham

Saham adalah satu bentuk aset kewangan yang baharu yang tidak wujud pada zaman dahulu. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian.

Umumnya, memiliki dan berurusniaga dengan saham adalah dibenarkan di sisi syarak, asalkan ianya terhindar dari aktiviti haram seperti riba, gharar, judi dan arak. Para ulama telah menetapkan saham itu wajib dizakatkan oleh kerana nilai dan kekayaan seseorang boleh dibentuk dengan aktiviti jual-beli atau memiliki saham.

Zakat KWSP

Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diwajibkan zakat (setelah memenuhi syarat-syaratnya) kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa, justeru ia tidak memenuhi syarat “Sempurna Milik”.

Namun syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP).

Kewajipan zakat juga tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.

Zakat Emas

Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli.

Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.

Zakat yang dikenakan ke atas emas termasuklah yang berbentuk emas perhiasan dipakai (tertakluk kepada kadar uruf 800gm), emas yang disimpan dan juga emas pelaburan.

Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. (Kredit Foto: freepik)

Zakat Perak

Logam perak (silver) merupakan logam yang berharga dan berguna. Pada masa dahulu, perak telah digunakan sebagai alat tukaran (wang) dalam urusan jual beli.

Walaupun kegunaan perak pada zaman moden telah berubah berbanding zaman dahulu, namun fizikalnya yang masih kekal sebagai alat simpanan nilai dan simbol kekayaan seseorang.

Justeru kewajipan syariat zakat ke atas perak kekal termaktub dan seharusnya ditunaikan oleh orang Islam apabila memenuhi syarat-syaratnya. Zakat yang dikenakan ke atas perak termasuklah yang berbentuk syiling perak, jongkong perak, perkakasan dibuat daripada perak, barang perhiasan dibuat daripada perak serta barang kemas perak dan sebagainya.

Zakat Pertanian

Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Bila mana Allah mengarahkan manusia untuk menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang telah diberikan, maka sudah tentulah umat Islam yang beriman menunaikannya dengan mengeluarkan zakat dari sebahagian dari hasil tanam-tanaman mereka.

Kredit Foto: freepik

Zakat Fitrah

Zakat fitrah ialah zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadan. Perintah menunaikan zakat fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna.

Sebenarnya, zakat fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki.

Oleh sebab itu, tidak disyaratkan pada zakat fitrah seperti apa yang disyaratkan pada zakat harta, seperti nisab, haul dan sebagainya.

Zakat fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu. (Kredit Foto: freepik)

Kesimpulannya, amalan berzakat secara tak langsung boleh membiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil.

Amalan berzakat merupakan suatu bentuk pembersihan harta dan penyucian jiwa bagi pengeluar zakat. Ia juga dapat menambah keberkatan harta dan tidak sesekali akan menguranginya.

Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.” [HR Muslim]

Published by
webadmin