“Abah Minta Diwudhukan Sebelum Ditolak Ke ICU & Itulah Permintaan Terakhir”, Perkongsian Dr Ini Buat Ramai Sebak

Share

Tiada apa yang lebih menyedihkan saat diuji dengan pemergian orang tersayang. Apatah lagi ia berlaku saat dunia diuji dengan wabak COVID-19 yang telah banyak memisahkan ibu dan ayah, anak dan keluarga yang maut angkara wabak ini.

Dalam satu perkongsian oleh seorang doktor, Dr Sakinah Kamarul Bahrin di IGnya, Sakinah_kb, doktor perubatan yang lengkap mengenakan sut PPE dilihat sempat mewudhukan ayahnya, IR Kamarul Bahrin bin Mohamad yang juga Pengarah Unit Mekanikal & Elektrik di Jurutera Perunding Zaaba Sdn Bhd, sebelum ditolak masuk ke Unit Rawatan Rapi akibat dijangkiti COVID-19.

Ternyata permintaan berwudhu yang diminta oleh bapanya itu menjadi permintaan terakhir apabila diberitakan meninggal dunia semalam selepas berjuang melawan wabak ini namun Allah menyayangi segala-galanya.

Melalui video yang dimuatnaik di laman Instagram @sakinah_kb, Dr Sakinah memaklumkan, ia merupakan permintaan ayahnya beberapa minit sebelum ditempatkan ke ICU yang dilihat agak lemah kerana kesukaran bernafas. Video ini telah ditonton oleh sejuta orang dan ramai yang memberinya kata-kata semangat untuk mereka sekeluarga kembali sembuh selepas ibunya dan enam lagi ahli keluarganya diuji positif COVID-19.

Dan sehari selepas dimasukkan ke ICU, Allah lebih menyayangi ayahnya dan ucapan perkongsian itu membuatkan ramai yang sebak.

Memaklumkan yang “penderitaan” abahnya berakhir dengan baik, Dr Sakinah turut memakkumkan arwah sempat berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu dan masalah kesihatan ini hanya dikesan pada penghujung Ramadhan.

“Alhamdulillah, ramai yang sayang abah. Terima kasih Allah atas segala kurniaan ini,” katanya sambil menambah dirinya sempat bercakap dengan abahnya agar tidak perlu risau dengan semua yang berlaku.

“Semua urusan di dunia ini Nor akan ambil alih, jangan risau. Kami akan urusakan. Mak, adik, Aizat akan kami jaga sebaiknya. Terima kasih abah kerana redha dengan Nor,” katanya yang menambah dirinya meminta maaf kerana membuat keputusan menghantar abahnya ke ICU.

Sambil mahu masyarakat mempercayai COVID-19 itu perkara benar-benar berlaku, dirinya mahu masyarakat menjaga penjarakan fizikal supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti virus membunuh ini.

Published by
almaswa Haji Che Ros