“Abah Nampak Padang Mahsyar Masa Koma & 3 Malam Berturut-Turut ‘Cahaya’ Datang Nak Cabut Nyawa”

Share

Tidak dinafikan setiap insan yang hidup itu akan mati dan bertemu penciptaNya. Cuma kita tidak tahu bila, di mana dan bagaimana. Kalau belum sampai masanya, mungkin Tuhan hanya menguji dengan memberi sedikit kesakitan agar kita tidak alpa padanya.

Seperti juga perkongsian pengguna twitter yang menggunakan nama @HuzairyHasry di mana dia menceritakan kisah ayahnya yang pernah terlibat dengan sebuah tragedi hingga menyebabkan koma selama beberapa bulan.

Dan dalam tempOh itu, ayahnya itu telah menghadapi beberapa peristwa yang mendatangkan keinsafan padanya. Alhamdulillah ayahnya sudah terjaga dari koma dan masih panjang untuk terus bersujud padaNya Yang Maha Esa.

Ayahnya kini sudah semakin sembuh.

Sebelum itu, ayahnya terbabit dalam kemalangan jalan raya sekitar Mac 2018 lalu. Ternyata kisah di sebalik koma ini begitu menginsafkan. Ayahnya memberitahu melihat keadaan syurga dan neraka.

Abah cerita pengalamannya ketika koma, tak semua dapat peluang kedua dari Allah

Koma dalam sebulan lebih, didatangi To Wan (ayah abah) tanya ‘dah ready ikut dia tinggal dunia’

Ayah kata ada orang bawa pergi Padang Masyar, ramai manusia tunggu amalan untuk dihisab

Nampak neraka dan syurga. Di neraka panas melampau & manusia dihumban begitu saja

Ramai dalam neraka itu mereka yang suka buat mulut, cerita tak betul sana sini

Nampak pula syurga, semuanya cantik & luas. Bukan itu saja, tetapi juga moden dan high tech

Bila sedar dari koma, rasa dahaga yang teramat sangat

Nurse tak bagi minum sebab lung ada infection dengan berair. Tapi ada nurse lain bagi air melalui kapas

Dapat setitik pun dah kira nikmat, abah kata air kosong paling sedap dari mana-mana air

Abah beritahu 3 malam berturut-turut cahaya masuk dalam bilik CICU, rupanya malaikat tunggu masa nak cabut nyawa

Ikutkan peluang abah untuk hidup memang tipis, Bahagian dalaman banyak alami kecederaan & tulang hancur. Tapi Allah bagi peluang untuk hidup lagi

Abah pesan hidup di dunia kena selalu buat baik, bersedekah tolong orang dan sebagainya. Insya-Allah, Tuhan akan tolong balik. Ramai tak percaya abah hidup balik. Sekarang tengah recovery dan boleh jalan pakai tongkat.

KEADAAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR

1. Adakah orang tidak siuman (gila) dan orang tidak sedarkan diri sepanjang hayatnya akan dikumpulkan di padang mahsyar nanti sama seperti keadaan mereka ketika di dunia?

Mereka akan dibangkitkan dan dikumpulkan di padang mahsyar nanti sama seperti keadaan ketika mereka hidup iaitu dalam keadaan tidak siuman dan tidak sedarkan diri.

Sehingga ada riwayat mengatakan, orang yang luka ketika meninggal dunia akan dibangkitkan dalam keadaan badannya luka. Begitu juga orang yang dipotong tangannya, ia akan dibangkitkan bersama tangannya yang dipotong sehingga terlaksana baginya hukum qisas.

2. Sekiranya seorang perempuan yang hamil meninggal dunia, adakah dia akan dihidupkan di akhirat dalam keadaan hamil? Adakah di akhirat nanti kandungan itu akan digugurkan dan dimasukkan ke dalam syurga?

Atau adakah diambil kira sekiranya kandungan itu sudah tidak bernyawa, dimasukkan ke dalam syurga dan jika belum bernyawa tidak dimasukkan ke dalam syurga?

Ulama mufasirin (ahli tafsir) berselisih pendapat mengenai perkara itu. Pendapat yang lebih jelas berpandukan kepada nas al-Quran dan sunah menyatakan, perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan hamil akan dihidupkan di akhirat nanti dalam keadaan hamil juga.

Syeikh Buqa’iy berkata, dalam firman Allah SWT bermaksud: “…. dan tiaptiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya.” (Surah al-Hajj, ayat 2)

Ayat itu menerangkan bagaimana hebat dan dahsyatnya apabila berlaku kiamat sehingga perempuan yang mengandung walaupun belum cukup bulan akan gugur kandungannya.

Ayat itu tiada kaitan dengan persoalan perempuan hamil yang meninggal dunia. Syeikh Muhammad Ramli menyatakan, yang jelas daripada perbahasan dalam masalah itu dan muktamadnya ialah perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan hamil akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan hamil juga.

Jika anak yang dikandung itu sudah ditiupkan roh, ia akan dimasukkan ke syurga tetapi jika belum lagi ditiupkan roh, maka samalah dia seperti makhluk jamadat (makhluk yang tidak bernyawa) lain yang tiada memberi kesan apa pun.

3. Bagaimana keadaan manusia yang dibangkitkan semula di padang mahsyar kelak?

Semua manusia akan dibangkitkan dan dihimpunkan di padang mahsyar nanti dalam keadaan berbogel.

Walaupun begitu, tidak ada seorang pun yang berkesempatan atau berpeluang untuk melihat aurat orang lain kerana keadaan huru-hara dan suasana kelam-kabut sekali sehingga dia sendiri tidak sedar yang dia juga dalam keadaan berbogel, inikan pula keadaan orang lain.

4. Bagaimana Allah SWT menimbang amalan setiap manusia sedangkan dosa dan pahala itu tidak dapat dilihat dan tidak berjisim?

Ketika Allah SWT menimbang amalan manusia, terlebih dahulu Allah menjadikan segala amalan itu berjisim (supaya senang diketahui berat timbangannya).

Semua amalan anak Adam akan ditimbang di akhirat kelak dengan alat timbangan yang mempunyai dua tadahan.

Setiap satu tadahan mampu memuatkan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

Berat atau ringan timbangan itu akan terbukti walaupun diisi dengan hanya sebiji sawi dalam tadahan sebesar itu. Ini membuktikan Allah itu Maha Adil lagi Maha Berkuasa atas apa yang Dia hendak lakukan.

Sumber: Furu al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun semula Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

SUMBER ARTIKEL: HARIAN METRO

Published by
Siti Zurina Mat Saman