Perancangan untuk membuat majlis perkahwinan sudah diatur sekian lama, sebelum datangnya wabak pandemik COVID-19 ini. Namun “manusia hanya merancang dan Tuhan juga yang menentukan segalanya”
Seperti kisah pasangan ini yang bersepakat untuk menangguhkan majlis persandingan yang sepatutnya dilangsungkan 4 April depan demi untuk kebaikan semua pihak.
Menurut Dr Adham Dan Adnan dia bersama pasangannya Dr Nur Syazwani Mohd Nazir mengambil keputusan ini kerana mengetahui risiko yang bakal dialami sekiranya tetap meneruskan majlis yang telah dirancang lebih awal.
“Majlis ini adalah majlis sambut menantu di sebelah saya. Sebetulnya rancangan untuk menangguhkan dibuat awal Mac lagi iaitu sebelum kerajaam umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam keluarga saya, adik-beradik semua doktor jadi kami tahu macam mana bahayanya wabak COVID-19 ini. Apabila lihat kes makin meningkat dan makin teruk, kami putuskan untuk tidak teruskan kerana tidak mahu jadi penyebar,” katanya kepada Mstar.
Walaupun begitu, dia bersyukur kerana sudah selamat diijabkabulkan bersama pasangannya awal Januari lalu.
Menurutnya mereka bernikah pada 3 Januari lalu dan majlis sebelah perempuan diadakan keesokan harinya juga.
Walaupun telah mengedarkan kad, mereka sekeluarga terpaksa membuat pengumuman penangguhan majlis resepsi di sebelahnya.
Dia yang bertugas di hospital di Kelantan reda dengan situasi ini walaupun terpaksa menanggung kerugian atas keputusan menangguhkan majlis berkenaan.
“Semua dah diraancang tapi terpaksa ‘burn’. Dewan, jurumekap, jurufoto kalau ikutkan semua dah bayar deposit.
“Disebabkan keputusan ini dilakukan sebelum PKP, ada sesetengah daripada mereka seperti keberatan…ada yang kata tak boleh nak batalkan, jadi kami terangkan elok-elok. Mungkin masa itu mereka tak nampak gambaran bahayanya wabak ini lagi,” katanya yang reda walaupun kena burn kerana bagi mereka nyawa lebih penting dari segalanya.
Menurut anak bongsu dari tujuh beradik ini, keputusan turut disokong ahli keluarga dan merasakan keputusan dibuat adalah betul dan tepat.
“Ayah ada tanya sama ada nak buat kecil-kecilan atau tangguh ke hujung tahun. Masa itu macam-macam cadangan keluar, ada yang cadangkan majlis diteruskan tapi buat pack food sahaja untuk tetamu, tapi nampak pelik. Akhirnya semua sepakat tangguh,” tambahnya yang ingin menyampaikan apa yang boleh buat masa ini semua pihak bertanggungjawab bersama untuk cegah COVID-19 ini.