
Isi Kandungan
ToggleAgama Islam kaya dengan peradaban yang tersendiri. Malah itulah sebenarnya kelebihan agama Islam kerana dari setiap sudut, telah sempurna segala adab yang telah ‘disusun’ dengan lengkap.
Antara adab yang perlu diberi perhatian terutama oleh kaum wanita ialah adab menjemur pakaian dalam. Melihat pakaian dalam tergantung di depan mata dengan pelbagai saiz dah tentu memberi bayangan yang macam-macam di fikiran orang yang melihatnya. Atas sebab itulah Nisa Azman menekankan perkara ini.
Adab menjemur pakaian dalam untuk elak fitnah
Mohon sebarkanlah pada adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan. Nasihat isteri dan anak-anak perempuan kita sebagai menjaga adab dan maruah.
Pakaian dalam ialah pakaian terlindung, dah nama pun pakaian dalam sebaiknya pakaian dalam ini lebih lagi milik wanita elakkan jemur di tempat yang boleh jadi pandangan umum agar tak menimbulkan fitnah.
Sangat tak best dan tak beradab kalau wanita di dalam rumah bertudung malah bertudung labuh tetapi pakaian dalam terdedah di jemuran hingga dilihat lelaki bukan mahram. Nama pun pakaian dalam kan harus terlindung.
Jemurlah di tempat terlindung
Bagaimana kita melindungi tubuh dari dilihat, sepatutnya begitulah kita jaga dalam bab adab menjemur pakaian. Carilah tempat yang agak tertutup sebab pakaian dalam ini kecil dan ringan saja Insya Allah cepat kering.

Pakaian dalam ini bukan saja perlu dilindungi dari tatapan jiran tetangga atau orang luar tapi juga ahli keluarga yang bukan mahram termasuklah sepupu, abang ipar, adik ipar, biras mahupun kawan-kawan.
Jika mereka datang bertandang, angkat dan letaklah di tempah terlindung dari pandangan. Moga kita menjadi Mukmin yang terbaik, beradab dan sentiasa menutup pintu fitnah juga menjaga maruah diri. Amin
Sumber kredit: FB: Nisa Azman
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Tarik Perhatian’ Dengan Cara Dekatkan Diri Pada Allah. Elok Amal 15 Tip Ini Ketika Hadapi Masalah!

Semua orang ada masalah, tinggal bagaimana seseorang itu mampu ‘menguruskan’ masalah dengan baik.
Berikut 15 tip ketika menghadapi masalah. Moga-moga masalah itu tidak terus membelenggu diri dan akhirnya menjadi ‘racun’ dalam diri.
1. Pertama sekali, terus paksa diri untuk ambil air wuduk dan solat. Boleh rujuk surah Al Baqarah ayat 45. Allah s.w.t sendiri bagi tips terbaik, mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan solat.
2. Bila ada masalah, tika air mata mengalir. Saat itu satu saja yang boleh selesaikan masalah kita. Sedarilah bukan duit, bukan orang, bukan apa-apa melainkan Allah.
3. Selalu masalah datang dari pelbagai arah. Bertalu-talu. Kita tidak perlu fikir solusi, strategi atau pening nak buat apa. Jawapannya ketika timbul masalah adalah banyakkan Istighfar. Istighfar dulu. Solusi Allah akan bagi.
Minta ampun pada Allah. Kurangkan dosa kita. Diantara penyebab hidup kita selalu ada masalah, ini kerana kita kurang rahmat Allah dalam hidup atas akibat dosa kita.
4. Tarik perhatian Allah. Jemput rahmat Allah melalui mulakan menjaga amalan wajib. Solat 5 waktu saja tidak cukup, kalau boleh solat awal 5 waktu. Tambahkan dengan amalan-amalan sunat terutama Tahajud.
Lihat saja surah Al Isra dan Muzammil, betapa Allah tidak sebut solat sunat nafilah atau sebagai ‘tambahan’ selepas solat fardhu melainkan bangun malam.
Tunjukkan pada Allah, yang kita benar-benar mahu masalah kita selesai.
5. Banyak hutang, masalah rumahtangga, belum ada jodoh, belum ada rezeki anak, belum ada kerja dan bisnes down. Bangun Tahajud. Luahkanlah perasaan kita pada Allah ketika semua orang sedang tidur.
6. Jangan hanya baca doa yang kita hafal. Ajak berbicara dengan Allah dalam doa. Allah suka dengar hambaNya mengadu padaNya. Dia suka. “Ya Allah, saya ada itu dan ini..”
Ceritakan masalah kita dari awal. Seperti bercerita dengan kawan rapat. Luahkan semuanya.
7. Allah uji tanda sayang. Bila masalah datang, dan terlalu banyak sampai kita tak mampu nak buat apa-apa. Sebutlah, “Innalillahi wa innalillahi rojiun”.
Kita tak boleh buat apa-apa. Jawapannya adalah Redha. Ya redha dulu dengan apa yang dah berlaku. Redha kita dalam situasi tersebut. Kita bukan tuan apatah lagi Tuhan. Reda.
8. Nabi Sulaiman alaihi salam juga pernah alami situasi sejatuh-jatuhnya. Boleh rujuk kisahnya surah Sod ayat 33 hingga 36. Biasanya kita sering dengar orang sebut,
“Ya Allah, tolonglah bantu aku bayar hutang kali ni saja. Aku cuma nak hutang aku lunas.”
“Ya Allah, aku ada masalah besar. Lepaskan aku dari masalah ini ya Allah.”
SubhanaAllah, Nabi Sulaiman a.s ketika down, dia tak minta hanya selesaikan masalah dia saja. Kerajaan dia hilang. Justeru, Nabi Sulaiman a.s meminta pada Allah,
“Qala rabbi ighfir li wahab li mulkan la yanbaghi liahadin min ba’aadi innaka anta alwahhab.”
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya.”
Maksudnya, ketika ada masalah. Jangan bersedih, istighfar dan mintalah yang besar-besar dari Allah.
Contoh, “Ya Allah selesaikanlah masalah hutangku dan bagi aku kemampuan ya Allah untuk selesaikan masalah hutang orang lain.”
“Ya Allah aku redha dengan apa yang dah hilang, gantikanlah aku yang baru, yang jauh lebih baik dan ubahkanlah hidupku ya Allah.”

9. Sentiasa zikir “La haula quwwata billah”. Biasakan baca selawat. Ini kerana selawat akan meleraikan segala masalah. Amalkan selawat Syifa dan Tafrijiyyah.
10. Jumpalah orang yang soleh. Minta nasihat dari mereka. Orang yang baik ada cahaya dalam percakapannya. InshaAllah akan buat hati kita tenang bila dekat dengan orang yang dekat dengan Tuhan.
11. Minta maaflah. Rendahkan ego kita untuk minta maaf jika ada buat salah pada manusia terutama pada emak ayah. Salam dan ciumlah tangan dan dahi mereka, minta doakan kita.
12. Bersedekahlah. Ya sedekah. Semakin banyak masalah, semakin perlu banyak kita bersedekah. Allah akan menggantikan hingga 10 kali lipat. Sekaligus menjaga kita dari bala musibah.
13. Hidup ini untuk menyelesaikan masalah. Life is to solve problem. Itulah kata-kata mutiara barat, tapi kita ubah sikit, “Hidup ini untuk menyelesaikan ujian.” Kita gantikan perkataan masalah kepada perkataan ‘ujian’.
Masalah itu adalah ujian, tapi ujian bukan masalah. Ini kerana kita tahu segala ujian datang dari Allah.
14. Iringi masalah kita dengan taat pada Allah dulu. Mula jaga Quran. Baca dan fahami. Sekaligus praktikkan dalam hidup kita. Kuncinya adalah, “Semakin banyak masalah, semakin taat pada Allah.”
15. Tenangkan hati dulu dengan ingat pada Allah. Selepas itu baru usaha dan ikhtiar. Imbas semula kesusahan kita yang lepas, kita sangka kita tak dapat lepas ujian itu tapi ternyata hari ini kita masih hidup.
Allah selamatkan kita. Yakinlah, kali ini juga Allah pasti selamatkan kita. Bersyukur bila ada masalah, Allah masih sayang kita dan mahu mengangkat darjat kita.
Sumber: Faresh Mael
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hikmah Puasa Sunat Di Hari Isnin Dan Hari Khamis, Dunia Dapat, Akhirat Pun Dapat

Jika anda mahu kelihatan awet muda, bebas penyakit, sekaligus selamat dunia akhirat, cubalah berpuasa Isnin dan Khamis secara teratur. Kebanyakan dari kita tentunya pernah mendengar puasa Isnin dan Khamis sebagai puasa sunnah di dalam Islam. Namun berapa ramai yang benar-benar berusaha secara berterusan melakukan puasa tersebut.
Tidak ramai daripada kita yang tahu hikmah puasa Isnin dan Khamis dari segi spiritual, kesihatan dan keutamaannya di hadapan Allah. Alasan utama mengapa puasa Isnin-Khamis disunahkan dalam Islam ialah kerana Rasulullah sering berpuasa pada dua hari tersebut.
Tahukah anda apakah keutamaan berpuasa Isnin dan Khamis? Ada dua hadis daripada Rasulullah yang berkenaan dengan pemilihan hari Isnin dan Khamis:
Yang pertama, dalam hadis Riwayat Ahmad disebutkan bahawa Rasulullah mengatakan bahawa semua amal dibentangkan di hari Isnin dan Khamis. Oleh kerana itu, sebagai orang beriman, sungguhlah baik bila pada saat malaikat melaporkan amalan kita itu kita sedang berpuasa.
Yang kedua, hari Isnin dan Khamis adalah hari istimewa kerana pada hari itulah Rasulullah dilahirkan, menjadi rasul dan mendapat wahyu (HR Muslim).
HARI ISTIMEWA
Sesungguhnya hari Isnin dan Khamis memang cukup istimewa dalam Islam. Dengan berpuasa di hari Isnin dan Khamis, secara tidak langsung kita melakukan maintenance untuk diri kita secara rutin baik dari segi spiritual mahupun jasmani.
Amalan berpuasa juga mampu meningkatkan amalan. Biasanya seseorang yang kekenyangan cenderung malas beribadah. Puasa menjadikan kita lebih produktif dalam beribadah kerana kita mampu menambah ibadah. Di samping itu, berpuasa juga mampu melembutkan hati. Ini kerana dengan berpuasa, kita cenderung lebih berempati dengan orang-orang yang tidak bernasib baik. Berpuasa menjadikan kita lebih dekat dengan Allah dan lebih bertakwa.
Selain dari keuntungan dari segi emosional spiritual seperti yang dijelaskan di atas, puasa juga memiliki keutamaan dari segi kesihatan. Sudah bukan rahsia lagi bahawa saat ini bahawa amalan berpuasa yang teratur itu baik untuk kesihatan.
MANFAAT UNTUK KESIHATAN

Manfaat kesihatan dari berpuasa yang paling popular adalah amalan berpuasa merupakan cara berkesan untuk membatasi kalori yang masuk ke tubuh kita. Dalam Islam dan bidang kedoktoran, dianjurkan untuk tidak makan berlebihan, kerana makanan yang berlebihan dan tidak sihat boleh menimbulkan penyakit.
Berpuasa juga dapat merehatkan sistem pencernaan kita. Sistem pencernaan kita akan berehat selama kita berpuasa. Sistem detoksifikasi tubuh juga bekerja lebih lancar. Walau bagaimanapun semuanya bergantung kepada niat. Jika niat puasa kita hanyalah dari segi kesihatan, maka itulah yang kita dapat. Namun jika niat puasa kita adalah dalam rangka meningkatkan kualiti spiritual dan mendekatkan diri pada Allah maka tidak hanya kita mendapat fedah daripada kesihatan tetapi juga reda Allah dunia akhirat.
Allah sangat menyukai orang yang berpuasa kerana Allah sehingga Allah menjanjikan gerbang khusus di syurga bagi yang gemar berpuasa, iaitu Ar-Rayyan (H.R Muslim).
Kesimpulannya marilah kita menjadikan amalan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagai satu rutin dalam usaha meraih reda Allah dan salah satu cara untuk meraih jannahNya. Insya Allah dengan puasa yang rutin, kita tidak hanya mendapat balasan di akhirat nanti, tetapi kita juga mendapat keuntungan di dunia berupa kesihatan yang prima dan daya fikir yang jernih.
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Doa Yang Diaminkan Malaikat Ialah Doa Yang Tulus Dan Datang Dari Hati

Doa ialah rayuan kepada Allah. Berdoa juga salah satu cara untuk menunjukkan rasa rendah diri terhadap Allah SWT, selain untuk menunjukkan rasa patuh dan taat kepada suruhan Allah.
Doa merupakan senjata orang Islam selain merupakan talian hayat yang menghubungkan kita dengan Pencipta. Tidak dinafikan kuasa doa amatlah hebat. Magisnya mampu memperkenankan setiap permintaan dan harapan yang kita hajatkan. Maka usahlah jemu untuk berdoa kerana akan tiba masanya nanti Allah akan memakbulkan doa-doa yang kita minta.
Berikut perkongsian daripada Zureiny Zulkafly.
Sementara menunggu giliran untuk membayar di kaunter, mata saya memandang kiri dan kanan juga orang yang beratur di hadapan saya. “Ramai betul orang hari ni,” itu yang terpacul di bibir. Fina yang mendengar turut memandang sekeliling.
Ada yang beli barang penuh satu troli. Mungkin ahli keluarganya ramai. Ada yang beli barang penuh 2 troli. Mungkin dia seorang peniaga. Ada yang beli barang hanya separuh troli. Mungkin itu cara dia berbelanja.
Ada yang beli barang yang boleh dibilang dengan jari. Mungkin hanya itulah yang mencukupi sebagai rezeki. Macam-macam kisah sebenarnya di sebalik troli ni. Saya pandang pula troli sendiri.
Barang yang biasa-biasa sebagai memenuhi keperluan kami bertiga. Setelah ketiadaan arwah suami, saya cuba sedaya upaya mengisi tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dengan sebaiknya. Apa yang ada di dalam troli saya, adalah rezeki saya dan anak-anak. Begitu juga yang ada di dalam troli orang lain. Itulah rezeki masing-masing. Memang tak akan sama.
Kalau difikir betapa susahnya saya hidup tanpa dia, saya pasti ada isteri-isteri di luar sana yang lebih sukar hidupnya. Makan bersukat. Perut diikat. Duit dicatu. Cukup apa yang perlu. Bila pandang troli sendiri, sematkan rasa syukur dalam hati. Bila pandang troli orang lain, doakan yang baik-baik buatnya.
PERNAH MENANGIS DAN MERAUNG
Saya pernah melalui saat-saat perit pada awal tempoh pemergiannya. Saya pernah menangis kerana tidak mampu tunaikan keinginan anak-anak. Memang saya meraung sambil memanggil namanya. Rasa seperti tidak terdaya menunaikan amanah yang dia tinggalkan.
Bila anak-anak meminta, hanya janji yang mampu saya beri. Terasa seperti saya ini seorang ibu yang zalim. Saya ikhtiar apa yang perlu untuk saya mengubah kehidupan. Ianya tak semudah disangka. Halangan akan sentiasa ada. Sehinggalah saya biasakan diri mendoakan orang di sekeliling saya.

Doa yang tulus. Doa yang datang dari hati. Itulah konsep doa yang diaminkan malaikat. Mendoakan yang baik-baik untuk orang lain agar kita mendapat apa yang dihajatkan. Memaaf dan melupakan agar kita juga dimaafkan.
Semua ini perlukan masa. Sentiasa diamalkan agar jadi kebiasaan. Sampai masa yang tepat, doa kita akan dimakbulkan. Selepas ni, sambil tolak troli, kita saling mendoakan yang baik-baik sesama kita. Manalah tahu. Daripada barang yang boleh dikira dengan jari bakal menjadi rezeki yang boleh dikongsi.
Berikut ialah senarai waktu-waktu yang diberkati doanya oleh Allah SWT:
*Ketika waktu hujan (lebat/rintik)
*Ketika berada dalam kesusahan
*Ketika diri dianiaya
*Ketika mendapat kesenangan
*Ketika berdoa di Multazam (kawasan yang terletak di antara Hajarul-Aswad dan Pintu Emas Kaabah di Masjid al-Haramain, Mekah)
*Ketika Hijr Ismail (kawasan lengkung yang terdapat di sisi Kaabah dikatakan tempat istirahat kepada Nabi Ismail/Ishmael ketika membina Kaabah bersama ayahandanya Nabi Ibrahim/Abraham)
*Di sekitar maqam Ibrahim (tempat tinggalan tapak kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah bersama Nabi Ismail)
*Ketika waktu rehat yang terletak di antara dua khutbah (Solat Jumaat, Solat Eidul-Fitri (Solat Hari Raya Puasa) dan Solat Eidul-Adha (Solat Hari Raya Korban)
*Ketika mendoakan kedua-dua ibu bapa
*Ketika waktu sepertiga malam (sekitar pukul 3 pagi sehingga pukul 6 pagi di waktu ambang subuh setiap hari)
*Ketika dalam keadaan bersabar menanggung penderitaan dan kesusahan
*Ketika waktu malam Lailatul Qadar (Malam Qadar), malam yang lebih baik daripada seribu bulan menurut Al-Quran. Pada malam ini, orang Islam peercaya Allah akan memberkati hambanya yang sanggup berjaga malam dan berdoa kepada-Nya semata-mata untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT. Malam Lailatul Qadar masih tidak dapat dipastikan waktunya dengan tepat, namun Nabi Muhammad bersabda agar carilah malam Qadar pada sepertiga malam terakhir pada 27 Ramadan ataupun pada 10 malam terakhir Ramadan)
*Selepas laungan Azan berkumandang
*Sewaktu berada di dalam Masjid (khususnya masjid Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah, Masjid Al-Aqsa di BaitulMaqdis(Jerusalem))
*Ketika besendirian dengan mengingati Allah SWT
*Ketika dalam ketakutan
*Ketika mendapat kejayaan dan kemenangan
*Sewaktu memulakan, berada atau mengakhiri pelayaran
*Sewaktu memakai pakaian dan wangian yang baik-baik kerana Allah SWT
*Sewaktu sujud kepada Allah SWT dalam solat
*Ketika berharapkan sesuatu kejayaan/kemahuan dan meminta keampunan daripada Allah SWT
*Sewaktu melakukan pekerjaan yang baik-baik.
*Sewaktu melawat orang sakit dan mendoakan kebaikan dan kesihatannya
*Doa anak-anak yang soleh
*Sewaktu melawati jiran tetangga
*Sewaktu gerhana bulan
*Sewaktu gerhana matahari
*Sewaktu meminta hujan
*Ketika waktu penganut Islam menunaikan Haji yakni ketika mereka berada di Jabal Rahmah di Padang Arafah, Arab Saudi.
*Dengan menggunakan doa Rasullulah SAW yang telah dianjurkan melalui Al-Quran dan hadis
Sumber kredit: Zureiny Zulkafly
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI