Bercinta, bertunang, bernikah dan dikurniakan bayi yang comel adalah kurniaan rezekiNya. Menimang cahayamata terutamanya merupakan nikmat paling indah. Anak-anak adalah pintu rezeki dan doa anak yang soleh dan solehah akan mengiringi kita ke syurga nanti.
Tatkala ibu selamat melahirkan bayi, perkhabaran baik itu disambut penuh kesyukuran oleh sang ayah, ahli keluarga dan kenalan. Kalau boleh, satu dunia perlu tahu kehadiran si mungil.
Namun dalam kegembiraan tersebut, adab menyambut kelahiran bayi harus diutamakan bagi mendapat redha Allah.
Ayah perlu ambil tahu hal ini. Ikuti perkongsian Ustaz Rahman Iskandar, tentang adab-adab menyambut kelahiran bayi yang ramai ambil mudah.
Gambar sekadar hiasan.
PENYAMBUT BAYI
Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada lelaki Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.
PERSEKITARAN TEMPAT BERSALIN
Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral.
Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.
MENGHEBAHKAN DAN UCAPAN TAHNIAH TANDA GEMBIRA
Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira
Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:
“Moga engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia (bayi) akan membesar (dewasa).”
Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:
“Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini (mendapat anak juga).”
AZAN DAN IQAMAT
Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi menyatakan yang nabi berbuat demikian ketika kelahiran al-Hasan bin Ali.
Ads
Ada yang mengkritik hadis ini kerana statusnya dho’if. Bagaimanapun, Ibn al-Qayyim menggalakkannya kerana biarlah si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.
Tahnik atau membelah mulut digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya ialah dengan mengunyah tamar atau melumatkan tamar dengan jari, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian lelangit bayi.
Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis. Hikmahnya ialah untuk menguatkan gusi, urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu.
Sunnah tahnik adalah berdasarkan sepotong hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dilaporkan Abu Musa r.a. berkata: “Aku pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.”
MENCUKUR RAMBUT BAYI
Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin.
Menurut Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab Tarbiyatul Aulad, ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi, iaitu menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran.
Begitu juga sebagai hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.
Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
Ads
“Bahawasanya Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk mencukur rambut al-Hasan dan al-Husain pada hari ketujuh mereka, rambut mereka telah dicukur, lalu disedekah timbangannya dengan perak”.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang seperti ‘punk’.
MEMBERIKAN NAMA ANAK
Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh. Khilaf ini berdasarkan hadis yang melaporkan Rasulullah memberi nama anak baginda dengan nama moyang baginda Ibrahim sejurus selepas kelahirannya.
Sementara dalam hadis yang lain Rasulullah memberikan nama al-Hasan dan al-Husein serta ramai yang lain pada hari ketujuh.
Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud :
“Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith dan Hammam manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.”
Sebahagian ulamak menyatakan bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul Razak dan lain-lain.
Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya.
Ads
Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq. Dimakruhkan juga memberikan nama dengan perkataan yang bombastik. Ini berdasarkan hadis nabi, antaranya :
“Orang yang dimurkai Allah di hari kiamat dan sangat dibencinya ialah seorang yang dipanggil Malikul Malik (raja sekalian raja). Tiadalah raja yang memiliki melainkan Allah.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi).
AKIKAH
Majoriti mazhab menggalakkannya (sunat). Sementara mazhab Hanafi pula tidak mewajibkannya.
Sunat anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing. Sebahagian ulamak menyatakan menurut zahir hadis, memadai anak lelaki itu akikah dengan seekor kambing sahaja. Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh.
Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.
KHITAN / SUNAT
Dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan.
Digalakkan melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran atau hingga usia mukallaf. Antara hikmah bersunat ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.
DOA
Anak-anak adalah saham kita untuk masa hadapan. Ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh.
Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam surah
al-Furqan ayat 74:
“Tuhanku, kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kepada imam kepada orang yang bertakwa.”
Kashoorga: Untuk adab menyambut kelahiran bayi ini, kita utamakan yang wajib dahulu. Perkara yang sunat boleh dilakukan sekiranya mampu dan yang makruh, sebaiknya kita tinggalkan terus. Wallahu’alam
‘Tengah sembahyang, orang panggil.’ Begini caranya bagi isyarat tanpa menggangu solat dan kita dapat teruskan solat hingga memberi salam.
Kadang-kadang sedang kita mendirikan solat, ada saja gangguan yang tak disengajakan seperti orang memanggil ketika solat. Bagaimana cara terbaik untuk memberitahu, adakah perlu berhenti solat dan utamakan orang yang memanggil.
Ikuti perkongsian ini dan ketahui cara yang betul untuk memberi isyarat:
Jika saya sedang solat kemudian ada orang di luar rumah memanggil nama saya. Adakah saya boleh meninggikan (menguatkan) suara saya supaya orang yang memanggil tersebut tahu saya sedang solat.
Ringkasan Jawapan:
Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat.
Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut.
Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Tengah Sembahyang
Huraian Jawapan:
Apabila seseorang itu sedang mengerjakan solat, hendaklah mengerjakan solat tersebut dalam keadaan khusyuk iaitu fokus kepada tatacara ibadat tersebut tanpa mengira hal-hal yang berlaku pada keadaan sekeliling.
Hal ini kerana ia termasuk kategori memelihara dan menjaga solat seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT di dalam firmannya:
Maksudnya:
“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”- (Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, Al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya.
Orang Panggil
Jelaslah di sini bahawa wajib solat dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya.
Berkenaan dengan isu meninggikan suara ketika solat, ia boleh dikaitkan dengan perbahasan memberi isyarat dalam solat. Asal hukum memberi isyarat di dalam solat itu adalah makruh.
Namun begitu, sekiranya terdapat hajat dan keperluan bagi seseorang itu untuk memberi isyarat ketika solat maka ia diharuskan berbuat demikian. Menurut Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Syatiri di dalam karyanya:
وتكره الإشارة أيضا لغير حاجة، إنما المواقف تختلف، فقد يضطر المصلي لها، فلو رأى شخصا ماشيا في اتجاه نجاسة في الأرض لا يعلمها، فأشار إليها ليحترس فلا كراهة لها
Maksudnya:
“Ditegah memberi isyarat tanpa sebarang hajat, sungguhpun begitu situasi kadang kala berbeza.
Ada kalanya seseorang yang sedang solat terpaksa memberikan isyarat contohnya dia melihat seseorang sedang berjalan ke arah najis yang berada di tanah sedangkan orang yang berjalan itu tidak mengetahuinya lalu dia memberi isyarat kepada orang tersebut supaya berjaga-jaga, maka hukumnya tidak makruh.”
(Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: hlm 162)
Begini Caranya
Merujuk kepada keterangan di atas, jelaslah terdapat keadaan yang boleh bagi seseorang itu memberi isyarat ketika mengerjakan solat berdasarkan situasi dan keperluan.
Oleh itu, perbuatan mengangkat suara semasa solat dengan tujuan memberi kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan. Tambahan lagi, panggilan tersebut mengganggu khusyuk bagi orang yang solat.
Namun begitu, perbuatan mengangkat suara ini bergantung kepada niat orang yang solat itu juga kerana niat tersebut akan memberi implikasi kepada solatnya.
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan jika orang yang solat itu berniat untuk menjawab panggilan beserta dengan niat bacaan solat atau membaca takbir dan tasmik ketika solat maka solatnya tidak batal. Manakala jika dia meninggikan suara tersebut semata-mata tujuan pemakluman maka solatnya batal.
Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat.
Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut.
Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Adapun jika tidak meniatkan pada bacaan takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Kashoorga: Tinggi atau kuatkan suara, tetapi jika orang memanggil tak faham adalah lebih baik berhenti solat kerana sudah pasti kita pun hilang fokus.
Tular di media sosial seorang ibu tua berkerusi roda ditinggalkan di tepi jalan oleh anak-anaknya yang sudah tidak sanggup menjaga ibu tua ini lagi. Dari satu perkongsian di fb Lembaga Zakat Selangor, pihak Lembaga Zakat berkongsi kisah sedih ini di mana seorang ibu tua ditinggalkan di tepi jalan dengan sebuah beg dan lampin pakai buang.
Apa yang menyedihkan, saat anak-anak dihubungi, semuanya beri macam-macam alasan kerana tidak mahu ambil emak mereka semula sebelum Lembaga Zakat Selangor memasukkan ibu tua di rumah orang tua.
Ternyata apa pun alasan kita, tahukah antara dosa seorang anak tidak akan masuk syurga ialah kerana derhaka pada orang tuanya.
Sabda baginda Rasulullah: Kehinaan, kehinaan, kehinaan. Baginda ditanya: Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga. – [HR Muslim 2551]. Satu yang perlu anak-anak ingat ialah, dosa kepada ibu bapa akan dibalas di dunia lagi sebelum akhirat. Ini berdasarkan hadis nabi SAW: Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendakNya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” – [HR al-Hakim 7263].
**media[341320]**
Baca kisah perkongsian dari fb Lembaga Zakat Selangor
Air mata ibu berlinangan bila ditinggalkan di tepi jalan
Kami menerima info dari orang awam yang terjumpa seorang wanita warga emas berkerusi roda ditinggalkan berseorangan di tepi jalan berserta lampin pakai buang dan beg pakaian.
Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun pada jam 8.30 malam tadi bagi menyantuni wanita ini.
Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir kami dan masih mempunyai keluarga. Usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan. Oleh kerana keadaannya yang kudung sebelah kaki serta ingatan tidak berapa baik, kami terpaksa menyerahkannya untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib.
Pihak polis menggunakan bidang kuasa mereka dengan menghubungi anaknya serta akan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran mereka. Anaknya bersetuju akan hadir ke balai polis untuk mengambil ibu ini kembali.
Namun, sekitar jam 3 pagi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi dan pihak polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu ini ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.
**media[341321]**
**media[341324]**
Masih jaga aib anak, bagi tahu anak Acik baik
Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.
"..dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya". Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka sahaja mengetahuinya.
Kami serahkan ibu ini mengikut prosedur dan kita tempatkannya di Pusat Jagaan Warga Emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor.
Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan info kepada kami. Juga buat pihak Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.
Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang.
Kisah ini mengingatkan kami kepada firman Allah yang bermaksud:-
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." Surah Al-Isra' : 23-24 . . Kredit : ibnuhusain Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )
Fitnah merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda.
Hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]
Namun begitu hari ini dengan kehadiran teknologi maklumat dan perkembangan sosial media fitnah berleluasa hingga menjadi seperti perkara biasa.
Antara apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.
Satu lagi fitnah yang mungkin secara sedar atau tak sedar dilakukan apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.
Doa dihindarkan dari fitnah orang yang zalim
Menyedari mudahnya fitnah dibuat dan disebar tak dinafikan kita sendiri boleh menjadi mangsa fitnah. Disebabkan itu kita harus memohon perlindungan dari Yang Maha Esa agar terlindung dari fitnah ini.
Antara yang boleh kita lakukan adalah mengamalkan doa yang dikongsi oleh Ustaz Mohammad Yaakub Yusra.
Ujar beliau hidup di akhir zaman ini duduk diam di dalam rumah pun boleh kena fitnah.
“Tak semua orang suka kita. Hidup akhir zaman ni kena hati-hati. Banyak sangat fitnah yang boleh kena kepada kita. Duduk rumah diam-diam pun boleh kena fitnah.”
Sama-sama amal doa dari surah Yusuf ayat 85-86, moga Allah lindung kita semua dari fitnah-fitnah jahat orang zalim. Doa yang dikongsi ringkas dan boleh dihafal untuk kita praktikkan setiap hari.
Keluar pejabat pada waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi ibarat satu kebiasaan. Ada yang memberitahu majikan tapi ramai juga yang keluar senyap-senyap hingga berjam-jam...