Ada dakwaan mengatakan perempuan tua sudah tak wajib bertudung atau menutup aurat rambutnya. Dalam Islam jika sesuatu yang baik itu sepatutnya diteruskan walaupun ada hukum memberi kelonggaran terhadap pelaksanaannya.

Namun, untuk kepastian, kita baca penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan bersangkutan aurat seorang nenek.

Adakah Benar Perempuan Tua Tidak Wajib Memakai Tudung?

PENCERAHAN

Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain.

Wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, di antaranya ialah:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ

 “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita”
Surah an-Nur: 31

Istilah jenis pakaian wanita dari segi bahasa dan syara’ :

Al-Khimar (الخِمَار)
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa al-khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala atau kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung.

Al-Jilbab (الجِلْبَاب )
Al-Jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas.

Asas kepada perbincangan dalam masalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ ۖ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka; dan perbuatan mereka dengan menjaga kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luar mereka) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Surah an-Nur: 60

Ads

Makna al-Qawa’id (الْقَوَاعِد)
al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) berasal daripada perkataan al-qa’id (القاعد) yang membawa maksud orang yang duduk. Ibn Qutaibah Rahimahullah telah berkata: “Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut”.

Para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) dalam ayat ke-60 surah an-Nur kepada tiga pendapat:

  1. Wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi. Ini adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu termasuklah Sa’id bin Jubair, Qatadah dan ad-Dhahhak
  1. Wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang telah berusia. Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yan melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam makna ayat ini.
  1. Wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi.

Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah melemahkan pendapat yang ketiga kerana wanita yang sudah tidak mampu mengandung masih lagi berkemungkinan bagi lelaki untuk bersenang-senang dengannya.

Oleh itu, wanita tua yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada perempuan tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.

Adakah Benar Perempuan Tua Tidak Wajib Memakai Tudung?

Artikel berkaitan: Bala Sosial Media, Posting Tidak Tutup Aurat Kekal Sebagai Tontonan -Ustaz Don

Artikel berkaitan: Betapa Allah Jaga Aib Wanita, Rambut Yang Dipotong Tetap Dianggap Aurat

Ads

Makna Thiyab (ثِيَاب)
Ulama’ berbeza pendapat mengenai makna sebenar perkataan thiyab (ثِيَاب) dalam ayat ke-60 surah an-Nur:

فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ
Maksudnya: “Maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka”

Pendapat Pertama: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab yang dipakainya. Ini adalah pendapat majoriti ahli tafsir di kalangan para Sahabat dan generasi awal di kalangan ahli tafsir.

Pendapat kedua: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-khimar atau tudung dan al-jilbab. Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab dan khimar (tudung) yang dipakainya. Ini adalah pendapat ibn Umar RA, ‘Ikrimah, Sulaiman bin Yasar dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam Rahimahumullah.

 

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dan tepat dalam masalah perempuan tua perlu bertudung atau tidak adalah wajib ke atasnya untuk memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita-wanita lain berdasarkan dali-dalil daripada al-Qur’an dan hadis Nabi SAW.

Ads

Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata:
“Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumnya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya.

Mengenai ayat ke-60 dalam surah an-Nur, tafsiran yang tepat mengikut pendapat majoriti ulama’ adalah ia ditujukan kepada wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.

Sungguh benar bagai dikata, keadaan zaman ini, perempuan berumur masih mampu mengekalkan kecantikan dan nampak seperti lebih muda daripada usianya yang sebena. Kecanggihan teknologi dan barangan kosmetik yang digunakan, serta cara pemakaian mereka adalah faktor mereka masih mampu menarik perhatian lelaki.

Marilah kita mencontohi akhlak para muslimah yang hidup di zaman salaf. Mereka sangat menjaga kehormatan diri dan memilih untuk menjaga kesucian mereka dengan cara yang terbaik walaupun dibolehkan membuka tudung.

Adakah Benar Perempuan Tua Tidak Wajib Memakai Tudung?

Ini sebagaimana kisah Hafsah binti Sirin Rahimahallah yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Sunan al-Kubra:

‘Asim al-Ahwal telah berkata, “Kami pernah masuk ke rumah Hafsah binti Sirin (yang telah berusia pada ketika itu), lalu dia segera menutupi dirinya dengan jilbab. Kami pun berkata kepadanya, “Semoga Allah merahmatimu, bukankah Allah SWT telah berfirman (surah an-Nur: 60) “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian (jilbab) mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka.”

Maka Hafsah pun berkata kepada kami, “Apakah sambungan daripada ayat tersebut?” Lalu kami membaca, “Dan menjaga kesucian diri mereka (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka.” Hafsah pun berkata: ‘Ia bermakna tetaplah dengan pemakaian jilbab (kerana itu lebih baik).’
al-Sunan al-Kubra (13534)

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI