Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadis yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]

Bagi menjawab pertanyaan pertama di atas, hadis sujud pada suami telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW. Antaranya Abu Hurairah, Mu’az bin Jabal, Suraqah bin Malik, Aisyah, Ibn Abbas, Abdullah bin Abi Awfa, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan beberapa orang lagi sahabat Nabi SAW yang lain. Adapun berkaitan matan hadith adalah seperti berikut:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

IKLAN

Maksudnya: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” [Riwayat al-Tirmizi (1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA adalah hasan gharib] Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]

Tambahan pula, hadis ini mempunyai sebab wurudnya (sebab Nabi SAW ucapkan hadis ini) iaitu apabila salah seorang daripada sahabat Nabi SAW pulang daripada Syam dan melihat orang-orang Nasrani dan Yahudi sujud kepada pembesar dan ulamak mereka sebagai tanda penghormatan nabi-nabi mereka. Maka sahabat ini berkata bahawa Rasulullah SAW lebih berhak untuk dilakukan sedemikian tetapi Nabi SAW melarang para sahabat melakukan hal tersebut dengan mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani ini mereka mendustakan serta menyelewengkan kitab-kitab nabi-nabi mereka. [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]

MAKNA HADIS

IKLAN

Antara yang boleh difahami daripada hadis ini adalah kewajipan seorang isteri itu mentaati suaminya kerana sujud ini tidak dihalalkan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Ini kerana terdapat banyak hak-hak suami yang perlu dilaksanakan oleh isteri dan sebahagiannya tidak terlaksana oleh si isteri.

Imam al-Syaukani berkata makna hadis ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia nescaya Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 272/4] Di dalam Musnad Ahmad, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا

IKLAN

Maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.” [Riwayat Ahmad (12614)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sahih li ghairihi]

Kesimpulannya hadis di atas adalah sahih dan ia tidaklah menunjukkan kebolehan seorang isteri itu untuk sujud kepada suaminya. Ini kerana sujud hanya dibenarkan kepada Allah SWT sahaja dan tidak dibenarkan sujud kepada selain daripada Allah SWT sebagaimana larangan jelas daripada Nabi SAW berdasarkan riwayat di dalam Musnad Ahmad di atas.

Akan tetapi hadis ini menggambarkan bahawa kedudukan suami itu tinggi di sisi isteri dan si isteri wajib untuk mentaati suaminya selagi mana apa yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan agama. Semoga Allah SWT mengurniakan suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI