Adat Dalam Perkahwinan Adalah Harus Selagi Mana Kepercayaan & Ritual Tersebut Tidak Membawa Kepada Khurafat

Share

Adat dalam perkahwinan adalah harus selagi mana kepercayaan dan ritual tersebut tidak membawa kepada khurafat. Sebenarnya adat perkahwinan dalam sesebuah masyarakat itu tidak salah.

Namun janganlah pula berlebihan hingga bercanggah dengan hukum agama. Tidak dinafikan, masing-masing ingin melakukan yang terbaik dalam mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan, tapi perlulah berhati-hati dalam mengikut trend.

Ikuti perkongsian Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang ini berkaitan adat dalam perkahwinan Melayu adakah ianya haram jika diikuti.

Artikel Berkaitan:

‘Mas Kahwin Tak Cukup RM199.’ Lelaki Ini Reda Batalkan Perkahwinan Sehari Sebelum Majlis

Adat Dalam Perkahwinan

Soalan:
Apakah hukum bagi adat-adat seperti berikut.
1) Adat menyarung cincin ketika bertunang.
2) Adat menyarung cincin setelah akad nikah (adat batal air sembahyang).
3) Bersanding di khakayak ramai ketika walimah contohnya di hadapan dewan (tanpa melakukan sebarang upacara khurafat, sekadar duduk dengan menjaga batas aurat).

Pertunangan Dalam Islam

Pertunangan atau khitbah bermaksud menzahirkan keinginan untuk mengahwini seorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya.

Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya,maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 9, halaman 3]

Firman Allah SWT:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ فِيمَا عَرَّضۡتُم بِهِۦ مِنۡ خِطۡبَةِ ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Dan tidak ada dosa bagi kamu semua meminang wanita-wanita itu dengan kiasan/ sindiran”.

Imam Khatib al-Syarbini menyatakan dalam kitabnya mengenai definisi khitbah:
الخطبة التماس الخاطب النكاح من جهة المخطوبة

Maksudnya:
Khitbah itu ialah pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan yang dilakukan oleh pihak pelamar (lelaki) kepada pihak yang dilamar (perempuan). [Lihat Mughni al-Muhtaj, jilid 3, halaman 183]

Dalam mazhab Syafie, hukum khitbah ini adalah disunatkan berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang melamar Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar.

Adalah Harus Selagi Mana

Perkahwinan Dalam Islam

Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin kerana ia merupakan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT dan juga salah satu sunnah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:
وَمِن كُلِّ شَيۡءٍ خَلَقۡنَا زَوۡجَيۡنِ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”
[Surah al-Dzariyat: 49]

Sebuah perkahwinan akan dianggap sah sekiranya memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan syarak.

Dr. Muhammad Zuhaili telah menyebut dalam kitabnya bahawa tidak akan sempurna akad nikah itu melainkan dengan memenuhi rukun-rukunnya dan melengkapi syarat-syarat bagi setiap rukun tersebut.

Beliau juga memperincikan rukun-rukun nikah kepada enam perkara iaitu sighah (ijab dan qabul), al-‘aqidan (pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi.

Adat Menyarung Cincin Ketika Pertunangan dan Perkahwinan

Pada asalnya, perbuatan menyarung cincin bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat turun temurun bagi masyarakat Melayu semata-mata.

Lazimnya, mengikut adat masyarakat Melayu ketika pertunangan, cincin bertunang akan disarungkan oleh wakil keluarga lelaki yang kebiasaannya bakal ibu mertua kepada bakal pengantin perempuan sebagai tanda atau simbolik untuk ke arah perhubungan yang serius iaitu menjadikan wanita tersebut sebagai isteri.

Begitu juga adat menyarung cincin setelah akad nikah. Ia bukanlah satu rukun atau syarat dalam menentukan bahawa akad itu sah atau tidak kerana ia tidak termasuk dalam rukun nikah bahkan merupakan satu adat yang juga dipanggil sebagai acara batal air sembahyang.

Menurut sebuah kaedah fiqh:
الأصل في العادات الإباحة إلا ما ورد عن الشارع تحريمه

Maksudnya: “Asal pada adat itu adalah harus kecuali apa yang datang daripada syarak akan pengharamannya.”

Kepercayaan & Ritual Tersebut

Justeru, adat kebiasaan yang dilakukan oleh sesuatu masyarakat itu adalah harus selagi mana tidak terdapatnya perkara atau dalil yang mengharamkan adat kebiasaan tersebut.

Misalnya terdapat sebarang kepercayaan atau ritual berkenaan adat tersebut yang boleh membawa kepada khurafat dan syirik.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami berpendapat adat menyarung cincin ketika bertunang merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah selagi mana tiada perkara yang melanggar syarak dilakukan.

Sebagai contoh, si lelaki sendiri menyarungkan cincin tunang kepada bakal isterinya atau terdapat kepercayaan bahawa dengan pemakaian cincin itu, ia akan membina ikatan yang kuat antara bakal pasangan pengantin.

Keyakinan yang sebegini adalah bertentangan dengan syarak, maka hendaklah ditinggalkan.

Begitu juga dengan adat batal air sembahyang iaitu dengan menyarungkan cincin antara pasangan pengantin harus dilakukan dengan syarat tiada perbuatan lain dilakukan antara suami isteri yang melampaui batas syarak yang tidak sepatutnya dipertontonkan di hadapan khalayak ramai.

Namun, kami juga berpendapat adalah lebih baik sekiranya dilakukan secara bertutup tanpa menjadi tatapan umum.

Bersanding Ketika Walimah

Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.

Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabiah walaupun bukan dengan tujuan syahwat sekiranya tiada sebab yang mengharuskan baginya melihat wanita tersebut.

Namun, sekiranya terdapat sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, dalam majlis pengajian, berubat dan ketika berjual beli maka tiada masalah untuk lelaki ajnabi melihat wanita ajnabiah.

Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin.

Maka kami katakan, tiada masalah jika ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat, adab-adab dan batasan-batasan diraikan dan dijaga dengan baik.

Tidak Membawa Kepada Khurafat

Di antara adab-adab dan batasan-batasan yang perlu dititik-beratkan ketika bersanding adalah:

Sekiranya mengadakan pelamin, perlu diingatkan bahawa ia tidak dilakukan secara berlebihan yang menjurus kepada pembaziran serta tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan.

Adat bertepung tawar dan menabur beras kunyit tambahan yang disertai dengan jampi dan mantera adalah haram dilakukan. Sebaliknya, adalah lebih baik sekiranya dilaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan pasangan pengantin.

Pasangan pengantin perlulah menjaga etika berpakaian iaitu pakaian yang menutup keseluruhan aurat bagi lelaki dan wanita, pakaian yang tebal dan tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit dan pakaian yang longgar sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh.

Berhias termasuk make-up sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah SWT, tanpa berlebih-lebihan sehingga tidak menghiraukan batasan syarak dalam perhiasan diri seperti bertabarruj dan membazir.

Harus Selagi Tidak Keterlaluan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan huraian di atas kami berpandangan bahawa hukum asal untuk bersanding ini adalah harus.

Namun, terdapat perkara-perkara yang berlaku di sebaliknya yang menyebabkan perbuatan tersebut menjadi haram, seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas lelaki dan wanita, mendedahkan aurat atau mempertontonkan pengantin perempuan kepada lelaki ajnabi secara terbuka dengan perhiasan yang berlebihan dan juga melakukan pembaziran.

Sekiranya kesemua perkara ini dapat dielakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut. Sebaliknya, jika perkara yang disebutkan seperti di atas tidak dapat diraikan atau dilaksanakan, maka hukumnya tetap menjadi haram.

Baca Di Sini:

Usia 15 Tahun Dah Kahwin. Nikah Kat Pejabat Agama Je & Tak Buat Majlis” – Lepas 11 Tahun Pasangan Ini Sanding Balik

Kashoorga: Semoga kita tidak mengamalkan dan mengikuti adat yang menyimpang daripada ajaran agama Islam.

Sumber: Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat