Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Ayat al-Quran di atas menjelaskan fitrah orang beriman pasti akan diuji Allah SWT. Ujian manusia berbeza-beza dan sejauh dirinya menerima, itulah tanda keimanan. Di saat kita merasakan hidup diuji terutama kesusahan harta benda, tapi sebenarnya ada diuji dengan lebih hebat dari kita. Bahkan kesusahan orang lain juga adalah ujian untuk kita yang berkemampuan.
Di aplikasi Tik Tok @danielalli atau Muhammad Daniel bin Ali, dirinya berkongsi momen sedih seorang kanak-kanak lelaki dipercayai masih sekolah rendah yang berniaga kerepek berlokasi di Starbucks, Limbongan, Melaka sampai tertidur menantikan jualannya dibeli.
Dalam keadaan duduk di kaki lima itu, kanak-kanak ini kelihatan bersila di laluan drive thru menunggu pelanggan membeli kerepeknya. Barangkali agak penat berpuasa di siang hari dan usia kecilnya, dirinya tertidur sebelum dikejutkan.
Saat ditanya beberapa soalan mengenai keberadaannya di situ, adik Acap berkongsi kisah hidupnya.
Terkesan dengan kesusahan adik ini mencari rezeki di usianya masih kecil yang mana sepatutnya tempatnya adalah di rumah malam-malam begini, Daniel telah melancarkan tabung kilat untuk membantu.
Dan tabungan kilat itu berjaya mengumpulkan RM1220 untuk disedekahkan pada adik ini. Dan selepas video berkenaan viral, semakin ramai ingin membantu dan ada mengatakan anak kecil ini berasal dari Johor.
Dari satu rakaman video lain memaparkan Daniel menyerahkan sumbangan berkenaan dan apa yang menyayat hati, adik Acap menangis. Barangkali tidak menyangka ada insan baik akan membantu meringankan bebanan kemiskinan hidup keluarganya. Atau barangkali itulah pertama kali dirinya memegang duit sebanyak itu.
Dalam pada itu, Daniel turut menemuramah ibu kepada adik Acap dan mengakui dirinya datang dari Johor dan berniaga kerepek secara kecil-kecilan di Melaka.
Apa yang membuatkan lagi ramai sedih, ibu dengan anak-anak kecil seramai enam orang ini dilihat berhimpit-himpit di dalam kereta selepas ditinggalkan suaminya.
Jadi untuk kelangsungan hidupnya, dirinya membuat jualan kerepek dan anak-anaknya yang masih kecil membantu menjual kerepek. Bahkan dirinya mengakui kesemua anak-anaknya masih bersekolah.
Di saat kita merasakan dirinya kita susah, ada lagi hambaNya diuji dengan seribu satu kesusahan lain. Semoga rezeki adik Acap dipermurahkan dan mana yang berkemampuan, bolehlah sama-sama menghulurkan bantuan. Dan difahamkan, selepas video berkenaan tular, ramai meminta pemuda ini membuka kembali tabung untuk mereka sama-sama bersedekah kepada adik Acap dan keluarganya.