Akhlak adalah cerminan diri individu. Akhlak meliputi budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat. Rasulullah SAW yang juga Rasul terakhir diutus untuk menyempurnakan akhlak, seperti sabda Baginda bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR al-Hakim)”.
Dan kerana akhlak yang baik jugalah menzahirkan rasa hormat seseorang kepada individu lain.
Hal inilah yang terjadi kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli meredah banjir meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda ibu kota tanpa mengira pakaiannya basah atau jawatan dipegang Baginda.
Dapat dilihat Baginda berada di tengah hujan, menuruni kenderaan di jalan susur menghala PWTC dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi banjir di sekitar kawasan tersebut sekaligus mencerminkan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca.
Bahkan keesokan harinya pula, bersama isteri, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Baginda dilihat mencemar dulu melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
Baginda telah berkenan meluangkan masa hampir satu jam dari jam 11.15 pagi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir kilat susulan hujan lebat sejak 48 jam lepas.