Kita sering mendengar bacaan talkin dibacakan ketika upacara pengkebumian. Ia satu ingatan untuk mereka yang masih hidup.
Ikuti perkongsian dari Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari mengenai isu bacaan talkin ini menurut mazhab-mazhab dan pandangan ulama terdahulu. Bidaah atau sunnah?
Pernah saya menghadiri sebuah pengurusan jenazah dan ketika pengebumian, para ahli keluarga inginkan agar talqin dibacakan, namun anak kepada jenazah berkeras tidak mahu talqin dibacakan kerana menurutnya ia adalah perbuatan bid’ah dan tidak ada hadith sahih yang mensabitkannya. Maka berlaku sedikit ketegangan antara sesama ahli keluarga sehinggalah akhirnya talqin tidak dibacakan.
Saya sedih melihat keadaan tersebut, bukan kerana talqin tidak dibacakan, sebab hukumnya sunat, tidak wajib dan pengebumian tetap sah tanpa talqin. Tapi apa yang menyedihkan ialah kesalahfahaman segelintir pihak terhadap status hadith da’if sehingga ia menjadi penghalang baginya untuk melakukan sunnah yang telah disepakati oleh jumhur Ulama.
Tambahan pula, dia menganggap bahawa talqin adalah bid’ah yang patut dijauhi hanya kerana ia berdasarkan hadith da’if.
Ya benar hadith mengenai talqin adalah hadith da’if yang berat. Namun ia tidak menghalang para Ulama untuk menghukumnya sebagai sunnah. Demikian adalah kerana sunnah bukan sabit hanya bersandar kepada hadith sahih semata-mata, akan tetapi juga sabit menerusi hadith da’if berat sekalipun.
Amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya adalah diriwayatkan hadithnya dari Sayyidina Abu Umamah al-Bahili. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, terdapat dua jalur riwayat Sayyidina Abu Umamah al-Bahili pada hadith talqin yang kedua-duanya adalah bertaraf da’if jiddan. (Ruj: al-Futuhat al-Rabbaniyyah Sharh al-Adhkar al-Nawawiyah li Ibni ‘Allan, 4/196).
Sungguhpun hadith talqin bertaraf da’if jiddan (da’if berat), penerimaan Ulama secara meluas (Talaqqi bi al-Qabul) terhadapnya menyebabkan statusnya naik kepada sahih dan mutawatir. Hal tersebut dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat al-Naẓar (Fasl al-Khabar al-Muhtaffu bi al-Qarā’in wa Bayānuha), beliau menyatakan bahawa dalam penilaian sesebuah hadith, selain daripada melihat kewujudan riwayatnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, serta penilaian terhadap jalur sanadnya, qarinah yang terkuat lebih dari itu semua adalah al-Talaqqi bi al-Qabul iaitu kesepakatan para Ulama untuk menerima sesuatu fakta yang terdapat dalam sesebuah hadith itu sehingga hanya dengan wujudnya al-Talaqqi bi al-Qabul itu satu sahaja sudah mencukupi untuk beramal dan mengakuinya kerana kekuatannya bahkan melebihi daripada hadith yang mempunyai jalur sanad yang banyak.
Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith berkata, “Dan demikianlah, apabila para Ulama secara Talaqqi bi al-Qabul telah menerima sesebuah hadith da’if sebagai maqbul, maka ianya diamalkan serta dianggap sahih. Sehinggakan ia boleh menjadi pada darjat mutawatir yang boleh memansukhkan hukum-hakam yang lain.
Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam al-Ajwibah al-Fadilah (ms.228) menegaskan bahawa mana-mana hadith da’if yang telah mencapai Talaqqi bi al-Qabul adalah WAJIB untuk mengakui dan mengamalkannya sebagaimana hal tersebut ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Ifṣah ‘ala Nukat Ibni al-Ṣalah dan demikian itulah apa yang dipegang oleh para imam-imam Usul.
Seluruh mazhab yang empat menyatakan bahawa talqin adalah sunnah dibacakan. Di bawah ini adalah keterangan Ulama dari empat mazhab:-
1. Mazhab Shafi’i
Imam al-Nawawi al-Shafi’i dalam kitabnya al-Majmu’ (j.5, ms. 303) berkata:-
يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ عَقِبَ دَفْنِهِ فَيَجْلِسُ عِنْدَ رَأْسِهِ إنْسَانٌ
“Disunnahkan mentalqin mayat segera setelah menguburnya, di mana seseorang duduk di depan kepala mayat, dan berkata: Wahai fulan anak fulan….sehingga akhir”.
2. Mazhab Maliki
Imam Al-Mawwaq Al-Maliki, al-Taj Wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil (j.2, ms. 375) berkata:
إذَا أُدْخِلَ الْمَيِّتُ قَبْرَهُ فَإِنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُهُ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ، وَهُوَ فِعْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ الصَّالِحِينَ مِنَ الْأَخْيَار
“Jika mayat telah dimasukkan ke dalam kuburnya, maka sesungguhnya disunnahkan mentalqinnya pada saat itu. Hal ini merupakan perbuatan penduduk Madinah yang saleh lagi baik”.
3. Mazhab Hanafi
Imam al-Zayla’i al-Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq (j.3, ms. 153) menyebutkan:-
أَنَّ تَلْقِينَ الْمَيِّتِ مَشْرُوعٌ، لِأَنَّهُ تُعَادُ إلَيْهِ رُوحُهُ وَعَقْلُهُ، وَيَفْهَمُ مَا يُلَقَّنُ
“Sesungguhnya mentalqin mayat itu disyariatkan, sebab ruhnya dikembalikan kepadanya, begitu pula akalnya. Dia memahami apa yang ditalqinkan (diajarkan)”.
4. Mazhab Hanbali
Imam al-Buhuti al-Hanbali dalam kitabnya Sharh Muntaha al-Iradat (j.1, ms. 374) menulis:
وَسُنَّ تَلْقِيْنُهُ أَيْ: الْمَيِّتِ بَعْدَ الدَّفْنِ عِنْدَ الْقَبْرِ؛ لِحَدِيْثِ أَبِي أُمَامَةَ البَاهِلِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ
“Dan disunnahkan mentalqin mayat setelah dikebumikan dalam kuburan, bersandar kepada hadith riwayat Abi Umamah Al-Bahili radhiyallahu anhu”.
Imam Ibnu Qayyim yang bermazhab Hanbali dalam kitabnya al-Ruh (ms.29) mengatakan bahawa amalan talqin adalah sunnah meskipun ia bersandar kepada hadith yang tidak sabit.
Ketika beliau membicarakan mengenai riwayat berkenaan kelakuan orang hidup diketahui orang-orang mati, beliau berkata, “Hal tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang telah mati mengetahui keadaan orang-orang hidup, mengetahui kunjungan ziarah mereka, dan mendengar salam mereka ke atasnya, sebagaimana amalan yang telah berlangsung sejak awal sehingga saat ini dari pembacaan talqin ke atas mayat di kuburnya. Dan telah ditanya Imam Ahmad bin Hanbal akan hal tersebut maka beliau telah memandangnya sebagai amalan yang baik dan beliau berhujah dengan pengamalan ahli ilmu terhadapnya”.
Selanjutnya Imam Ibnu Qayyim menyebutkan sebuah hadith da’if secara penuh dari al-Mu’jam li al-Tabrani mengenai amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya, lalu beliau berkomentar:-
“Sungguhpun hadith ini tidak sabit, namun pengamalannya yang berterusan secara turun temurun oleh orang ramai (ahli ilmu) di segenap tempat dan setiap era tanpa sebarang penafian, adalah cukup untuk menjadi bukti untuk diamalkan.
Demikian itu adalah kerana Allah Ta’ala tidak sekali-kali mentakdirkan sebuah kebiasaan ke atas umat yang merata di Timur dan Barat, yang mana umat ini adalah umat yang paling sempurna akalnya dan paling banyak pula pengetahuannya, untuk mengungkapkan perbicaraan kepada sesuatu yang tidak dapat mendengar atau mengerti?
Padahal seluruh umat telah menganggapnya sesuatu yang baik dan tidak ada sesiapa yang menafikannya. Bahkan ia merupakan SUNNAH yang bermula dari golongan terdahulu lalu diikuti oleh yang terkemudian. Kalaulah orang yang ditujukan perbicaraan itu tidak dapat mendengar, nescayalah ia sama seperti berbicara kepada tanah, kayu dan batu nisan atau kepada seseorang yang tiada (al-ma’dum)”.
Kesimpulan:-
Amat penting untuk membezakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan “sunnah” dan “bukan sunnah”, adakah ianya sunnah dalam definisi Fuqaha’ atau Muhaddithin. Definisi yang sepatutnya digunakan oleh masyarakat awam ialah apa yang disebut oleh para Fuqaha’ iaitu “sunnah ialah apabila melakukannya mendapat pahala, meninggalkannya tak dapat apa-apa”, bukan definisi sunnah yang dipegang oleh Muhaddithin iaitu “Segala peninggalan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan, keputusan, mahupun sifat”.
Mengheret masyarakat awam kepada definisi Sunnah yang diguna pakai oleh para muhaddithin dengan menggesa mereka untuk semak status hadith dan mencari dalil pada setiap gerak geri ibadah adalah sebenarnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. al-Hafiz Ibn al-‘Arabi al-Maliki (m. 543 H) sangat keras terhadap literalis yang menuntut dalil berbentuk nas bagi setiap masalah hukum. Dalam ‘Aridah al-Ahwadhi (Abwab al-Zakat, ms.104), Syarah Sunan al-Tirmidhi, beliau menyebut sikap ini menyalahi Salaf, bahkan menyebut mereka sebagai “keldai”.
Ulama mensyariatkan amalan talqin bukanlah hanya sebagai tazkirah untuk orang yang masih hidup, akan tetapi ia turut membantu orang yang sudah meninggal dunia dalam meneguhkan dan memantapkan si mati menghadapi alam barzakh dan persoalan Munkar dan Nakir kerana pendengaran orang yang sudah meninggal itu lebih tajam berbanding orang-orang hidup yang hadir pengebumian sebagaimana hal itu sabit secara sahih dalam peristiwa Nabi Muhammad SAW berbicara di Badar yang ditujukan buat orang-orang yang telah meninggal. (al-Bukhari).
Selain amalan talqin, berdoa adalah cara orang yang masih hidup dapat membantu si mati sesuai dengan sabda RasuluLlah SAW: “Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat ketetapan, sesungguhnya dia (jenazah) sekarang ini sedang disoal”. (Riwayat Abu Daud).
Amalan talqin adalah SUNNAH dan status hadithnya telah naik kepada sahih dan mutawatir disebabkan faktor penerimaan Ulama secara meluas terhadapnya (Talaqqi bi al-Qabul).
Diharapkan selepas ini, tidak ada lagi isu bid’ah membid’ah dalam amalan talqin yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam.
Kita boleh berbeza pendapat, akan tetapi jauhi sikap tergesa-gesa dan gopoh dalam melabelkan ke atas orang lain dengan sesat dan bid’ah.
Jangan hanya kerana melihat status sesebuah hadith itu da’if walau berat sekalipun, terus ia menjadi harga mati untuk amalan tersebut ditolak. Demikian adalah kerana mengetahui status hadith bukanlah produk terakhir dalam pembentukan sesebuah hukum dan amalan dalam agama kita.
Sesungguhnya kaedah pendalilan disisi Ulama Muktabar bukanlah sesimple itu. Cukuplah kita mengikut apa yang telah dihidangkan oleh Ulama Muktabar kepada kita untuk mengamalkan apa yang patut diamalkan dan meninggalkan apa yang patut ditinggalkan.
HADITH TALQIN
Dibawah ini adalah hadith yang digunakan para Ulama dalam pensyari’atan talqin ketika pengebumian.
حديث أبي أمامة في التلقين . أخرجه الطبراني في ” الكبير ” عن سعيد بن عبد الله الأودي قال : ” شهدت أبا أمامة الباهلي وهو في النزع فقال : إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمر رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) فقال : أذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب عليه فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل : يا فلان بن فلان بن فلانة فإنه يسمع ولا يجيب ثم يقول : يا فلان بن فلانة فإنه يستوي قاعدا ثم يقول : يا فلان بن فلانة فانه يقول : أرشدنا رحمك الله ولكن لا تشعرون فليقل : اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة : أن لا اله الا الله وأن محمدا عبده ورسوله وأنك رضيت بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما فان منكرا ونكيرا يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول : انطلق بنا ما نقعد عند من لقن حجته فيكون الله حجيجه دونهما قال رجل : يا رسول الله فإن لم يعرف أمه ؟ قال : فينسبه إلى حواء : يا فلان بن حواء ”
Sayyidina Abu Umamah al-Bahili berkata “Apabila aku mati nanti, maka lakukan kepadaku seperti yang disuruh oleh Rasulullah SAW, Baginda bersabda:-
“Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ratakanlah tanah pada kuburnya (kuburkanlah). Hendaklah salah seorang dalam kalian berdiri di pinggir kuburnya dan hendaklah berkata :-
“Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia boleh mendengarnya tetapi tidak boleh menjawabnya.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan duduk.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan berkata : “Berilah kami petunjuk –semoga Allah merahmatimu-“ dan kalian tidak akan merasakannya.
Kemudian hendaklah berkata : “Sebutlah sesuatu yang kamu bawa keluar dari dunia, iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah ﷻ, Muhammad hamba dan utusan-Nya, dan sesungguhnya kamu reda Allah menjadi Tuhanmu, Muhammad menjadi Nabimu, dan Al-Qur’an menjadi imammu”, sebab Munkar dan Nakir saling berpegangan tangan dan berkata : “Mari kita pergi. Kita tidak akan duduk (menanyakan) di sisi orang yang telah ditalqini (dipimpin) hujjahnya (jawapannya), maka Allah menjadi hajiij (yang mengalahkan dengan menampakkan hujah) baginya bukan Munkar dan Nakir”.
Kemudian seorang sahabat lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah! Jika dia tidak tahu ibu si mati?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Nisbahkan kepada Hawa, wahai fulan bin Hawa”
(Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir).
Semoga bermanfaat
Disediakan oleh : iqbal Zain al-jauhari
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Tengah sembahyang, orang panggil.’ Begini caranya bagi isyarat tanpa menggangu solat dan kita dapat teruskan solat hingga memberi salam.
Kadang-kadang sedang kita mendirikan solat, ada saja gangguan yang tak disengajakan seperti orang memanggil ketika solat. Bagaimana cara terbaik untuk memberitahu, adakah perlu berhenti solat dan utamakan orang yang memanggil.
Ikuti perkongsian ini dan ketahui cara yang betul untuk memberi isyarat:
Artikel Berkaitan: ‘Dahi Adalah 7 Anggota Sujud.’ Boleh Terbatal Solat, Bila Dahi Terlapik Kain Telekung Sendiri
Soalan:
Jika saya sedang solat kemudian ada orang di luar rumah memanggil nama saya. Adakah saya boleh meninggikan (menguatkan) suara saya supaya orang yang memanggil tersebut tahu saya sedang solat.
Ringkasan Jawapan:
Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat.
Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut.
Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Tengah Sembahyang
Huraian Jawapan:
Apabila seseorang itu sedang mengerjakan solat, hendaklah mengerjakan solat tersebut dalam keadaan khusyuk iaitu fokus kepada tatacara ibadat tersebut tanpa mengira hal-hal yang berlaku pada keadaan sekeliling.
Hal ini kerana ia termasuk kategori memelihara dan menjaga solat seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT di dalam firmannya:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya:
“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”- (Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, Al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya.
Orang Panggil
Jelaslah di sini bahawa wajib solat dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya.
Berkenaan dengan isu meninggikan suara ketika solat, ia boleh dikaitkan dengan perbahasan memberi isyarat dalam solat. Asal hukum memberi isyarat di dalam solat itu adalah makruh.
Namun begitu, sekiranya terdapat hajat dan keperluan bagi seseorang itu untuk memberi isyarat ketika solat maka ia diharuskan berbuat demikian. Menurut Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Syatiri di dalam karyanya:
وتكره الإشارة أيضا لغير حاجة، إنما المواقف تختلف، فقد يضطر المصلي لها، فلو رأى شخصا ماشيا في اتجاه نجاسة في الأرض لا يعلمها، فأشار إليها ليحترس فلا كراهة لها
Maksudnya:
“Ditegah memberi isyarat tanpa sebarang hajat, sungguhpun begitu situasi kadang kala berbeza.
Ada kalanya seseorang yang sedang solat terpaksa memberikan isyarat contohnya dia melihat seseorang sedang berjalan ke arah najis yang berada di tanah sedangkan orang yang berjalan itu tidak mengetahuinya lalu dia memberi isyarat kepada orang tersebut supaya berjaga-jaga, maka hukumnya tidak makruh.”
(Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: hlm 162)
Begini Caranya
Merujuk kepada keterangan di atas, jelaslah terdapat keadaan yang boleh bagi seseorang itu memberi isyarat ketika mengerjakan solat berdasarkan situasi dan keperluan.
Oleh itu, perbuatan mengangkat suara semasa solat dengan tujuan memberi kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan. Tambahan lagi, panggilan tersebut mengganggu khusyuk bagi orang yang solat.
Namun begitu, perbuatan mengangkat suara ini bergantung kepada niat orang yang solat itu juga kerana niat tersebut akan memberi implikasi kepada solatnya.
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan jika orang yang solat itu berniat untuk menjawab panggilan beserta dengan niat bacaan solat atau membaca takbir dan tasmik ketika solat maka solatnya tidak batal. Manakala jika dia meninggikan suara tersebut semata-mata tujuan pemakluman maka solatnya batal.
Baca Di Sini:
Sah Atau Batal Solat Pada Sejadah Yang Ada Najis. Ini Penjelasannya!
Sendawa Tak Batalkan Solat, Tapi Hukumnya Jadi Makruh Kalau Hasilkan Bauan Ganggu Jemaah
Bagi Isyarat Tanpa Menggangu Solat
Kesimpulan:
Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat.
Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut.
Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Adapun jika tidak meniatkan pada bacaan takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Kashoorga: Tinggi atau kuatkan suara, tetapi jika orang memanggil tak faham adalah lebih baik berhenti solat kerana sudah pasti kita pun hilang fokus.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Betapa Allah sayangkan umatNya. Di saat kita mungkin merasakan ada melakukan dosa-dosa dan sentiasa memohon keampunan dari Allah taala, sebenarnya amat mudah Allah menghapuskan dosa walau hanya di saat kita sedang makan mahupun melakukan perbuatan menyalin pakaian.
Dalam satu perkongsian oleh Ustaz Azhar Idrus di fbnya memaklumkan dosa akan terhapus sebab makan mahupun menyalin pakaian. Baca kemusykilan ditanya oleh seorang pembaca kepadanya.
Saya ada dua soalan pasal perkara yang memadamkan dosa yang telah dilakukan.
Bagaimana dikatakan dosa bolih terhapus sebab makan dan pakai baju? Ada saya baca dalam satu posting dalam facebook.
Adakah benar dosa diampun sebab susah hati? Jadi kalau kita susah hati sebab duit tak ada pun hapus dosa kita juga ke?
Jawapan :
Memang benar di antara sebab diampunkan dosa seorang mukmin itu ialah ketika dia makan dan memakai pakaian.
Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. sungguhnya Rasulullah saw telah bersabda :
مَنْ أَكَلَ طَعَامًا ثُمَّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَمَنْ لَبِسَ ثَوْبًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ
Artinya : “Barangsiapa makan akan satu makanan kemudian dia berkata : Segala puji bagi Allah yang telah memberi aku makan akan makanan ini dan merezekikan aku makanan ini dari ketiadaan upaya daripada aku dan ketiadaan kekuatan necsaya diampunkan baginya apa yang telah lalu dari dosanya dan apa yang terkemudian.
Dan barang siapa memakai ia akan satu pakaian lalu dia berkata : Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku akan pakaian ini dan merezekikan aku pakaian ini dari ketiadaan upaya daripada aku dan ketiadaan kekuatan nescaya diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya dan apa yang terkemudian.” (Hadith riwayat Abu Daud & Tirmizi).
Hadith ini menerangkan bahawa siapa yang makan dari suatu rezeki yang diberikan olih Allah kepadanya lalu dia memuji akan Allah atas nikmat tersebut maka Allah akan menghapuskan dosanya yang telah lalu dan yang terkemudian.
Dan begitu juga dengan orang yang memakai akan pakaian kemudian dia memuji akan Allah atas nikmat tersebut maka dosanya yang telah lalu dan akan datang juga diampunkan oleh Allah Taala.
Dan berkenaan soalan kedua memang benar apabila seorang mukmin ditimpa kesusahan dalam hatinya juga adalah penyebab dosanya diampunkan olih Allah Taala.
Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. Rasulullah saw bersabda :
ما مِن مُصِيبَةٍ تُصِيبُ المُسْلِمَ إلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بها عنْه، حتَّى الشَّوْكَةِ يُشاكُها
Artinya : “Tiada dari musibah yang menimpa seorang Islam melainkan Allah menghapuskan dengan sebabnya daripadanya sehingga duri yang mencucuknya.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dan lebih jelas lagi sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :
مَا يُصِيبُ المُسْلِمَ ، مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ ، وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ ، حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا ، إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
Artinya : “Tiada menimpa akan seorang Islam dari kepenatan dan penyakit dan kegusaran dan kesedihan dan suatu yang menyakiti dan susah hati sehingga duri yang mencucuknya melainkan Allah menghapuskan dengan sebabnya dari segala kesalahannya.” (Hadith riwayat Bukhari)
Hadith-hadith ini menjadi dalil bahawa memuji Allah selepas makan dan minum itu menghapuskan dosa.
Dan begitu juga kesedihan yang menimpa seorang mukmin juga menjadi sebab dihapuskan dosanya olih Allah Taala dengan syarat dia sabar dengan musibah yang menimpanya dan redha dengan ketentuan Allah berlaku musibah itu atas dirinya.
Berkata Imam Al-Qastallani :
وفيه رد على قول القائل إن الثواب والعقاب إنما هو على الكسب والمصائب ليست منه بل الأجر على الصبر عليها والرضا بها فإن الأحاديث الصحيحة صريحة في ثبوت الثواب بمجرد حصولها وأما الصبر والرضا فقدر زائد لكن الثواب عليه زيادة على ثواب المصيبة.
Artinya : “Pada hadith ini menolak perkataan orang yang mengatakan pahala dan siksa hanyalah atas usaha dan segala musibah tidak termasuk usaha bahkan pahala itu ialah sebab atas sabar atas musibah itu dan redha dengan musibah itu. Maka sungguhnya sekelian hadith ini jelas pada menyabitkan pahala dengan semata-mata berlakunya musibah. Dan ada pun sabar dan redha itu maka sungguhnya yang lebih pula ia akan tetapi pahala atasnya itu bertambah atas pahala musibah.” (Kitab Irsyad As-Saari Syarah Sahih Al-Bukhari)
Kesimpulan :
Setiap kali orang mukmin makan dan minum kemudian dia ingat kepada Allah dan memuji-Nya atas nikmat yang telah diberikan nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang kemudian akan tetapi disyaratkan bahawa makanannya itu dari harta yang halal.
Ada pun memakan yang haram maka yang pasti ialah semakin banyak menambah dosa.
Dan demikian juga dengan orang mukmin yang tiap kali memakai pakaian dia akan menyebut Alah dengan memuji-Nya atas nikmat tersebut nescaya diampunkan dosanya seperti itu juga.
Segala musibah yang menimpa orang mukmin daripada penyakit dan kesusahan dan kepenatan dan kesedihan dan lainnya yang dibencinya apabila dia redha dan sabar nescaya akan dihapuskan dosa dan kesalahannya sebab musibah tersebut.
Menurut jumhur ulamak dosa yang diampunkan itu ialah dosa kecil manakala sebahagian ulamak berkata segala dosa besar dan kecil.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Jika dalam bilik air memadai niat dalam hati.’ Ini hukumnya lafaz niat wuduk dalam tandas, apa lagi menyebut kalimah Allah.
Kebanyakan daripada kita akan mengambil wuduk di dalam tandas apabila di rumah. Memang lumrahnya begitu, lainlah di masjid.
Terdapat ruangan tertentu untuk mengambil wuduk tanpa bercampur dengan bilik air. Jadi adakah dibenarkan untuk kita lafaz niat setiap kali ambil air sembahyang.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan lafaz niat wuduk di dalam tandas.
Artikel Berkaitan:
Niat Dalam Hati Semoga Al-Quran Ada Dalam Hati & Diri Kita”, Bandi Amuk Khatam Selepas 3 Tahun Belajar
Jika Dalam Bilik Air
Soalan:
Saya nak tanya bolehkah lafaz “basmallah” mahupun melafazkan niat wuduk di dalam tandas yang mana lafaz tersebut ada kalimah “Allah”.
Lebih-lebih lagi banyak hotel dan bangunan yang bilik air bercampur tandas. Mohon pencerahan.
Memadai Niat
Ringkasan Jawapan:
Niat wuduk merupakan salah satu rukun yang menjadikan keabsahan wuduk. Adapun melafazkan niat wuduk adalah sunat bagi membantu hati menghadirkan niat.
Namun sekiranya berada di tandas mahupun bilik air, memadai hanya berniat wuduk di dalam hati sahaja tanpa perlu melafazkan nama Allah seperti niat :
“Sahaja aku mengangkat hadas kecil”. Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum menyebut kalimah “Allah” di dalam tandas adalah makruh.
Dalam Hati
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Niat merupakan salah satu rukun wuduk berdasarkan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ
Maksudnya:
‘Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Maidah : 6)
Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengunakan istilah iradah (keinginan/kehendak) dalam susunan tertib wuduk. Ayat “basuhlah muka kamu” menunjukkan Allah SWT berkehendak mewajibkan wuduk dilakukan secara tertib mengikut susunan dan kehendak ini dengan maksud keinginan (bermula dengan niat).
Ini Hukumnya
Bermula wuduk dengan membasuh muka disertakan niat, kemudian tangan, menyapu kepala dan membasuh kaki.
Niat itu tempatnya dihati dan melafazkannya adalah sunat berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafie.
Imam As-Syirazi menyatakan bahawa wajib berniat di dalam hati kerana niat adalah kehendak. Apabila dilafazkan dengan lisan dan hatinya berkehendak, maka ia lebih menguatkannya.
Oleh itu, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa niat yang diwajibkan dalam wuduk adalah berniat dengan hati sedangkan lafaz niat dengan lidah tidak wajib.
Lafaz Niat Wuduk
Apabila dihimpunkan niat dengan hati serta melafazkan dengan lisan, maka ia lebih kuat dan lebih baik menurut kesepakatan ulama mazhab syafi’i. Justeru, melafazkan niat hanya sunat.
Sementara itu, niat wuduk tidak disyaratkan untuk menambah “اللَّهِ تَعَالَى” (kerana Allah) bahkan memadai berniat hanya “mengangkat hadas”.
Hal ini kerana ibadah semestinya khusus semata-mata kerana Allah SWT. Seterusnya, melafazkan “basmallah” adalah sunat dan sah wuduk tanpa menyebutnya.
Dalam Tandas
Seterusnya hukum berzikir menyebut nama Allah SWT di dalam tandas atau sedang menunaikan hajat adalah makruh. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karya Raudhah al-Tolibin :
وَاسْتِصْحَابُ مَا عَلَيْهِ ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى الْخَلَاءِ مَكْرُوهٌ، لَا حَرَامٌ. وَالسُّنَّةُ أَنْ يَقُولَ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلَاءِ: (بَاسِمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ) . وَيَقُولُ إِذَا خَرَجَ: (غُفْرَانَكَ، الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الْأَذَى وَعَافَانِي)
“Menyebut zikirullah dalam tandas adalah makruh bukan haram. Oleh itu, disunatkan membaca doa ketika hendak masuk tandas (Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada gangguan Syaitan jantan dan Syaitan betina).
Seterusnya, doa ketika keluar tandas (Aku memohon keampunan-Mu, Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kekotoran daripada tubuhku dan menyihatkan diriku”.
Selain itu, apabila bersin tidak perlu menjawab “Alhamdulillah” ketika berada di dalam tandas, namun sekiranya hanya dalam hati tanpa menggerakkan lisannya, maka ia tidak haram.
Penutup
Kesimpulannya, hukum melafazkan “basmallah” mahupun niat wuduk yang disertakan kalimah “اللَّهِ تَعَالَى” (kerana Allah) ketika berada di dalam tandas adalah makruh.
Justeru itu, ketika berada di tandas, memadai niat wuduk di dalam hati tanpa menyebut nama Allah, sebagai contoh “sahaja aku mengangkat hadas kecil”.
Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum melafazkan kalimah “Allah” di dalam bilik air adalah makruh.
Baca Di Sini:
Ketika Ambil Wuduk Niatkan Dalam Hati Permintaan Ini Kepada Allah
Kashoorga: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua. Insyallah.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI