Kanser…mendengarnya sahaja sudah mengerunkan. Seperti yang kita ketahui, kanser payudara merupakan kanser yang menjadi pembunuh ramai kaum wanita. Dunia seakan-akan terhenti dan si penghidapnya mula memikirkan keluarga terutama anak-anak.
Menghidap kanser payudara tahap empat memang dugaan yang maha hebat. Namun begitu bagi Aimi Yusoff, 34, wanita ini cukup kuat dan tabah. Mula didiagnos menghidap kanser payudara sejak 2015, semangat wanita ini tidak pernah padam untuk melawan penyakit yang dihidapinya.
ANGGAP SEBAGAI ‘RAHMAT’ DARIPADA ALLAH
Menganggap penyakit yang dihidapinya itu sebagai satu ujian buat dirinya, dia sentiasa berfikiran positif. Jika orang lain menganggap sesuatu penyakit itu sebagai suatu musibah namun tidak bagi Aimi sebaliknya penyakit yang dialaminya dianggap sebagai satu rahmat yang bukan semua orang mampu ‘melaluinya.’
Ya! Kanser tahap empat. Ramai yang beranggapan bahawa ia adalah tahap terakhir untuk pesakit kanser. Namun bagi Aimi, dia benar-benar seorang yang positif. Tiada riak putus asa pada wajahnya malah dia kelihatan cukup bersemangat.
“Jika dahulu saya dan suami menjalani kehidupan biasa-biasa namun selepas saya disahkan menghidap kanser, hubungan kami sangat rapat. Kami jadi lebih menghargai momen perhubungan kami dan menikmati setiap detik dalam kehidupan secara berkualiti.
“Saya juga lebih menghargai hubungan dengan kawan-kawan. Ada yang datang dari jauh untuk bertemu dengan saya. Jika bukan kerana kanser mungkin sampai bila-bila pun saya tak jumpa mereka,”ungkap Aimi.
Tambah Aimi lagi, belajarlah untuk terima kenyataan. Memang sukar untuk menerima kenyataan namun siapalah kita untuk menidakkan takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Buat mereka yang belum mampu menerima kenyataan bahawa mereka menghidap penyakit yang amat digeruni ramai ini, istighfar banyak-banyak.
DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH
Hanya dengan cara ini sahajalah dapat membuatkan diri kita lebih tenang. Selepas istighfar, jika sesuai dengan tempat (ketika anda berada) bawa-bawalah untuk solat. Jika belum solat fardhu, tunaikanlah solat fardhu dahulu. Kemudian lanjutkan dengan solat sunat.
“Jika pada waktu siang, saya juga akan melakukan solat sunat Dhuha. Kadang-kadang dua rakaat dan adakalanya lebih daripada itu bergantung kepada keadaan dan suasana. Solat sunat Dhuha jangan sesekali tinggal. Dengan cara mendekatkan diri kepada Allah jiwa akan terasa lebih tenang dan kita jadi lebih positif.
“Jika susah hendak tidur, banyakkan melakukan solat sunat. Solat sunat sebenarnya lebih fleksibel. Seelok-eloknya, perbaiki dahulu solat fardhu. Selain itu juga saya turut amalkan puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Banyak manfaatnya bila kita puasa sunat ni. Bila kita puasa sunat, secara tidak langsung ia mengajar kita untuk lebih bersabar. Jiwa pun rasa lebih tenang,”ungkap Aimi.
JANGAN FIKIR PERKARA BURUK
Ungkap Aimi lagi, salah satu sebab mengapa sukar untuk menerima kenyataan yang sudah tersurat pada diri kita ialah apabila kita hanya memikirkan hanya perkara buruk sahaja.
“Jangan hanya fikirkan yang buruk sahaja sebaliknya fikirkan tentang hikmah di sebalik ujian yang didatangkan itu kepada kita. Anggap ia satu perkara yang positif yang berlaku dalam hidup kita. Jika kita hanya fokus dugaan itu sahaja memang susahlah untuk kita terima kenyataan sebaliknya jika kita fikirkan daripada sudut lain/sudut positif maka secara automatik kita akan terima kenyataan itu dengan hati yang terbuka.
“Contohnya jika kita tidak sakit, kita tiada inisiatif untuk jalani gaya hidup sihat. Bila dah sakit begini, kita akan lebih menghargai kesihatan selain lebih menjaga hubungan dan kualiti masa bersama keluarga. Saya tak nak fikir tentang penyakit yang saya hidapi.
“Anak-anak memang tahu saya sakit. Saya terangkan kepada mereka jika saya di dalam bilik, itu bermakna saya sedang sakit, jangan diganggu. Alhamdulillah mereka boleh faham dengan keadaan saya,” kata Aimi.
MASA UNTUK BERSAMA INSAN TERSAYANG
Masih dalam ‘mood’ bercuti selepas rawatan kemoterapi yang dijalaninya, Aimi menggunakan baki cuti untuk menghabiskan masa bersama suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan dengan sebaik mungkin.
Sebenarnya sel kanser yang dihidapi oleh Aimi sudah merebak ke tulang belakang, tulang pinggul dan paru-paru. Malah pada usia awal 30, Aimi sudah pun menopaus. Aimi perlu ke hospital untuk mendapatkan suntikan hormon setiap bulan.
Dalam keadaan begini, tipulah jika Aimi tidak pernah rasa ‘down.’ Salah satu cara yang dipraktikkan oleh Aimi ialah dengan menggunakan rawatan alternatif untuk menenangkan jiwa. Aimi akan menggunakan rawatan minyak terapi yang disapukan pada tubuhnya agar dia berasa tenang, rilekskan minda dan memperbaiki mood. Selain itu setiap kali selepas rawatan kemoterapi, Aimi akan pastikan yang dia mendapat rehat yang cukup.
MUNGKINKAH ADA KEAJAIBAN YANG AKAN BERLAKU
Ditanya tentang keajaiban yang diharapkan dalam hidupnya, tenang Aimi memberi jawapan.
“Tiada perkara lain yang menjadi impian saya selain mengharapkan keajaiban daripada Allah agar sembuh dan bebas daripada penyakit kanser. Malah setiap malam, sebelum melelapkan mata, pernah terlintas difikiran saya, masihkah ada hari esok untuk saya.
“Oleh itu, saya akan pastikan sebelum saya masuk tidur, saya akan solat dahulu. Saya akan ‘shut down’ semuanya selepas solat malam. Maafkan semua orang dan mohon maaf dengan semua orang sebelum tidur.
“Saya elakkan fikiran menerawang mengenang nasib kerana jika saya buat begitu, macam-macamlah perkara akan datang dalam fikiran. Saya juga berdoa agar Allah memanjangkan umur saya kerana saya ingin menikmati hidup bahagia dengan suami dan anak-anak,” kata Aimi yang cukup aktif berkongsi pengalamannya di majlis ilmu dan juga sesi sharing.
Bagi menghindari stres secara semula jadi, selain amalan kerohanian seperti sentiasa berada dalam keadaan wuduk, banyakkan solat sunat dan Dhuha, dia juga sering berbincang apabila ada masalah serta mengelakkan diri daripada memendam perasaan.
PESANAN BUAT RAKAN SENASIB
Pesanan Aimi kepada pesakit-pesakit kanser sepertinya:
“Jika kita rasa tertekan dan tak boleh nak handle rasa kecewa itu, kalau rasa nak menangis, menangislah dengan sepuas-puasnya. Lepaskan semuanya. Jangan ditahan-tahan. Sambil itu, mulut jangan putus-putus untuk beristighfar. Jangan salahkan apa yang telah berlaku. Percayalah dengan cara itu kita akan lebih tenang dan reda dengan apa yang telah ditakdirkan,” akhiri Aimi.
Kredit gambar: Facebook Aimi Yusoff